Kontroversi Yayasan Selangor, PKNS
SETIAP hari ada sahaja kejutan yang berlaku mengenai pentadbiran kerajaan Selangor mengenai dua agensinya iaitu Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Sebagai rakyat negeri Selangor, saya hanya mampu mengelengkan kepala dan sedih di atas apa yang berlaku kepada dua agensi yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri. Dalam hati saya berkata, sudah tidak adakah orang yang jujur dan amanah di dunia ini?
Cuba kita lihat perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kedua-dua agensi tersebut.
Pertama, Yayasan Selangor - RM170,000 untuk majlis berbuka puasa; RM320,000 untuk majlis rumah terbuka hari raya; RM340,000 untuk majlis pecah tanah bangunan baru di Petaling Jaya; RM285,000 untuk majlis makan tengah hari menyambut hari ulang tahun Yayasan Selangor yang ke-40 dan RM200,000 untuk pembelian pakaian tradisional yang tidak diberitahu untuk tujuan apa.
Jadi memang patutlah Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah murka dan membatalkan kehadiran tuanku ke majlis tersebut kerana baginda menyifatkan perbelanjaan tersebut sebagai membazir dan melampau.
Dari sumber berita Bernama, Menteri Besar Selangor mengatakan yang Yayasan Selangor telah membayar deposit sebanyak 90 peratus kepada pengurus acara walaupun majlis belum diadakan lagi. Peraturan manakah yang diguna pakai oleh pengurus-pengurus yayasan. Penganjur tidak menanggung apa-apa risiko perniagaan kerana modalnya ditanggung oleh yayasan. Oleh kerana pembatalan majlis dilakukan pada saat-saat akhir, sudah tentu banyak benda telah pun dibelanjakan. Ini semua tentunya ditanggung oleh yayasan.
Kedua, PKNS - RM400,000 untuk membeli dua buah kenderaan bagi kegunaan seorang pegawai atasannya dan RM520,000 bagi menaja majlis makan malam perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.
Saya tidak akan mempersoalkan jika sebuah stesen televisyen menaja RM1 juta atau RM5 juta untuk majlis perkahwinan Angkasawan Negara kerana stesen televisyen akan dapat keuntungan menjual slot iklan dan mengejar rating. Tapi apa alasannya PKNS menaja majlis perkahwinan? Di manakah business sense pengurus-pengurus dan pengarah-pengarah PKNS. Adakah dengan menonton majlis perkahwinan di televisyen akan membuatkan seorang itu teruja membeli rumah PKNS.
Sepatutnya PKNS harus memberi fokus bagaimana dapat menjual rumah kepada rakyat dengan harga yang berpatutan dan berkualiti. Apa yang saya tahu satu masa dahulu rumah-rumah PKNS menghadapi persepsi kualiti yang buruk. Adakah ini sudah diatasi?
Jadi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim harus bertanggungjawab di atas apa yang berlaku kepada kedua-dua agensi yang dipengerusikannya itu. Beliau tidak boleh mengambil sikap 'saya tidak tahu' atau 'saya tidak diberitahu'.
ESA ADAM Bandar Sunway, Selangor
No comments:
Post a Comment