Tuesday, October 19, 2010

Madu Asli


Abdul Jamil tidak serik digigit lebah tualang


ABDUL Jamil Mohd. Yassin memegang botol yang berisi madu lebah untuk dijual di Taman Negara Kuala Tahan dan bandar Jerantut.

JERANTUT 18 Okt. – Ketika masyarakat semakin menitikberatkan kesihatan, keperluan makanan tambahan yang seimbang dan selamat adalah amat penting.

Bagi mengelakkan berlaku kemudaratan ketika mengambil makanan tambahan, ia perlu berasaskan daripada herba atau manisan serangga.

Oleh itu, madu lebah merupakan antara makanan tambahan yang tepat bagi mengekalkan kesihatan berikutan khasiatnya yang tidak ternilai.

Dari perspektif Islam, penggunaan madu lebah sangat masyhur dan bertepatan dengan firman Allah dalam ayat 68 hingga 69, surah An-Nahl yang bermaksud: Madu penyembuh segala penyakit manusia dan al-Quran penyembuh segala penyakit hati.

Menyedari hakikat itu, seorang penduduk Kampung Pengau, Abdul Jamil Mohd. Yassin, 54, masih gigih mencari madu lebah untuk menampung pendapatan keluarganya.

Lazimnya, dia mencari madu lebah asli di hutan Hulu Tembeling dekat sini kerana koloni serangga itu gemar bersarang di puncak pokok tualang di hutan itu.

Menurutnya, lebah tualang menghasilkan madu bermutu tinggi dan berkhasiat berbanding lebah lalat atau yang diternak.

‘‘Kesukaran mendapat madu lebah ini kerana ia berada di puncak pokok tualang tetapi harga manisannya amat tinggi di pasaran sehingga mencecah RM80 sekilogram.

‘‘Khasiat madu lebah tualang bukan diukur kepada kesukaran untuk memperolehnya tetapi manisan serangga ini yang terdiri daripada campuran pelbagai manisan bunga- bungaan hutan yang sesuai bagi tujuan perubatan tradisional,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Pengau.

Menceritakan kaedah memperoleh madu tualang, bapa kepada enam anak itu memberitahu, dia bersama beberapa penduduk terpaksa masuk ke Hutan Simpanan Hulu Pengau untuk meninjau kedudukan sarang lebah di puncak pokok tualang.

‘‘Kerja memasang tali rotan dan persiapan peralatan mengambil madu ini dilaksanakan pada waktu siang sebelum kerja memanjat pokok dan mengambil madu diteruskan pada waktu malam.

‘‘Kami memasang tali di pokok berdekatan dan disambung ke batang pokok tualang bagi memudahkan rakan yang ditugaskan memanjat, bergayut dan menyeberangi menghampiri sarang lebah pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, kerja memasang tali dan peralatan tertentu perlu dilakukan dengan teliti serta kemas untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Abdul Jamil yang berpengalaman mencari madu lebah hampir 30 tahun berkata, kerja memanjat dan mengambil madu di sarang dilaksanakan oleh seorang yang mahir khususnya ketika memanjat batang, meniti dahan dan tahan sakit daripada gigitan serangga berkenaan.

‘‘Kebiasaannya, kita mula masuk ke hutan mulai pukul 11 malam dan memanjat pokok tualang pada pukul 1 pagi. Cuma unggun api dipasang di bawah pokok bagi memerangkap serangga berkenaan.

‘‘Jika bulan terang, kerja mencari madu tidak dapat dilakukan manakala gangguan cahaya lampu juga menyukarkan usaha mengambil madu kerana lebah amat sensitif,” katanya.

Menurutnya, kerja memanjat dan mengambil madu adalah tugas berbahaya kerana kesilapan boleh mengundang padah atau maut jika terjatuh dari pokok.

‘‘Setakat ini, kami belum pernah mengalami kemalangan, cuma luka tergelincir dan tubuh badan bengkak digigit lebah merupakan asam garam bagi pencari madu,” katanya.

Dia berkata, sebatang pokok tualang biasanya terdapat antara tiga hingga lima sarang lebah berukuran hampir dua meter panjang dan semeter lebar.

‘‘Jika banyak sarang ditemui, pendapatan kami berbaloi apabila memperoleh madu yang matang dan memenuhi tiga tin minyak masak untuk dibawa pulang,” katanya.

No comments:

Post a Comment