Sunday, November 7, 2010

Bila Pembangkang Kalah

Mahathir tempelak pembangkang

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA& NORILA DAUD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 6 Nov. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menempelak sikap pembangkang yang tidak mahu menerima 'penghukuman' rakyat di atas kekalahan mereka di Galas dan Batu Sapi, apabila menuduh Barisan Nasional (BN) menggunakan agensi kerajaan untuk meraih kemenangan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dakwaan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kononnya BN memperalat agensi kerajaan hanyalah bertujuan menidakkan kesedaran rakyat terhadap penyelewengan mereka, terutamanya selepas diberi kuasa memerintah pada 2008.

"Di negara lain, apabila agensi kerajaan digunakan, parti pemerintah akan menang sehingga 99 peratus tetapi di Malaysia, parti lawan boleh menang pada setiap kali pilihan raya, jika disokong oleh rakyat pembangkang tetap akan menang tetapi kita dapati mereka sudah menyeleweng.

"Pas terutamanya, dulu sesiapa yang berbaik dengan bukan Islam dikafirkan, sekarang mereka pula lebih baik dengan bukan Islam sehingga sanggup menolak tawaran orang Islam untuk bersatu," katanya selepas majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cubaan pembangkang mengalih isu kekalahan mereka pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan melemparkan tuduhan kononnya BN menggunakan agensi kerajaan.

Di Galas, BN berjaya merampas kerusi itu daripada Pas apabila calonnya, Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi dan pada masa yang sama, turut mengekalkan kerusi Batu Sapi dengan majoriti lebih besar iaitu sebanyak 6,359 undi.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Dr. Mahathir berkata, orang Melayu kini berasa semakin lega dengan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, terutamanya selepas beliau menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

"Saya fikir ucapan Najib mempengaruhi orang Melayu, saya fikir rakyat sekarang berasa lega dan pada masa sama, rakyat bukan Melayu juga selesa kerana tidak ada kecelaruan dalam pemikiran berhubung dasar negara," jelasnya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, kemenangan itu bukan tiket untuk BN dan UMNO 'tidur', sebaliknya, parti tersebut perlu bekerja lebih keras jika mahu mencatat keputusan yang lebih baik pada pilihan umum akan datang.

Ditanya sama ada beliau semakin yakin dengan kepimpinan sekarang ekoran kemenangan bergaya itu, Dr. Mahathir berkata, Najib seorang Perdana Menteri yang baik kerana dapat memulihkan semula pemerintahan negara.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr. Mahathir selaku Yang Dipertua Perkim menggesa parti politik dan pihak tertentu supaya berhenti memperalat agama demi mengejar matlamat politik sempit sehingga akhirnya, umat Islam di negara ini berpecah dan bermusuhan sesama sendiri.

Katanya, sebagai masyarakat Melayu yang menganut agama sama, kelainan dalam politik sepatutnya terhad kepada cara-cara mentadbir serta menyusun dasar negara dan bukannya membabitkan tafsiran agama mengikut kepentingan politik.

No comments:

Post a Comment