Thursday, November 1, 2012

muslihat jambatan bengkok

Nurazmi Japar Perjanjian air 1961 akan terbatal sekiranya tambak johor digantikan dgn jambatan bengkok... idea tun m mmg bg sgpore terkucil... perjanjian dan harga baru dbuat... pasai tu yg tun dk pertahan benda yg org x nampak... so sgpore jugak yg untung bila jambatan tu xjadi...

Wednesday, October 31, 2012

35 ribu pelabur

Genneva Malaysia: 35,000 terlibat, pelaburan RM10 bilion

31 Oktober 2012
Awang Adek
Datuk Dr Awang Adek Hussin
KUALA LUMPUR - Seramai 35,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM10 bilion, dikesan terlibat dalam syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata menurut maklumat yang diterima, jumlah pelaburan yang diterima ketika ini sebanyak RM4 bilion, dan boleh mencecah RM10 bilion.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan masa untuk menyiasat perkara ini berdasarkan dua pertimbangan yang difikirkan perlu bagi menyelesaikan masalah skim tersebut.

"Pertama, syarikat ini berselindung dalam perniagaan emas di mana emas ini ada tarikan sentimental. Ramai berminat tidak kira latar belakang termasuk pemimpin. (Bagi mereka) Terdapat perasaan bahawa ini satu perniagaan betul.

"(Kedua) BNM terpaksa mengimbangi keadaan dan tidak boleh terus masuk pada satu masa. Contoh, kalau hari  ini masuk dan siasat, BNM pun kena marah kerana disebabkan BNM masuk, pelabur hilang pulangan.

"Jadi BNM kena imbangi, tidak boleh terlalu cepat. Keseimbangan ini penting dan mustahak. Saya  rasa kita semua akan belajar dari pengalaman ini semoga pengendalian kes lebih baik pada masa akan datang," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas).

Awang Adek sebelum ini memberitahu Parlimen, liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas berkenaan melebihi aset syarikat dan keadaan itu menunjukkan Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Baru-baru ini pihak berkuasa menyerbu Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat sekutunya kerana disyaki melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Menjawab soalan asal oleh Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai tindakan kementerian dalam membendung skim cepat kaya yang menjalankan pengambilan deposit dan pelaburan haram, Awang Adek berkata BNM sedang mengkaji untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang menjalankan skim seperti itu.

Selain itu katanya kementerian dengan kerjasama agensi kerajaan lain, termasuk bahagian penguatkuasaan, mengadakan pemantauan dan risikan serta maklumat menerusi aduan orang ramai.- Bernama

Friday, October 26, 2012

kad 1m

Kad Diskaun Siswa 'durian runtuh' ringankan beban pelajar
Nur Aimidiyana Zuher
26 Oktober 2012
Kad Diskaun
Pelajar UPNM, Umi Shahirah Abdullah bersama rakannya Dinnesh Nicolas memegang Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) selepas majlis penyerahan kad tersebut di UPNM - Foto Bernama
 
PELANCARAN Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) merupakan satu bukti keprihatinan dan kesungguhan kerajaan menghargai dan merealisasikan hasrat dan idea golongan siswa yang bermanfaat besar untuk mereka.

Selaras dengan hasrat tersebut pada 2 Julai lalu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan KADS1M yang merupakan hasil cetusan idea yang dikemukakan oleh para siswa sendiri pada mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada 21 November tahun lalu.

Kerajaan tidak teragak-agak melaksanakan pandangan serta cadangan bernas yang dikemukakan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) demi menjamin kebaikan serta kesejahteraan pelajar baik di IPT awam mahupun swasta.

Untuk itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewujudkan KADS1M yang berobjektif membantu hampir 1.5 juta pelajar IPT awam dan swasta di negara ini mengurangkan kos sara hidup dan bebanan sepanjang tempoh pembelajaran mereka.

