Mata dan telinga negara
MINGGUAN: Apa rancangan Tan Sri untuk membawa PBTM maju ke hadapan?
MOHD. ANWAR: PBTM merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
tertua dan mempunyai ahli paling banyak di Malaysia. Sejak ditubuhkan
pada tahun 1922 oleh bekas tentera British di Malaya, kini PBTM yang
berusia lebih 90 tahun telah mempunyai 14 bahagian di setiap negeri dan
238 cawangan di setiap daerah di Malaysia. Manakala jumlah keahlian
adalah tidak kurang dari 145,000. Namun kini seiring dengan kehendak
semasa PBTM juga perlu berubah untuk membawa persatuan dan ahli ke satu
tahap yang lebih membanggakan. Kita sedang membuat satu pelan
transformasi PBTM. Kita sedang mengkaji strategi atau teras serta hala
tuju PBTM. Hala tuju kami kini telah menampakkan kesatuan. Kami sedang
mengumpul semua isu-isu sejagat yang timbul sejak sekian lama serta
isu-isu baru untuk disatukan dan kemudian diangkat ke peringkat
tertinggi dalam satu nada dan semangat sebagai
united force. Kami cuba untuk menjadikan ahli PBTM bersatu padu selain cuba
rebranding persatuan ini supaya senantiasa relevan dalam konteks masa kini dan pada masa akan datang.
Sekarang ini telah wujud terlalu banyak persatuan melibatkan bekas
tentera. Tidakkah ini dilihat agak mengelirukan dan mungkin PBTM sendiri
boleh mengorak langkah bekerjasama dengan semua persatuan ini?
MOHD. ANWAR: Sekarang ini wujud 61 persatuan berkaitan bekas tentera
di negara ini. Ia berlaku mungkin kerana timbul perasaan tidak yakin
PBTM mampu menyelesaikan masalah atau isu-isu melibatkan mereka. Maka
wujudlah pelbagai persatuan ini untuk membawa isu yang dirasakan boleh
dimenangi mereka. Yang terbaru adalah Persatuan Veteran Tidak Berpencen.
Namun ahlinya tidak ramai namun jumlah keseluruhan mungkin sekitar
100,000. Jika persatuan ini berjaya direalisasikan ini menjadikan
persatuan itu kedua terbesar selepas PBTM. Antara yang diperjuangkan
adalah apakah bentuk skim yang boleh diberikan kepada anggota yang tidak
berpencen. Sebab itu kerajaan telah meluluskan pembayaran
one off sebanyak RM1,000 kepada bekas anggota ini dan diharapkan mungkin balu juga boleh menerima sumbangan ini.
Kami juga merancang untuk mengadakan satu seminar dimana semua
persatuan ini akan dikumpulkan supaya kita dapat membincangkan isu-isu
penting dan sejagat melibatkan semua anggota veteran ATM di seluruh
negara. Kami sedang mengumpul semua yang diperlukan dan kemungkinan
seminar ini akan berlangsung sekitar bulan Julai depan atau lebih tepat
lagi selepas 31 Julai sempena dengan Hari Pahlawan. Resolusi yang
melibatkan semua isu berkaitan veteran ATM akan dikumpulkan selepas
seminar itu dan digabungkan untuk dibawa ke peringkat atasan dalam satu
nada dan suara menunjukkan kesatuan dan kerjasama yang erat. Itu adalah
satu titik permulaan untuk mendekatkan semua veteran dalam usaha
menjalin hubungan dan kerjasama rapat antara semua veteran.
Bagaimana Tan Sri melihat pengumuman gaji baru kakitangan kerajaan terutama yang melibatkan anggota keselamatan?
MOHD. ANWAR: Saya berada bersama Perdana Menteri ketika diumumkan
skim gaji baru itu yang mana semua pangkat dalam Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disetarakan dengan
Perkhidmatan Awam Am berkuatkuasa 1 Januari lepas. Menerusi pengumuman
itu, sebanyak 131,904 pegawai dan anggota dalam ATM bakal menikmati
kenaikan gaji dan skim perkhidmatan yang baru. Ini adalah satu
pendekatan yang terbaik oleh kerajaan kerana sebelum ini anggota tentera
mempunyai kelebihan yang lebih tinggi daripada pegawai kerajaan lain
berasaskan hal X Faktor, iaitu melibatkan soal keselamatan. Sepatutnya
ATM diberi kemudahan dan elaun yang setimpal dengan X Faktor ini. Namun
apabila semua ini disetarakan saya melihat ia sebagai satu pengiktirafan
yang mana ia sudah tentu dinilai bersandarkan tugas dan tanggungjawab.
Sudah tentu pengumuman ini dilakukan pada masa terbaik iaitu ketika
keselamatan negara terancam berikutan peristiwa di Lahad Datu. Walaupun
pangkat Kolonel menerima gred gaji baru sehingga gred 52, dari gred 48,
namun saya berpandangan mereka yang berpangkat Brigedier Jeneral perlu
diberi perhatian kerana kebanyakan mereka memegang jawatan Panglima
Briged yang sama jawatan dengan Ketua Polis Negeri. Saya difahamkan
mereka ini mungkin akan dinaikkan ke gred Jusa C. Mereka ini harus
diiktiraf seiring dengan tugas dan tanggungjawab tinggi yang dipikul
mereka. Namun saya tetap berpandangan bagi mereka yang menjalankan tugas
dari sudut X Faktor yang melibatkan ancaman nyawa, mungkin mereka ini
boleh mendapat ganjaran yang lebih bersesuaian dengan tanggungjawab yang
dipikul.
