
Semenanjung Tanah Melayu telah dijajah daripada orang Melayu. Yang
menentangnya, baik Dato Bahaman, Dato Sagor, Dato Maharaja Lela, Dol
Said, Tok Janggut atau Rusli Dhobi, adalah orang Melayu. Yang menentang
Malayan Union adalah orang Melayu. Yang berkorban nyawa menentang
pengganas Komunis semasa darurat adalah orang Melayu. Yang menuntut
kemerdekaan adalah orang Melayu. Orang bukan Melayu menyertai gerakan
menuntut kemerdekaan apabila mereka melihat ia akan menjadi kenyataan
untuk menjaga kepentingan mereka. Pada masa itu pun tujuan mereka sudah
berlainan.
Logiknya, Semenanjung Tanah Melayu yang dijajah
daripada orang Melayu hendaklah dipulangkan kepada orang Melayu. Tetapi
tidak, orang Melayu diminta berkongsi kuasa yang akan diserah balik oleh
penjajah British. Pada masa itu pun orang Melayu telah diminta
mengorbankan hak mereka “untuk menjaga perpaduan”. Orang Melayu
bersetuju, sehinggakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1955, untuk memberi
lebih banyak representasi kepada orang bukan Melayu, kawasan-kawasan
majoriti Melayu diberikan kepada calon-calon bukan Melayu untuk
bertanding. Keadaan ini berterusan demi untuk memastikan kemenangan
pemimpin-pemimpin utama bukan Melayu, sehinggalah PRU 12 apabila
kemenangan UMNO sendiri dalam kawasan majoriti Melayu sudah tidak
terjamin.
Semasa rundingan kemerdekaan, PAS menuntut supaya Pulau
Pinang dan Melaka dijadikan Negeri-Negeri Melayu demi menjaga hak
keistimewaan orang Melayu. Semasa Malaysia hendak ditubuhkan PAS
menentangnya kerana ia akan mengurangkan peratusan orang Melayu dan
takut kiranya orang Melayu akan hilang kuasa politik dan dengan itu
kedudukan orang Melayu dan agama Islam akan tergugat. Malah, selama
beberapa dekat PAS senentiasa mengkritik UMNO kerana “tak cukup Melayu
dan tak cukup Islam”. Begitu prihatin PAS terhadap nasib bangsa Melayu
dan agama Islam pada masa itu.
Semasa rundingan kemerdekaan juga,
Parti Boroh Malaya menuntut supaya ditubuhkan kerajaan unitari kerana,
mengikut mereka, mengekalkan Sultan-Sultan dan Negeri-Negeri Melayu akan
mewujudkan sebuah kerajaan beraja. Dalam kata- kata lain mereka hendak
menghapuskan sistem beraja di Malaya. Siapakah majoriti ahli-ahli Parti
Boroh? Tidakkah tuan-tuan terhidu bau yang serupa sekarang?
Parti
Komunis Malaya mengangkat senjata untuk menubuhkan kerajaan komunis
ala-China. Beberapa orang pemimpin parti-parti kiri Melayu lari ke hutan
dan menyertai Parti Komunis Malaya kerana takut ditangkap British.
Mereka diperalatkan oleh Chin Peng untuk mempengaruhi orang Melayu
menyokong perjuangan mereka. Nasib baik, pada masa itu orang Melayu
tidak terpengaruh degan mereka. Soalan: Tidakkah orang Melayu ternampak
perancangan yang serupa sekarang oleh “komunis bandar” meminjam istilah
Tan Sri Rahim Noor, mantan Ketua Polis Negara?
Biar apa pun,
akhirnya peruntukan-peruntukan Perlembagaan dipersetujui dan ia menjadi
undang-undang utama kita. Pada detik 12.00 tengah malam Semenanjung
Tanah Melayu pun merdeka. Orang-orang yang sebaya dengan saya masih
terdengar pekikan “Merdeka” itu dengan perasaan penuh semangat dan
kegembiraan.