KADS1M ini menawarkan diskaun antara lima hingga 60 peratus yang diberikan oleh lebih 2,600 kedai milik 264 syarikat yang mengambil bahagian bagi pembelian barangan dan perkhidmatan terpilih dan tertakluk kepada kadar, terma serta syarat yang ditetapkan oleh syarikat masing-masing.

Menyambut baik usaha itu Pengerusi Biro Pengajian Tinggi Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Kalam Azad Abu Bakar menyifatkan pemberian kad diskaun itu merupakan
'durian runtuh' kepada seluruh golongan mahasiswa di negara ini.

"Ia merupakan satu usaha yang harus diberi pujian, di atas keprihatinan kerajaan untuk mendengar cadangan dari peringkat mahasiswa, yang sekali gus membuktikan 'suara' golongan ini tidak diketepikan. Siapa kata kerajaan sekarang tidak prihatin?" katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Antara perkhidmatan dan barangan yang ditawarkan syarikat ialah sektor buku dan alat tulis, pakaian kelengkapan sukan, klinik kesihatan, optometri, penginapan dan pengangkutan, makanan dan minuman, pusat rawatan dan kecantikan, produk teknologi maklumat, automotif dan bengkel, peruncitan dan rekreasi.

Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun mahasiswa diberikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) namun pemberian kad diskaun
itu dapat membantu menjimatkan lagi perbelanjaan pelajar dan keluarga mereka ketika mereka berada di institusi pengajian.
Jelasnya, mahasiswa juga dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap proses pembelajaran mereka tanpa memikirkan kos perbelanjaan dan sara hidup yang semakin meningkat.
"Kalau kita lihat kos hidup terutamanya di kawasan Lembah Klang turut memberi kesan kepada pelajar jadi dengan pemberian kad ini (KADS1M) ia dapat membantu pelajar untuk fokus dalam belajar di samping membolehkan mereka berjimat," katanya.
Pendapat itu turut disokong bekas Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Wan Ahmad Hazman Wan Daud yang berkata, golongan mahasiswa perlu bersyukur atas keprihatinan kerajaan yang sanggup menyediakan kemudahan seperti itu sekaligus meringankan beban belanja yang ditanggung oleh siswa.
"Mahasiswa perlu ingat nikmat ini tidak perlu dibandingkan dengan orang yang mempunyai nikmat yang lebih tinggi. Malah jika dibandingkan diri kita dengan negara yang tidak maju kita jauh lebih bertuah mendapat perhatian besar kerajaan," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan tindakan segelintir golongan mahasiswa yang sanggup menggadaikan masa depan demi menyatakan ketidakpuasan mereka dengan bertindak di luar batas kesopanan memburukkan kerajaan yang telah berusaha dengan sehabis baik untuk mereka.
"Sebagai seorang mahasiswa mereka perlu bijak menggunakan laluan yang betul bukan dengan cara berdemonstrasi . Kita harus menjadikan diplomasi atau rundingan sebagai 'platform' terbaik untuk meluahkan pendapat," katanya sambil menambah mahasiswa sebagai kelompok intelektual perlu mencerminkan sifat kepimpinan yang matang dan logik.
Jelas Wan Ahmad, mahasiswa bukan hanya berperanan penting dalam menggalas tanggungjawab sebagai bakal pemimpin negara tetapi perlu diterapkan dengan pemikiran yang rasional untuk menerajui kemajuan negara.
Dalam pada itu Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Saripuddin Kasim berkata, kerajaan sentiasa memberi peluang dan ruang kepada golongan mahasiswa untuk mencerna idea-idea bernas agar cadangan itu dapat diguna pakai.
"Kita memberi respons kepada cadangan pelajar terhadap kes peningkatan sara hidup di kampus dan kerajaan menyahut seruan mereka, malah kita juga turut menggalakkan penglibatan swasta yang memberikan faedah kepada pelajar," katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak menanggung sebarang kos dalam mewujudkan program kad tersebut sebaliknya inisiatif itu direalisasikan dengan usahasama antara sektor kerajaan dan swasta melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Beliau berkata, tujuan KADS1M ini diwujudkan untuk mengurangkan kos sara hidup terhadap keperluan para pelajar tanpa mengira IPT di kawasan luar bandar atau bandar.
Bagi seorang pelajar kolej swasta di ibu negara Ng Zhun Ye, usaha kerajaan menyediakan KADS1M turut membuktikan golongan mahasiswa IPTS tidak terkecuali daripada menerima pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, setakat ini mahasiswa terpaksa membelanjakan lebih RM500 sebulan untuk menampung pembelanjaan harian termasuk membeli buku dan alat tulis atau
peralatan teknologi internet, yang tentunya dapat dikurangkan dengan penggunaan KADS1M.
Sementara itu, bagi pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Azeqa Ahmad, pertama kali menerima KADS1M dia berasa sangat teruja kerana berpeluang untuk mendapat potongan harga yang menarik, malah di luar jangkaan.
"Kad ini banyak membantu pelajar untuk belajar berjimat-cermat dalam berbelanja. Contohnya kalau menggunakan kad ini membeli alat tulis saya dapat jimat RM5 yang selalunya melibatkan kos RM20 hingga RM15," katanya yang merupakan pelajar tahun ketiga jurusan sains kemanusiaan di universiti itu.
Namun Azeqa berkata syarikat atau kedai yang menyertai KADS1M ini perlu melekatkan logo KADS1M untuk memaklumkan kepada para pelajar kerana ada segelintir syarikat yang tidak berbuat demikian.
Pelajar Kaunseling Universiti Malaysia Terengganu, Muhammad Syahril Ahmad Halim, pula berpendapat promosi KADS1M kawasan pantai timur seperti Terengganu dan Kelantan masih berada pada tahap yang tidak memberangsangkan.
"Saya rasa masih kurang promosi mengenai KADS1M malah ada sesetengah syarikat atau kedai yang tidak menawarkan faedah kad ini. Saya harap pihak syarikat dapat menyambut inisiatif baik kerajaan," katanya. - Bernama

