Malang nasib pekebun di Bagan Datoh...
PADA tahun 70-an, kerajaan negeri Perak mengurniakan tanah kepada penduduk terpilih dalam mukim Rungkup, Bagan Datoh, meliputi kawasan dikenali Rungkup 1. Tanah seluas hampir dua hektar ini menjadi sumber harapan khususnya kepada mereka yang tidak bertanah.
Kawasan tanah yang diberi asalnya adalah laut yang dipenuhi dengan hutan kayu bakau. Benteng dibina bagi menahan kemasukan air laut ke kawasan berkenaan. Setelah mencabut undi bagi menentukan lot tanah masing-masing, penerima menebang pokok-pokok bakau, membuat perparitan dan menanam pokok kelapa.
Setelah berapa tahun dan dengan penjagaan rapi, pokok kelapa membesar dan mengeluarkan hasil. Untuk beberapa tahun, para pekebun menikmati pendapatan daripada kebun ini.
Namun kegembiraan ini hanya untuk beberapa tahun. Benteng penahan air laut yang dibina tidak bertahan lama. Sedikit demi sedikit air laut menyusup memasuki kawasan kebun kelapa ini menyebabkan kebun tenggelam dan pokok-pokok kelapa mati.
Akhirnya benteng ini pecah sama sekali dan air laut menenggelami berpuluh-puluh hektar kawasan kebun kelapa ini. Pokok kelapa terkulai mati ditenggelami air masin. Kawasan kebun kelapa kini bertukar kembali kepada asal menjadi laut.
Perkara ini sudah bertahun-tahun berlalu dan sejak itu pekebun hilang punca pendapatan. Kebun mereka menjadi laut yang tidak ada sempadan.
Namun apa yang dimusykilkan ialah dalam keadaan begini, para pekebun tetap terpaksa membayar cukai tanah kepada kerajaan. Sudahlah hasil tiada, cukai kena bayar. Ada pemilik yang tidak membayar diberi surat peringatan kebun mereka akan dilelong.
Justeru, saya memohon kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Dr. Zahid Hamidi agar meneliti masalah yang dihadapi pekebun ini dan memberi jalan penyelesaian untuk membantu mereka.
Sehingga ini belum ada apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung perkara ini, seolah-olah membiarkan sahaja masalah itu berlarutan. PBT tidak pernah menyatakan apakah yang akan mereka buat ke atas tanah yang menjadi laut itu. Mungkinkah akan dilaksanakan sesuatu projek tertentu sebagai menggantikan kehilangan pendapatan pekebun? Atau adakah pekebun akan diberi sagu hati sebagai pampasan?
Saya memohon agar kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap perkara ini kerana ia sudah telalu lama berlarutan tanpa sebarang tindakan. Pekebun ingin tahu apakah sebenarnya nasib mereka dan 'tanah laut' mereka.
ORANG KAMPUNG
Bagan Datoh, Perak.
No comments:
Post a Comment