Tuesday, September 28, 2010

Pukau Nak Berbini

Pelajar dakwa dirogol, dipukau jadi isteri bekas majikan

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Seorang pelajar di sebuah institusi pengajian mendakwa dirogol bekas majikannya yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Angah, 20, mendakwa kejadian itu berlaku kira-kira dua tahun lalu ketika dia bekerja sebagai pembantu lelaki itu.

Mangsa juga mendakwa dia dibawa ke selatan Thailand atas alasan urusan kerja namun dipukau dan dinikahkan dengan pensyarah itu.

"Saya masih tidak mengetahui status saya kerana semasa nikah dijalankan saya dalam keadaan tidak sedar. Apabila diminta mengemukakan bukti surat nikah, pensyarah itu enggan memberikannya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami tekanan perasaan akibat dituntut menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri tanpa kerelaan.

Angah berkata, dia merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ibu bapanya kerana bimbang dengan ugutan dan tekanan diberikan oleh pensyarah tersebut.

"Ibu bapa saya tidak mengetahui peristiwa yang saya alami, namun, oleh kerana tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi, saya akhirnya memberitahu mereka," ujarnya.

Berikutan itu, katanya, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 20 September lalu tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil setakat ini.

Tambahnya, dia juga telah berhenti bekerja dengan pensyarah terbabit, namun lelaki itu terus mengekori dan memberi tekanan kepadanya.

No comments:

Post a Comment