ayatollah

Asri keterlaluan samakan ulama Pas dengan Ayatollah
Wartawan Sinar Harian
26 Oktober 2012
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
SHAH ALAM - Ketua Penerangan Ulama Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh menyifatkan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin "agak keterlaluan" dalam menyamakan ulama-ulama parti itu dengan kepimpinan Ayatullah Khomeini dari Iran, yang didakwa tidak boleh ditegur.

"Bekas mufti itu juga agak keterlaluan apabila menyamakan pimpinan ulama dalam Pas dengan Ayatullah Khomeini.

"Semua sedia maklum bahawa Pas berpegang kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Ayatullah Khomeini pula berpegang kepada aqidah Syiah.

"Dua akidah yang sangat berbeza antara satu sama lain," kata beliau dalam satu tulisan dibawa organ Pas,

Harakahdaily.

Katanya, pengikut Syiah menganggap bahawa Ayatollah adalah lebih tinggi martabatnya daripada para Nabi.
"Jadi tidak peliklah Ayatollah tidak boleh ditegur dan disentuh," kata beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Terengganu.

Ketika muncul pada program Wacana Sinar Harian ke-15 Selasa lalu, Asri berkata, Pas tidak seharusnya menjadi seperti pemerintahan Ayatollah di Iran sekiranya berjaya memerintah Putrajaya kelak.
Asri, bekas Mufti Perlis berkata, kalau ada yang bermentaliti bahawa orang agama yang berkuasa tidak boleh ditegur, negara akan menjadi lebih korup dari sekarang.

“Saya rasa ini satu masalah dalam Pas, masalah sekarang ini Pas belum menjadi pemerintah, tetapi kalau kita tidak bahas hari ini, kita akan jadi seperti Iran, yang mana pemimpinnya Ayatollah tidak boleh ditegur dan disentuh.