Tetapi, pada detik yang sama, satu perkara berlaku,
yang kita tidak sedar. Ini digambarkan dengan jelas oleh Professor Shad
Saleem Farouqi dalam bukunya yang bertajuk “Document of Destiny: The
Constitution of the Federation of Malaysia” di muka surat 710. Katanya:
“As a result of the “social contract” between the various races,
millions of migrants to British Malaya were bestowed with citizenship by
the Merdeka Constitution. It is believed that the number of citizens in
Malaya doubled at the stroke of midnight on August 31, 1957 due to the
constitutional grant.”
“Akibat “kontrak sosial” di antara
berbagai-bagai kaum, berjuta-juta pendatang ke Malaya yang diperintah
oleh British itu diberi kerakyatan oleh Perlembagaan Merdeka. Adalah
dipercayai bahawa jumlah warga negara Malaya bertambah sekali ganda pada
detik tengah malam 31 Ogos 1957 disebabkan oleh pemberian Perlembagaan
itu.” (Terjemahan saya).
Pada 1963, Sabah dan Sarawak menyertai
Malaysia. Kedudukan anak negeri Sabah dan Sarawak hampir serupa dengan
kedudukan orang Melayu di Semenanjung. Maka peruntukan yang serupa
dibuat untuk mereka – lihat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Semenjak Merdeka hinggalah sekarang, Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh
sekumpulan parti berbagai-bagai bangsa dengan seorang Melayu sebagai
Perdana Menterinya. Biar apa pun kelemahan mereka, negara berada dalam
keadaan aman, tenteram membolehkannya maju dalam semua bidang dan
dinikmati oleh semua orang dan semua kaum. Mana sebuah kaum yang boleh
berkata bahawa mereka tidak menikmati kemakmuran Malaysia walau sedikit
pun? Negara kita adalah di antara beberapa buah negara sahaja dalam
dunia ini yang Perlembagaan asalnya masih berkuat kuasa. Malah Malaysia
disifatkan sebagai model negara membangun dan negara Islam moden.
Jika kaum minoriti hendak ‘complain’ mengenai kebebasan mereka,
tunjukkan kepada saya sebuah negara yang memberi lebih banyak hak kepada
kaum minoriti. Apa jadi kepada orang Islam Rohingya di Myanmar? Di
negeri-negeri jiran, nama mereka pun perlu diubah. Tunjukkan kepada saya
sebuah negara yang bukan sahaja membenarkan sekolah-sekolah vernakular
diadakan, malah membiayainya. Dari segi kebebasan beragama, pernahkah
Kerajaan menghalang mereka daripada mengamalkan agama mereka. Pernahkah
terfikir oleh mereka bagaimana mudahnya mereka membina rumah-rumah
ibadat mereka di Malaysia, termasuk di atas tanah Kerajaan tanpa
sebarang tindakan, diberi bantuan kewangan dan tanah gantian apabila
dikehendaki pindah? Bandingkan dengan halangan yang di hadapi oleh orang
Islam untuk membuat sebuah masjid di Eropah atau Amerika Syarikat.
Kecuali seketika di sekitar tahun 1969, keadaan bertahan selama lebih
kurang 50 tahun. Ia disebabkan Kerajaan Persekutuan kukuh,
pemimpin-pemimpin yang tegas dan ekonomi yang senentiasa berkembang.
Kerajaan Persekutuan kuat sebab ia menerima sokongan orang Melayu dan
bukan Melayu yang mencukupi, walau pun lebih banyak orang Cina
senentiasa menyebelahi pembangkang. Mereka mahu lebih. Itu sahaja
sebabnya. Dan mereka menuduh orang Melayu “tamak” kerana hendak mencapai
30% ekonomi negara! Bagaimana dengan mereka yang sudah mempunyai 80%
tetapi mahu lebih? Mungkin itu “dermawan” mengikut istilah mereka.
Anehnya ada juga orang Melayu yang mempercayainya.
