Cerita bandar Melayu dan bandar Cina
DATUK NOOR AZAM ialah pemerhati sosio-politik.
EPISOD 2Membina rumah untuk rakyat yang dikategorikan
kerajaan sebagai "golongan miskin" di bandar mahupun di desa adalah
kewajipan kerajaan yang dipilih rakyat. Di kawasan bandar semakin
kritikal kerana rumah untuk golongan miskin tak bertambah.
Kerajaan sedar dan prihatin, jadi pelbagai rancangan perumahan
diumumkan. Tetapi tidak nampak lagi dibina rumah untuk rakyat miskin
seperti 'rumah pangsa' di Cheras, Bangsar, Sentul dan Kampung Kerinchi.
Walaupun rumah ini sangat kecil, sekurang-kurang dapatlah rakyat miskin
dan bekas setinggan tumpang menetap di bandar. Tidak pasti apakah
rancangan kerajaan membina 'kondo rakyat' dua atau tiga bilik, sudah
bermula atau tidak.
Kawasan Flat Jalan Pekeliling yang berpuluh tahun dihuni rakyat
miskin sudah lama dirobohkan dan akan mengalami keadaan yang sama.
Penduduk asalnya, majoriti Melayu, hilang entah ke mana.
Di Pulau Pinang, orang Melayu semakin pupus. Yang tinggal, majoriti
pegawai kerajaan. Di Bagan, Seberang Perai, pun setelah pesat membangun,
jadi bandar Cina. Pembeli Cina dari Pulau Pinang sudah sampai ke Kulim
dan Sungai Petani.
Saya teringat sebuah pantun lama orang Tanjung (Penang):
Pulau Pinang bandar baharu
Captain Light menjadi raja
Kalau dikenang masa dulu
Jatuh mengalir si air mata.
Pantun biasanya menceritakan hubungan kasih sayang dan percintaan teruna-dara. Ada lagi senikata lagu Melayu asli yang berbunyi:
Kain yang buruk berikan kami.
Buat menyapu si air mata."
Bagaimanapun sekarang, orang bercinta tidak lagi menggunakan pantun.
Tetapi pantun seperti ini sesuai untuk menggambarkan rintihan pribumi
yang tersingkir dari kawasan bandar di tanah air sendiri. Namun saya
tidak menyarankan agar kita terus merintih dan berpantun.
Perangai suka sangat menganugerah tanah kepada pemaju swasta seperti
di Kampung Kerinchi (yang sudah pun hilang namanya) perlulah
diberhentikan segera.
Datuk Harun Idris dan Peneroka Bandar
Kampung Kerinchi ini asalnya, adalah antara tempat setinggan Melayu
yang bertawakal mengadu nasib di ibu kota. Mereka datang dari daerah
yang miskin. Jadi buruh kilang dan bekerja apa saja. Mereka adalah
'peneroka bandar' generasi kedua yang berani dan berdikari. (Bukan macam
peneroka Felda yang sentiasa dapat durian runtuh.) Peneroka Kuala
Lumpur generasi pertama tidak ada lagi dan tanah milik mereka pun sudah
jadi milik orang.
Peneroka baru ini bergotong-royong mendirikan 'rumah kilat' di mana
ada tanah kosong - siap dibina dalam tempoh satu malam dan disapu cat
hitam-kelabu. Kalau rumah nampak baru, pasti akan dirobohkan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Mereka cekal bersatu menghadapi penguat
kuasa DBKL (Melayu). Maka untuk bertahan, mereka segera menubuhkan
cawangan UMNO.
Penduduk 'rumah kilat dan rumah haram' dan keturunan mereka inilah
yang menambah bilangan penduduk Melayu di KL dan di Lembah Klang.
Pada zaman Datuk Harun Idris jadi Menteri Besar Selangor dan Ketua
Pemuda UMNO, ramailah orang dari luar Selangor diberi kemudahan , malah
digalakkan berhijrah ke Lembah Klang. Salah satu tugas penting UMNO di
KL waktu itu ialah mempertahankan "rumah kilat dan rumah haram".
Itulah sebabnya ramai orang kampung dari Kedah, Kelantan, Pulau
Pinang dan Perak di Selayang, Batu Cave, Kampung Abdullah Hukum, Kampung
Kerinchi dan di Jalan Klang Lama (sekarang Taman Medan). Sekarang,
ketika orang Melayu terhalau dari KL ( kota raya kebanggaan, world class
city) di mana pemimpin dan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan?
Saya terkenangkan Cikgu Wahab Idris (yang menubuhkan UMNO Bahagian
Batu), Zakaria Yahaya, Othman Mawan, Bakhtiar, Saidin Tambi, Hamzah
Alang dan Rosden Yaakob dan ramai lagi yang sudah lupa namanya. Bagi
yang sudah kembali, Al-Fatihah untuk mereka pembela "rumah kilat dan
rumah haram".
Pada Hari Wilayah Persekutuan, kita lupa jasa besar Datuk Harun
Idris. Generasi lama tak laku lagi. Meskipun semangat tak pernah mati.