“Kalau kita tidak hati-hati terutamanya parti politik termasuk Pas... kalau mereka naik (menjadi pemerintah) dengan mentaliti orang agama tidak boleh disentuh, ditambah dengan isu pemimpin dan tokoh agama itu ada kuasa pula, kita akan menghadapi negara yang lebih  korup daripada apa yang berlaku sekarang,” katanya ketika menjawab soalan dari moderator Dr Mazlee Malik berhubung sejauh  mana beliau melihat pemimpin ulama Pas yang tidak boleh ditegur.

Menjawab pandangan Asri itu, dua Naib Presiden Pas kelmarin menjawab bahawa pihaknya memberi jaminan tidak akan sama sekali akan menjadi pemimpin-pemimpin bergelaran Ayatollah Iran jika diberi mandat memerintah Kerajaan Pusat kelak kerana parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sentiasa mengamalkan sikap terbuka kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

Nik Muhammad berkata, soalan yang dikemukakan oleh moderator dalam Wacana Sinar Harian siri ke-15 berhubung dengan pemimpin ulama Pas yang tidak boleh ditegur dan jawapan yang diberikan oleh seorang bekas mufti terhadap soalan tersebut adalah sangat tidak adil kepada Pas.

"Bekas mufti itu ketika menjawab persoalan tersebut berkata bahawa jika Pas menjadi pemerintah dengan mentaliti orang agama tidak boleh disentuh, negara akan menjadi lebih korup daripada apa yang berlaku sekarang.

"Beliau menyamakan situasi itu dengan pemerintahan Ayatollah Khomeini di Iran yang tidak boleh ditegur dan disentuh," jelas beliau.

Nik Muhammad berkata, moderator tersebut pula seolah-olah dilihat ingin menjatuhkan kredibiliti dan memburukkan persepsi masyarakat terhadap para pimpinan ulama dalam Pas dengan mengemukakan persoalan tersebut.

Ini adalah kerana beliau tidak mengemukakan apa-apa contoh, bukti dan fakta atas dakwaan bahawa golongan tersebut dalam Pas tidak boleh ditegur, tambah beliau.

Menurut Nik Muhammad, Pas khususnya para pimpinan ulamanya sentiasa terbuka untuk menerima segala kritikan dan teguran.

"Lihat sahaja sikap Datuk Seri Presiden, pimpinan ulama tertinggi dalam Pas menerima kritikan dan teguran yang keras daripada (bekas pensyarah UIAM) Dr. Aziz Bari yang mempertikaikan kepimpinannya.

"Keterbukaan beliau lebih terserlah apabila beliau sendiri mencadangkan agar dianjurkan seminar khusus bagi memberi peluang kepada Dr. Aziz Bari mengemukakan kritikan dan teguran tersebut di hadapan ahli dan pimpinan Pas," katanya lagi.

Kata Nik Muhammad, perlu dijelaskan bahawa reaksi ini bukan bermakna Dewan Ulama Pas Pusat tidak boleh menerima teguran apabila disamakan dengan Ayatollah Khomeini tetapi teguran yang dikemukakan mestilah dikemukakan bukti, contoh dan berfakta.

"Ini adalah kerana tanpanya, ia akan memberikan persepsi buruk kepada para pimpinan ulama dalam Pas dan dianggap sebagai tuduhan yang dibuat untuk menjatuhkan kredibiliti Pas yang bakal melangkah ke Putrajaya, insya-ALLAH.

"Bahkan bekas mufti itu sendiri juga telah mengemukakan pandangan dalam wacana tersebut agar teguran yang hendak dibuat mestilah profesional," katanya.

Pada masa yang sama katanya, Pas sentiasa mengajar kepada semua ahli supaya berani menegur dalam apa jua perkara yang bercanggah dengan syariat Islam termasuk juga menegur mana-mana kesilapan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti.

"Sejarah ini sangat banyak berlaku di sepanjang perjuangan Pas," kata beliau lagi.