Tetapi,
keadaan berubah di kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah kerana leka
dengan sedikit kemakmuran yang baru dirasai, ketaksuban kepada parti dan
pemimpin dan kehadiran pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong yang
oportunis yang tidak kira apa yang akan terjadi kepada bangsa, negara
dan agama asalkan cita-cita mereka tercapai. Maka orang Melayu berpecah
dengan seriusnya. Kumpulan pengundi majoriti menjadi minoriti. Kumpulan
minoriti memperalatkan sebahagian pengundi Melayu untuk kepentingan
mereka dan orang Melayu tidak sedar.
Melihat keadaan itu,
kumpulan-kumpulan yang memang pandai mengira untung-rugi, terus mengatur
perancangan mereka. Mereka membuat perancangan teratur untuk merampas
kuasa melalui peti undi, dengan bersatu padu sesama sendiri sambil
memperalatkan parti-parti Melayu dan orang Melayu yang naif itu. Mereka
hampir berjaya.
Sambil itu kumpulan-kumpulan ekstremis mula
membuat tuntutan-tuntutan yang bukan-bukan, menyerang hak-hak orang
Melayu, menghina lagu Kebangsaan, menghina bendera Malaysia, menghina
Institusi Raja-Raja, menghina pemimpin-pemimpin Melayu dan menghina
agama Islam. Ketiadaan tindakan tegas terhadap mereka dilihat oleh
mereka sebagai tanda kelemahan dan mereka menuntut lebih lagi.
Pendekatan mereka adalah bersifat ugutan dan bisnes: jika mahu perpaduan
berikan kami hak yang sama dan kebebasan sepenuhnya. Dalam kata-kata
lain, mereka mahu faedah yang diberikan kepada orang Melayu dan anak
negeri Sabah dan Sarawak dihapuskan. Ertinya, mereka mahu perizaban
kadar dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, keistimewaan
pendidikan dan latihan, permit, lesen dan sebagainya dihapuskan. Semua
mesti diberi atas dasar merit. Mereka tahu mereka menguasai ekonomi dan
berada di hadapan dalam bidang pelajaran. Mereka tinggal di
bandar-bandar besar di mana terdapat semua kemudahan dan exposure.
Apabila pemilihan cuma dibuat berdasarkan kelulusan akademik, merekalah
yang akan membolotnya. Tak cukup dengan itu, mereka mahu UiTM juga
dibuka kepada mereka!
Rata-rata orang bukan Islam di Malaysia
tidak senang dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Mereka mahu agama-agama mereka juga diberi kedudukan yang sama. Mengikut
mantan Mufti Pulau Pinang, di Pulau Pinang telah berlaku satu peristiwa
di mana di perasmian sebuah bangunan oleh Timbalan Ketua Menteri, doa
dibacakan oleh seorang Paderi Kristian, seorang Sami Hindu dan Imam
Masjid Negeri. Saya amat hairan mengapa Imam Besar pun turut
menyertainya. Tidakkah beliau berfikir?
Saya amat sedih melihat
orang Melayu dan Islam begitu naif sehingga mereka begitu mudah
diperalatkan sehingga sanggup bertakbir dan bergolek di atas jalan raya
sedangkan orang bukan Islam yang untung.
Saya juga hairan mengapa
ada orang-orang yang dikenali sebagai ulama’ tidak nampak muslihat
gereja Roman Katolik yang hendak memakai kalimah “Allah” dalam Bible
Bahasa Melayu dan upacara gereja dalam Bahasa Melayu selepas 500 tahun
kecewa mengkristiankan orang Melayu secara besar-besaran. Mereka merujuk
kepada penggunaan kalimah Allah di bumi Arab tanpa menganalisis
berbezaannya. Kita perlu lihat isu itu dalam konteks Malaysia.
Hinggakan, apabila sami Buddha mengadakan upacara sembahyang di surau di
sebuah hotel pun, ada “ilmuwan Syariah” yang mengatakan Rasul Allah
pernah membenarkan orang Kristian bersembahyang dalam masjid. Tidakkah
mereka nampak perbezaannya?
