Friday, October 15, 2010

Kayakan Rakyat

RM7j akhiri zaman miskin
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

2010/10/15

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan RM7 juta bagi memastikan kira-kira 10,448 penduduk miskin tegar dan miskin mendapat peluang pekerjaan, sekali gus keluar dari kepompong kemiskinan.

Peruntukan itu diserahkan Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi melaksanakan projek Akhiri Zaman Miskin (AZAM) Kerja diperuntukkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Shahrizat berkata, peruntukan itu selaras usaha mengeluarkan ketua isi rumah dan ahli isi rumah miskin tegar dan miskin yang berdaftar di dalam sistem eKasih melalui penawaran peluang pekerjaan pada tawaran gaji minimum RM450 hingga RM1,200 sebulan.


“Tawaran pekerjaan akan dibuat mengikut kesesuaian dan minat ketua isi rumah serta ahli isi rumah yang dikenal pasti selain menyediakan peluang latihan bagi tujuan penyesuaian kerjaya kepada mereka.


“Pelaksanaan projek AZAM Kerja ini akan memberi alternatif pencarian sumber untuk meningkatkan pendapatan mereka, sekali gus mencapai sasaran kerajaan dalam memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam pembangunan sosial negara,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian peruntukan RM7 juta kepada KSM di pejabat KPWKM di sini, semalam.


Peruntukan itu diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.


Shahrizat berkata, projek itu satu daripada empat projek di bawah program 1AZAM selain AZAM Niaga, AZAM Tani dan AZAM Khidmat bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah rakyat berpendapatan rendah yang diterajui kementerian itu dengan kerjasama KSM.


“Bagaimanapun, kami mengharapkan golongan yang dibantu ini dapat menggunakan sebaik-baiknya peluang kerjaya yang disediakan dan tidak terlalu memilih kerja sebaliknya berusaha meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.


Sementara itu, Subramaniam dalam ucapannya menyarankan supaya golongan berkenaan melakukan perubahan dari segi minda dan sikap bagi memajukan diri sendiri seterusnya keluar dari garis kemiskinan.

No comments:

Post a Comment