Thursday, October 25, 2012

orang kelantan mohon kerja

Rakyat Kelantan paling ramai mohon kerja melalui SPA

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan adalah yang paling ramai memohon pekerjaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sejak tiga tahun lalu.
Pengerusi SPA, Tan Sri Mahmood Adam berkata, sejak tahun 2009 sehingga tahun lalu seramai 495,000 daripada 1.2 juta pemohon pekerjaan dari Gred 1 sehingga Gred41 berasal dari negeri ini.
Menurutnya, sejak lima tahun lalu, seramai 12,831 pemohon dari Kelantan diterima bekerja di sektor pekerjaan di sektor awam.
"Peluang pekerjaan yang terhad di Kelantan adalah antara punca banyak permohonan diterima daripada rakyat negeri tersebut.
"SPA dengan kerjasama semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan akan berbincang untuk mencari penyelesaian dalam membuat penambahbaikan dalam soal memberikan ruang pekerjaan ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Interaksi Pengerusi SPA Dengan Ketua-ketua Jabatan Persekutuan, Badan-badan Berkanun, Persatuan-persatuan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Zon Timur di sini semalam.
Mahmood berkata, SPA sentiasa terbuka dan memberi peluang yang sama rata kepada semua rakyat untuk mendapatkan pekerjaan.
"Pemilihan adalah berdasarkan meritokrasi tanpa melihat keturunan, bangsa, agama, budaya dan pemohon anak kepada siapa," katanya.

Wednesday, October 24, 2012

kelulusan hudud di kelantan 20 tahun dulu

Hambali Abdullah Harakahdaily,
07 Okt 2011
KOTA BHARU, 7 Okt: Wacana Perlaksanaan Hudud di Negeri Kelantan semalam antara lain merumuskan bahawa Kelantan berhak dan boleh melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) 1993.
 
Malah, menurut Ketua Hakim Syarie neg
eri, Datuk Daud Mohamad salah seorang panel wacana itu berkata, undang-undang itu perlu dilaksana segera kerana sudah 20 tahun diluluskan tanpa perlaksanaan.
 
Tambah beliau lagi, bagi mencapai hasrat itu Kelantan perlu segera mewujudkan dua mahkamah iaitu Mahkamah Syariah Khas tiga hakim dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas lima hakim.
 
"Bagi perlaksanaan hukum ini, pihak kami sudah bersedia dan hanya menunggu keputusan kerajaan Kelantan sahaja dan ia bukannya mudah untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah kerana pesalah atau yang dituduh perlu melalui beberapa proses seperti saksi yang cukup dan sebagainya,” katanya di dewan Teratai Kompleks Darulnaim, di sini.
 
Selain beliau, wacana tersebut turut menampilkan Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Mohammad Daud Iraqi dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Abd Aziz Bari.
 
Tambah beliau lagi, Akta Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1985) juga tidak wajar dijadikan halangan untuk melaksanakan hudud di negeri itu.
 
Mengulas dakwaan perlaksanaan hudud bertentangan dengan perlembagaan, Daud pula berkata, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak yang jelas kepada setiap warganegara mengamalkan agama masing-masing termasuk masyarakat Islam yang mahu mengamalkan hudud.
 
Malah, ujarnya sebarang undang-undang yang menyekat kebebasan ini sebenarnya yang patut dipertikai.
“Perkara 11 memberikan kebebasan mengamalkan agama, kenapa kita nak takut, kita nak amalkan agama kita, kita nak laksana, tanggungjawab ini tertanggung kepada kerajaan yang akan ditanya Allah di akhirat nanti kenapa luluskan enakmen tetapi tidak laksana,” katanya.

Tuesday, October 23, 2012

bajet bn vs pr

Wacana: Bajet BN vs Bajet PR
Wartawan Sinar Harian
12 Oktober 2012
Wacana Bajet 2013
Wacana Bajet 2013
WACANA Sinar Harian siri ke-14 yang diadakan di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf membawa tajuk Bajet 2013 membariskan Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan sebagai ahli panel, serta Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik, sebagai moderator. Ikuti taip skrip penuh wacana yang berlangsung kelmarin.