Kisah itu melibatkan ahlil-kitab yang
beriman dengan Allah dan di peringkat awal kerasulan Muhammad s.a.w.
dan cara mereka bersembahyang pun tidak mencemarkan kesucian masjid.
Jika dibenarkan penganut-penganut agama yang ada di Malaysia
bersembahyang dalam masjid, apa akan jadi? Bukan sahaja masjid akan
busuk dengan bau gaharu, babi panggang pun akan dibawa masuk ke masjid,
sebab di bulan hantu lapar “offering” kepada hantu lapar adalah
sebahagian daripada upacara sembahyang mereka.
Mantan Mufti Pulau
Pinang juga memberitahu saya adalah susah mendapat peruntukan untuk
aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin-pemimpin
agama-agama lain juga menuntut hak yang sama. Jika kita tidak
membendungnya, perkara seperti ini akan merebak ke seluruh Malaysia.
Pada waktu itu, waktu penyiaran rancangan-rancangan agama Islam di
televisyen pun akan terpaksa dikongsi dengan agama-agama lain.
Jabatan-jabatan Kerajaan dan kampus-kampus universiti kerajaan yang
menyediakan surau akan terpaksa menyediakan gereja, to’kong-to’kong dan
gurdwara, memberi hanya dua misalan. Ertinya, kedudukan Islam sebagai
agama Persekutuan sudah tidak bermakna lagi. Peruntukan agama Islam
sebagai agama Persekutuan mungkin dimansuhkan atau kesemua agama akan
dijadikan agama Persekutuan. Tidakkah orang Islam berfikir?
Kumpulan ini sangat tidak puas hati dengan peruntukan Perlembagaan yang
tidak membenarkan orang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada
orang Islam. Selain dari itu, mereka pergi ke merata dunia untuk
memburukkan Islam kerana Islam tidak membenarkan penganutnya murtad,
kerana Islam membolehkan poligami, kerana Islam mengharamkan liwat,
membuat tuduhan Islam mendiskriminasikan orang perempuan kerana
pembahagian pusaka yang tidak sama rata dan lain-lain. Soalan saya:
Mengapa mereka membantah hal-hal mengenai agama Islam pada hal kita
tidak pernah membantah mereka membakar kereta kertas, duit neraka (hell
money) atau mencucuk pipi mereka dengan besi dan lain-lain.
Mereka juga tidak puas hati dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai
bahasa Kebangsaan. Mereka mahu Bahasa mereka juga diberi kedudukan yang
sama. Ke mana perginya “kontrak sosial”?
Ringkasnya mereka
mahukan atau mahu menghapuskan apa yang ada pada orang Melayu tetapi
mereka tidak mahu melepaskan apa yang ada pada mereka. Sanggupkah syarat
kerakyatan dikaji semula? Sanggupkah syarikat-syarikat milik mereka
dibuka kepada orang Melayu, baik sebagai pemilik saham, ahli Lembaga
atau pengurusan atasan?
Kumpulan itu menjadi lebih berani kerana:
1. Mereka telah melihat orang Melayu berpecah-belah. Kumpulan majoriti telah menjadi minoriti.
2. Mereka telah berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin parti-parti orang Melayu untuk bekerjasama dengan mereka.
3. Mereka telah berjaya memanfaatkan pengundi Melayu yang menentang BN yang tidak sedar bahawa mereka diperalatkan.
4. Ketiadaan tindakan terhadap mereka dilihat sebagai kelemahan Kerajaan.
5. Pemansuhan Perisytiharan Darurat dan undang-undang yang dibuat di
bawahnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan pengumuman bahawa
Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan dilihat sebagai satu kemenangan
mereka. Mereka telah sekian lama menuntut perkara itu dilakukan dan
mereka berjaya sekarang.