Tan Sri merupakan bekas PAT dan kini menduduki jawatan sebagai
Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Tidakkah pelantikan
ini umpama satu harapan baru kepada veteran ATM khususnya?
MOHD. ANWAR: Saya melihat harapan ahli PBTM adalah sangat tinggi
terutama melibatkan hala tuju PBTM sendiri selain soal masa depan ahli.
Apa yang penting adalah memanfaatkan semua sinergi antara sesama ahli
untuk dimanfaatkan bersama. Seperti mana yang kita semua maklum, LTAT
kini berada di landasan yang kukuh dan mampu memberi pulangan dividen
yang tinggi setiap tahun. Selain itu LTAT juga telah menunaikan
tanggungjawab sosialnya kepada anggota apabila membina rumah-rumah yang
jauh lebih murah dan mampu milik untuk kemudahan mereka.
Selain itu kami juga sedang dalam proses berbincang dengan kepimpinan
di negeri-negeri untuk memohon beberapa bidang tanah untuk dibina
rumah-rumah mampu milik kepada anggota dan veteran ATM mahupun anggota
polis. Selain itu pihak kami juga sedang merangka usaha-usaha untuk
membantu veteran-veteran yang masih belum bekerja setelah menamatkan
perkhidmatan. Antara masalah utama yang dihadapi mereka walaupun sebelum
bersara telah diberi kursus dan sebagainya namun tidak semua berjaya
mendapat kerja yang bersesuaian. Namun kami memahami masalah ini dan
akan cuba mengumpul maklumat serta pandangan tentang usaha yang perlu
dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini. Apa yang penting mereka ini
perlu terus dibantu dan dihargai sesuai dengan pengorbanan dan jasa yang
telah mereka korbankan untuk negara selama ini.
Bagaimana Tan Sri melihat perkembangan peristiwa di Lahad Datu ketika ini?
MOHD. ANWAR: Saya melihat pendekatan yang diambil mengikut
maxim ketenteraan dan tepat mengikut suasana yang wujud di lapangan. Saya yakin kewibawaan
Commander on the ground
dalam melaksanakan arahan operasi ini. Tentang penggunaan peralatan
canggih dalam misi kali ini ia tidak perlu dilihat sebagai penggunaan
kekuatan berlebihan oleh pihak kita. Ini kerana paling mustahak adalah
mesejnya sampai kepada pihak-pihak lain yang mungkin berkeinginan
menghantar
reinforcement. Kita sebenarnya telah menunjuk dan
menampakkan kesungguhan tentang keupayaan tentera. Jikalau ada musuh
yang cuba untuk menyerang lagi, kita telahpun bersedia. Malah bagi saya
tidak timbul isu kita telah melanggar undang-undang antarabangsa seperti
Konvensyen Geneva, Undang-Undang Ketenteraan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB),
Law of Conflict dan sebagainya. Hakikatnya pihak
pengganas yang melanggar undang-undang dan kita telah bertindak selaras
dengan perundangan antarabangsa.
Apa tindakan yang perlu untuk memperkuatkan pengawasan di kawasan perairan Sabah bagi membendung peristiwa hitam ini berulang?
MOHD. ANWAR: Sudah tentu kita perlu memperketatkan keupayaan sistem
pengawasan kita selain menggunakan pelbagai teknologi dan aset canggih
untuk menghalang pencerobohan. Kita perlu memperkuatkan pengawasan
terutama pada waktu malam. Namun yang paling penting kita tidak boleh
membenarkan sesiapapun masuk ke perairan kita tanpa diperiksa
termasuklah kapal nelayan dan sebagainya. Ini penting supaya kita tidak
lagi mahu mereka fikir negara ini begitu mudah diceroboh dan
diperlakukan sesuka hati. Kalau dilaksanakan dengan penuh teliti selain
mempertingkatkan teknik perisikan dalam usaha mendapat maklumat, saya
yakin masalah ini dapat dibendung. Yang penting kita perlu
mempertingkatkan peranan mata dan telinga negara di kawasan terlibat.
Masyarakat perlu turut sama menjalankan peranan dengan menjadi mata dan
telinga negara untuk kesejahteraan semua. Ini membantu dalam usaha
memberi respons dan tindakan cepat untuk membendung masalah pengganas
sejak di peringkat awal.
Apa komen Tan Sri apabila terdapat beberapa pihak yang mengeji usaha
dan pengorbanan pihak berkuasa selain mengeluarkan kenyataan seolah-olah
mereka lebih mahir daripada pihak berkuasa?
MOHD. ANWAR: Pandangan pihak-pihak ini adalah lebih bersifat peribadi
kerana pada keadaan sekarang adalah lebih baik kita memberi kepercayaan
kepada komander dan anggotanya dalam menjalankan tugas mereka. Ini
kerana keadaan yang berlaku membuatkan mereka melakukan respons yang
sedemikian rupa berikutan mereka lebih memahami keadaan di lapangan.
Saya sangat berharap apa sahaja pendapat dan kata-kata dari pihak-pihak
tidak bertanggungjawab ini perlu dihentikan kerana ia tidak memberi
apa-apa kebaikan malah memburukkan keadaan. Namun bagi saya bagi
mantan-mantan pegawai kanan ATM yang mengeluarkan kenyataan tentang isu
di Lahad Datu ini mungkin kenyataan mereka ini boleh diambil untuk
tujuan post mortem selepas ini. Ini mungkin boleh dilakukan dalam usaha
untuk memperkukuhkan
standart prosedur kita selain mampu menjadi kayu pengukur dalam cara kita bertindak pada operasi masa hadapan.