Bajet 2013 bajet gula- gula, pilihan raya, populis, tidak mampan dan banyak ‘one short’. Bagaimana Datuk meyakinkan rakyat apabila komentar dan kritikan diberikan kepada Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak? Apakah kelebihan Bajet 2013 untuk menafikan seluruh kritikan tersebut?

Abdul Rahman: Label diberikan populis, gula-gula atau bajet pilihan raya, itu satu diskripsi menyatakan bahawa bajet mesra rakyat, merasai masalah rakyat di peringkat akar umbi. Label tidak penting, yang penting ialah sama ada bajet ini dapat menggerakkan ekonomi ke depan, mengekang defisit bajet dan negara, atau hutang negara mampu memberi keselesaan kepada segelintir rakyat terpinggir kerana pergolakan ekonomi dunia yang meruncing.

Bajet 2013 mengambil kira semua faktor, hampir kesemua segmen masyarakat, wanita, orang tua, polis, swasta, galakan pelaburan ada terkandung dalam belanjawan. Apa yang penting ialah memastikan defisit tidak menjadi satu jumlah memudaratkan ekonomi pada masa akan datang. Sekarang negara terpaksa buat perubahan kerana subsidi terlalu menyeluruh. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) satu percubaan baik dan konsep beri subsidi ini kena pada tempat. Ia amat penting dan harap berterusan.

Pada masa sama, Pakatan Rakyat (PR) mewujudkan bajet alternatif yang agak ringkas tetapi ada gambaran keutamaan diletakkan PR. Saya menghargainya tetapi risau bajet PR tidak berdasarkan fakta ekonomi yang dapat dibuktikan. Defisit 3.5 peratus yang diunjurkan oleh mereka tidak masuk akal.

Saya suka bahas bajet alternatif kerana saya risau bajet ini tidak fahami oleh rakyat, ia akan memudaratkan dan kesan bahaya kepada ekonomi dan negara.

Kita berhadapan dengan bajet bulan bintang dan cakerawala. Bajet PR , tidak ada sistem dwi parti (tidak ada peruntukan Kabinet bayangan) tidak realistik dan janji perkara sukar dicapai, seperti mana yang dikemukakan oleh pengkritik, ini kerana PR tidak memerintah, tidak ada urus sebenar.

Apakah respons YB terhadap hakikat sebenar bajet PR?

Tony Pua: Berpengalaman atau tidak dalam merangka bajet atau mentadbir sebuah negeri bukan isu. Jelas pada 2008 dengan tiada pengalaman kita berjaya mentadbir Selangor dan Pulau Pinang secara beramanah dan baik. Penambahan ekonomi kedua-dua negeri kian meningkat dan pencapaian lebih baik daripada sebelum itu.

Bajet alternatif dibuat setelah kita melihat apakah benar-benar penting untuk rakyat di luar seperti pendapatan mereka, gaji RM1,500 sehingga RM2,005. Kita lihat pendapatan tolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso. Adakah perbelanjaan paling besar bagi mereka ialah kereta kerana mereka bayar tiap-tiap bulan? Berapa pendapatan yang sepatutnya tiap-tiap bulan?

Itu merupakan punca masalah rakyat yang perlu diselesaikan sebelum tengok perkara lain. Kalau tidak ada pendapatan untuk berbelanja, tekanan di rumah amat tinggi.

Kita kena tengok masalah itu kerana masalah utama adalah cukai terlalu tinggi. Satu kereta mewah dan kecil RM108,000 tapi harga yang ada dalam Akta Kerajaan adalah RM38,000 sahaja.

Dalam bajet kita, kita turunkan cukai eksais 20 peratus kerana tidak boleh turunkan secara langsung 100 peratus. Itu dapat menjimatkan pemilik kereta.

Kedua, apa yang lebih penting ialah perumahan Kita fikir cara membina rumah mampu milik bagi rakyat, kita lihat keperluan orang ramai. Apa kita boleh buat ialah minta syarikat GLC tumpu untuk membina rumah mampu milik. Jangan bersaing dengan syarikat swasta untuk membina rumah mewah. Itu bukan peranan GLC dan agensi kerajaan. Kerajaan bukan nak bersaing dengan swasta, kita mahu kerajaan tumpukan wang mereka untuk membina rumah mampu milik untuk orang ramai.