6. Persepsi rasuah di kalangan pemimpin politik Kerajaan yang tinggi memudahkan orang ramai percayai hasutan mereka.
Pada masa yang sama, Kerajaan semakin mengambil sikap lebih lembut dan
“liberal”, mungkin dalam usaha untuk memenangi semula sokongan
pengundi-pengundi bukan Melayu yang telah lari kepada pembangkang. Jika
itulah tujuannya, nyata sekali bahawa harapan itu adalah satu kesilapan.
Bukan sahaja mereka tidak kembali dan tidak berterima kasih, tetapi
mereka melihatnya sebagai satu kelemahan di pihak Kerajaan dan kejayaan
bagi mereka.
Saya boleh faham mengapa Perisytiharan Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya dimansuhkan.
Dalam tahun 1970an, seorang Hakim dari Afrika yang datang ke Malaysia
untuk menghadiri satu persidangan undang-undang bertanya kepada saya:
“Malaysia berada dalam keadaan darurat bukan? Saya tidak lihat sekatan
jalan raya oleh tentera mahupun kereta kebal di jalan raya.” Saya jawab,
“Ya, itu darurat di Malaysia. Bayangkan jika tidak.” Untuk mengatakan
selepas tahun 2000 kita masih berada di bawah keadaan darurat adalah
tidak munasabah. Demikian juga melaksanakan undang-undang yang dibuat
khas untuk menangani keadaan semasa darurat juga sukar untuk dibela
walau pun dari segi undang-undang ia adalah sah.
Tetapi, saya
dapati sukar sedikit untuk memahami mengapa Akta Keselamatan Dalam
Negeri 1960 (ISA) juga turut dimansuhkan. Perlu diambil perhatian bahawa
ISA bukanlah satu undang-undang yang dibuat di bawah peruntukan Perkara
150, ia itu semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa. ISA dibuat di
bawah Perkara 149 yang membolehkan undang-undang seperti ISA dibuat
untuk menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan
ketenteraman awam dan sebagainya.
Memanglah undang-undang yang
membolehkan penangkapan dan tahanan tanpa perbicaraan bukanlah
undang-undang yang baik. Tetapi, sudahkah kita lupa Mei 13? Adakah
keadaan yang menggugat ketenteraman negara, tidak kira oleh siapa,
komunis, militan Islam, kumpulan pelampau dan lain-lain sudah tidak ada
lagi? Mana lebih baik ISA atau Guantanamo (Untuk perbincangan mengenai
ISA dan Guantanamo, sila baca ucapan dan kertas kerja saya bertajuk
“Conflict of Interests Between Different Basic Rights” dan “Legal and
Judicial Transformation in Malaysia” yang boleh didapati dalam lman web
saya.)
Saya faham bahawa Kerajaan mahu melihat Malaysia berada di
kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan
ISA, berada di kedudukan yang lebih baik, hampir dalam semua hal. ISA
bukanlah sebab utama yang menentukan kedudukan itu.
Sekarang ISA
telah “digantikan” dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah
Khas) 2012 (SOSMA). Secara ringkas, perbezaan utama di antara keduanya
ialah ISA membolehkan tahanan tanpa perbicaraan. (Tetapi tangkapan dan
penahanan itu boleh dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman
(judicial review)). Sebaliknya, di bawah SOSMA seseorang yang melakukan
suatu kesalahan di bawah akta itu mestilah dituduh di mahkamah atas
tuduhan tertentu dan dibicarakan sama seperi kes jenayah lain.
Setakat ini sebanyak 38 orang telah dihadapkan ke mahkmah di bawah
SOSMA, dengan 30 daripadanya di Lahat Datu. Perbicaraan sedang berjalan.
Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara sendiri. Kebanayakan pertuduhan
adalah di bawah Chapter VIA Kanun Keseksaan yakni kesalahan-kesalahan
yang berkaitan dengan keganasan (offences relating to terrorism).
