Thursday, October 14, 2010

Ternak Cara Melayu


Jalan rosak, kerbau resahkan penduduk

Oleh Musazlila Mustapar
utusanpahang@utusan.com.my

KEMUNCULAN kerbau yang berkeliaran berhampiran rumah dan di taman permainan kanak-kanak menjadi ancaman keselamatan kepada penduduk terutama kanak-kanak.

TEMERLOH 13 Okt. - Sejak setahun lalu, lebih 300 penduduk Taman Pamah Kasih, Seberang Temerloh dekat sini terpaksa berdepan dengan kesukaran setiap hari berikutan jalan utama di taman perumahan tersebut rosak teruk dan berlubang-lubang.

Kerosakan tersebut dikatakan berpunca daripada kenderaan berat yang mengangkut batu dan tanah dari kuari berhampiran.

Lebih mendukacitakan, syarikat yang terbabit dengan projek kuari berkenaan tidak pernah mengambil inisiatif untuk membaiki kerosakan jalan tersebut walaupun kerja memunggah tanah dan batu kuari lama selesai.

Akibatnya, mereka hidup dalam kesulitan dan menghadapi pelbagai kesukaran apabila berulang-alik ke tempat kerja atau keluar ke bandar Temerloh.

Selain itu, kesihatan mereka juga terdedah kepada bahaya apabila terpaksa menghidu udara yang dicemari habuk semasa musim kemarau.

Begitu juga yang berlaku pada musim tengkujuh apabila jalan tersebut menjadi berselut dan berminyak.

Kerosakan jalan di taman perumahan itu dianggap amat serius apabila tidak boleh dilalui kenderaan ringan seperti kereta dan motosikal.

Pemandu dan penunggang motosikal sering mengeluh kerana terpaksa mencari jalan alternatif yang lebih jauh untuk keluar dari taman perumahan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia ke taman perumahan itu mendapati, jalan tersebut mengalami kerosakan yang sangat teruk dengan 80 peratus daripadanya berlubang-lubang.

Beberapa penduduk yang ditemui menggesa pihak berkaitan membaiki semula jalan itu kerana bimbangkan keselamatan mereka selain terpaksa membaiki kereta yang kerap mengalami kerosakan semasa melalui jalan tersebut.

Salah seorang penduduk, Hafizul Idris, 25, berkata, jalan berkenaan rosak akibat dilalui oleh kenderaan berat seperti lori yang membawa keluar muatan batu kuari dan pasir yang diambil di kawasan berhampiran setahun lalu.

Katanya, pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) perlu memantau keadaan jalan yang pernah digunakan oleh lori terbabit.

"Bagaimanapun, siapa yang perlu bertanggungjawab untuk membaiki jalan yang rosak ini kerana syarikat berkenaan kini sudah tidak beroperasi lagi di kawasan ini.

"Masalah yang timbul sejak setahun lalu ini menjejaskan kualiti hidup kami. Kereta kami banyak yang rosak dan memerlukan kos tinggi untuk memperbaikinya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Hafizul berharap masalah yang dialami penduduk mendapat perhatian segera pihak berkaitan untuk membaiki semula jalan tersebut secepat mungkin bagi mengelak mereka terus menanggung kerugian.

Seorang lagi penduduk, Rosmaniza Idris, 36, memberitahu, selain jalan teruk, penghuni taman itu juga berhadapan dengan masalah binatang ternakan yang berkeliaran dalam kawasan perumahan mereka.

Katanya, penduduk bimbang kerana keselamatan mereka boleh terancam kerana ternakan terutama kerbau sering menyerang penduduk yang berada di sekitar apabila ia naik minyak.

"Taman perumahan ini sudah menjadi umpama padang ragut bagi kerbau tersebut dan kami bimbang keselamatan anak-anak yang bermain di padang permainan.

"Taman permainan kanak-kanak sudah menjadi padang ragut bagi kerbau memakan rumput setiap hari dan membuang najisnya di merata-rata sehingga mengotorkan taman perumahan kami," katanya.

Sehubungan itu, Rosmaniza merayu MPT memasang pagar di sekeliling taman perumahan tersebut bagi mengelak kerbau menceroboh masuk dan meragut rumput di kawasan perumahan mereka.

Katanya, masalah binatang berkeliaran itu telah berlarutan sejak taman perumahan tersebut mula dibina lagi.

Malangnya, jelasnya, kontraktor yang membina taman perumahan itu tidak memasang pagar sehingga menyebabkan timbulnya masalah pencerobohan haiwan ternakan.

"Kami mahu kawasan sekeliling taman perumahan ini dipagar kerana kejadian disondol kerbau boleh berlaku pada bila-bila masa. Kerbau itu pula semuanya besar-besar dan menakutkan," katanya.

No comments:

Post a Comment