Ertinya “terrorism” yang memungkinkan kewujudan ISA masih ada. Apa yang
dilakukan sekarang memang cantik di atas kertas. Tetapi soalnya,
mampukan SOSMA menangani masalah terrorism? Dari segi
kesalahan-kesalahan yang diwujudkan ia nampaknya lengkap. Soalnya,
dapatkah pertuduhan-pertuduhan itu dibuktikan? Sama-samalah kita melihat
perkembangannya.
Bagi saya ukurannya bukan sangat ISA ada atau
tidak tetapi bagaimana ia dilaksanakan. Undang-undang apa pun boleh
disalahgunakan. ISA pun jika dilaksanakan dengan berhemah dan menepati
peraturan-peraturannya, boleh membawa hasil yang lebih baik dari SOSMA
jika SOSMA disalahgunakan.
Sebaliknya, jika SOSMA dilaksanakan dengan berhemah dan ia memberi kesan yang serupa, tentulah SOSMA lebih baik.
Selain daripada itu Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun
Abdul Razak telah juga mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan
dimansuhkan.
Akta ini dibuat oleh British apabila Persekutuan
Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan
British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana
menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja
atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara
yang tak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan,
menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat
Malaysia, mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum. Seksyen
3(1)(f) memperuntukkan:
“…….mempersoalkan apa-apa perkara, hak,
taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang
ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan
Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181
Perlembagaan Persekutuan.”
Bahagian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 ialah
mengenai Bahasa Kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai “perizaban kuota
berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu
atau anak negeri Sabah dan Sarawak.
Peruntukan ini dimasukkan
akibat peristiwa 13 Mei. Ringkasnya, ia menghalang sesiapa sahaja
daripada mempersoalkan perkara-perkara yang disebutkan itu untuk
mengelak daripada berulangnya peristiwa 13 Mei.
Bagi saya,
perwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan itu adalah kemuncak kejayaan
politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Bin Hussain. Maka kepada
anaknya saya berseru: Janganlah mansuhkan apa yang ayah anda telah
lakukan. Saya khuatir kiranya beliau tidak akan memaafkan anda
kerananya.
Bagaimana dengan RUU Harmoni yang JPNIN sedang buat itu?
Mereka mengaitkan Akta Hasutan dengan RUU Harmoni. RUU Harmoni akan
menggantikan Akta Hasutan seperti mana SOSMA menggantikan ISA. Ertinya,
mengikut mereka, untuk mencapai perpaduan dan harmoni (“perpaduan”) Akta
Hasutan perlulah dimansuhkan kerana ia menjadi penghalang perpaduan.
Dalam kata-kata lain, berikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk
menghasut orang ramai supaya membenci Raja, menghapuskan sistem beraja,
mempersoalkan kedudukan Bahasa Melayu sebagi Bahasa Kebangsaan,
mempersoalkan hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan
kerakyatan, perpaduan akan tercapai. Lojik apa ini? Ia samalah dengan
lojik seorang yang berkata “Kalau mahu tebuan berada di dalam sarangnya,
jolokkan sarangnya.” Cubalah!
Maka kita perlu faham bahawa
alasan bahawa Akta Hasutan perlu dimansuhkan demi untuk mencapai
perpaduan itu tidak berasas langsung. Ia hanyalah helah untuk
memansuhkan Akta Hasutan oleh orang-orang yang tidak sukakannya. Apatah
lagi yang menggubalnya adalah Majlis Peguam. Itulah yang mereka mahu.
Diberi peluang, terus mereka memanfaatkannya. Kita jangan terperangkap
dengan helah seperti itu.
Apa untungnya orang Melayu dan anak
negeri Sabah dan Sarawak jika larangan- larangan mempersoalkan hak-hak
yang diberi kepada mereka oleh Perkara 153 itu dihapuskan? Apakah
untungnya orang Melayu jika hasutan mengenai kedudukan Bahasa Melayu
sebagai Bahasa Kebangsaan dibenarkan? Yang untung hanyalah orang-orang
yang tidak suka peruntukan-peruntukan itu. Tanpa Akta Hasutan mereka
bebas menghasut orang ramai untuk menghapuskan pemerintahan Raja
Berperlembagaan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak-hak orang
Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Itu kita mesti faham.
Selain dari itu, ada beberapa perkara yang sangat menghairankan saya
mengenai usaha menggubal RUU Harmoni untuk menggantikan Akta Hasutan
itu. Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah portfolio Kementerian Dalam
Negeri (KDN) yang Menterinya ialah Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan dengan akta itu, sama ada
hendak memindanya atau memansuhkannya, hendaklah datangnya daripada
kementerian itu. Ini penting bukan sahaja kerana akta itu terletak di
bawah kementerian itu, tetapi kerana kementerian itu mempunyai
maklumat-maklumat, termasuk maklumat rahsia, mengenai ketenteraman
negara yang akan menentukan dasar mengenainya.
Soalan saya:
Mengapa dalam hal ini tugas itu diambil alih oleh Jabatan Perpaduan
Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang menterinya Tan Sri Joseph
Kurup yang nampaknya bekerjasama dengan Nancy Shukri, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri? Adakah satu “rampasan” (highjacking) berlaku di sini?
Mengikut prosedur biasa, penetapan dasar dilakukan oleh kementerian
berkenaan sebelum ia diputuskan oleh Kabinet. Dalam hal ini, penentuan
dasar, sekurang- kurangnya di peringkat permulaan, diserahkan kepada
JUU&D yang ditubuhkan oleh MKPN yang di tubuh pula oleh JPNIN.
Pengerusi JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen
PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Lim Chee Wee, mantan
Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam adalah
penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan PKR.
Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang kedua?
Mengikut prosedur
biasa juga, setelah dasar ditentukan oleh kementerian berkenaan,
penggubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini,
penggubalan dilakukan oleh Majlis Peguam. Adakah ini “rampasan”
(highjaking) yang ketiga?
Disebabkan oleh kesuntukan masa, untuk
tujuan wacana ini, memadailah jika saya memberi dua misalan mengenai isi
kandungan RUU Harmoni.
Pertama, rang undang-undang itu
menekankan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 2(i)
National Harmony and Reconciliation Bill mengatakan bahawa tujuan rang
undang-undang itu adalah:
“2(i) To give effect to the letter and spirit of the Federal Constitution, in particular Article 8.”
“Untuk memberi kesan kepada apa yang tertulis dan semangat Perlembagaan
Persekutuan, khususnya perkara 8.” – (Terjemahan saya.) Apa kata
Perkara 8? Perkara 8(1) memperuntukkan:
“8. (1) Semua orang
adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan
yang sama rata di sisi undang- undang.”
Itulah yang mereka mahu
mahkamah memberi keutamaan dalam mentafsir atau memakai (interpretation
or application) undang-undang itu jika ada kes.
Sepanjang ingatan
saya, saya belum penah temui satu akta yang memperuntukkan bahawa
sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu kena diberi perhatian yang lebih
daripada yang lain-lain. Dari situ kita dapat lihat tujuan mereka yang
tersirat.
Kedua, nampaknya matlamat utama penggubal RUU Harmoni
adalah untuk memansuhkan Akta Hasutan. Seksyen 8(1), Draft Racial and
Religious Hate Crimes Bill memperuntukkan:
“8(1) The Sedition Act 1948 [Act No. 15] is repealed.”
Siapakah yang membuat tuntutan supaya Akta Hasutan dimansuhkan?
Tidakkah apa yang hendak dilakukan itu untuk memenuhi kehendak mereka?
Patutkah Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapan saya: tidak. Patutkah ia
dipinda? Jawapan saya: Ya. Apakah pindaan yang perlu dibuat? Jawapan
saya: Masukkan Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Malaysia (agama Islam) ke
dalam seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan. Sekarang menghasut terhadap
kedudukan agama Islam bukanlah satu kesalahan di bawah Akta Hasutan.
Mungkin kerana itu, mereka sangat berani. Semua orang Islam, sama ada
dalam UMNO, PAS, PKR, NGO dan individu hendaklah bersatu dalam hal ini.
Kedua, pada pandangan saya, adalah lebih baik bagi kerajaan kiranya
kesalahan menghasut terhadap kerajaan dimansuhkan. Maksud saya hanya
mengenai kerajaan tetapi terhadap Raja mestilah dikekalkan. Ini lebih
demokratik, lebih telus dan lebih terbuka. Hari ini pun, walaupun
larangan itu ada, setakat yang saya tahu, kerajaan tidak pernah
mengambil tindakan terhadap orang yang mengkritiknya kerana itu
sebahagian daripada proses demokrasi. Untuk apa dikekalkan peruntukan
itu?
Pada pandangan saya, itulah pendirian yang semua orang Islam, parti politik Islam dan NGO Islam, patut ambil.
Kita bukan mahukan hak orang lain. Kita bukan menuntut supaya
Perlembagaan dirombak kerana kita mahu lebih. Kita cuma mempertahankan
Perlembagaan Persekutuan. Kita cuma mahu apa yang telah dipersetujui
dikekalkan untuk mengekalkan perpaduan dan harmoni. Rasiskah kita?
Pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam, tidak kira dalam parti mana
hendaklah bersatu dalam mempertahankan kepentingan bangsa, agama dan
negara, dengan mempertahankan peruntukan-peruntukan Perlembagaan
Malaysia yang sedia ada. Caranya ialah dengan menguatkan Kerajaan
Persekutuan. PAS patutlah bekerjasama dengan UMNO dan BN di peringkat
pusat. Di peringkat negeri ia boleh kekal seperti sekarang. Saya membuat
seruan ini kerana saya percaya bahawa, dalam keadaan sekarang, mengikut
hemat saya, itu sahaja cara yang boleh kita mempertahankan Perlembagaan
dan kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia.
Anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak patut ingat bahawa apa yang menjamin
nasib mereka ialah Perlembagaan Persekutuan dan mereka juga sepatutnya
bersama mempertahankannya.
Sebenarnya semua pemimpin negara,
tidak kira apa parti politiknya, apa bangsa dan agamanya, sama-sama
mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia untuk
kepentingan bersama.
Kesimpulannya:
1. Janganlah mansuh Akta Hasutan 1948.
2. Segala urusan mengenai Akta Hasutan hendaklah dilakukan oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu KDN.
3. JPNIN tidak sepatutnya mengambil alih perkara yang terletak dalam bidang kuasa KDN dan Peguam Negara.
4. Prosedur biasa di mana Kementerian berkenaan menentukan dasar dan
pengpenggubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara manakala keputusan
muktamad dibuat oleh Kabinet hendaklah diikuti.
5. Akta Hasutan hendaklah dipinda untuk memasukkan Perkara 3 dan 11 (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f).
6. Eloklah kerajaan memikirkan untuk meminda Akta Hasutan untuk
mengeluarkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan supaya kerajaan
nampak lebih telus, terbuka dan demokratik.
7. Ketepikan draf RUU yang dibuat oleh Majlis Peguam itu.
8. Jika JPNIN berfikir bahawa perpaduan boleh dicapai melalui undang-undang, sila sediakan drafnya. Ikutlah peraturan biasa.
9. Semua orang Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan
semua parti politik, NGO dan pertubuhan Melayu, Islam dan anak negeri
Sabah dan Sarawak, hendaklah bersatu dalam hal ini.
10. Kita
bukan hendak meminggir mana-mana kaum. Kita hanya hendak mempertahankan
Perlembagaan supaya perpaduan akan berkekalan. Malah, kaum-kaum lain
juga sepatutnya bersama-sama mempertahankan Perlembagaan kerana hanya
dengan cara itu perpaduan dan harmoni dapat dikekalkan.
Sekian. terima kasih.
Tun Abdul Hamid Mohamad tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
CREDIT: CUCU TOK WAN
-PRAYFORGAZA-
-PRAYFORMH17-
-UF-