Apa penilaian Wan Saiful bagi bajet PR dan bajet BN?

Wan Saiful: Selepas bajet dibentang, apa yang berlaku ialah rakyat berlumba-lumba ucapkan terima kasih kepada kerajaan pemerintah. Sedangkan jika kita faham konsep belanjawan tidak ada apa yang perlu terima kasih kerana belanjawan tidak menggunakan duit kerajaan.

Dari mana kerajaan mendapat dana, konsep pendapatan dan perbelanjaan kerajaan perlu kita fahami. Kerajaan berbentuk ekstraktif bukannya produktif (bukan syarikat yang menyumbang ke arah Keluaran Dalam Negara (GDP)). Kerajaan mengambil dana daripada rakyat dan syarikat diusahakan oleh orang lain dibelanjakan.

Kita melantik kerajaan untuk memainkan peranan tertentu. Apabila kerajaan memainkan peranan, agak keterlaluan kita memuja mereka yang membelanjakan duit yang diambil secara paksa.

Mungkin ada masanya kita sanggup berikan sumbangan kepada pembangunan negara contohnya 15 peratus tetapi disebabkan perundangan dihalalkan 26 peratus dalam pendapatan kita. Kita kena faham, percukaian. Perbelanjaan dibentangkan Perdana Menteri, termasuk dicadangkan PR menggunakan duit yang diambil secara paksa, perbelanjaan duit kita adalah kebaikan untuk negeri kenapa perlu puja mereka janji bulan bintang. Sepatutnya mereka perlu berterima kasih kepada kita kerana menyediakan mereka wang termasuklah gaji mereka.

Budaya feudal agak keterlaluan, ahli politik dianggap terlalu tinggi hingga jumpa cium tangan. Budaya ini perlu ditamatkan. Bajet 2013, yang penting pertanggungjawaban dalam pembentangan.

Apabila bercakap data, satu perkara susah. Apabila PR boleh membentangkan bajet sedemikian, ini adalah lonjakan ke hadapan. Kita kena bagi pujian dan kredit kerana tidak ada parti lain dalam Barisan Nasional (BN) yang menghasilkan cadangan bajet untuk dipertimbangkan. Hanya PR yang buat. Apa yang berlaku dalam BN ialah Perdana Menteri bentang, semua sokong. Tidak ada pertanggungjawaban di situ.

Bajet PR menawarkan insentif kurangkan belanja kerajaan RM233 bilion berbanding bajet BN RM251.6 bilion serta sasar kadar defisit 3.5 peratus dan pelbagai tawaran perumahan berbanding dalam bajet BN. Bagaimana Datuk melihat perkiraan ini melalui realiti dan perkiraan ekonomi, bukankah berdasarkan Matematik mudah, ia realistik?

Abdul Rahman:
Saya ingin mengulas mengenai segmen berterima kasih kepada kerajaan atas bajet. Memang betul bajet ini duit rakyat, kerajaan belanjakan ikut keutamaan.

Dalam membuat satu bajet, kita mempunyai ribuan pilihan. Mana segmen penting untuk kita utamakan. Jika kita utamakan orang tua atau orang kelainan upaya (OKU) sudah tentu mereka boleh berterima kasih kerana bajet diberikan kepada mereka. Sudah tentu boleh diberikan kepada orang lain, kerajaan tidak bersalah kalau diberikan kepada kanak-kanak atau wanita.

Jadi dalam konteks terima kasih, saya agak berbeza pendapat dengan Wan Saiful kerana terima kasih dari konteks keutamaan dalam bajet. Cium tangan budaya Melayu, saya tidak boleh komen.

Saya kira Wan kata kita (kerajaan) tidak bertanggungjawab, agak melencong. Kita ada banyak pra bajet yang kita buat sebelum bajet dikeluarkan bajet oleh Perdana Menteri atau Menteri Kewangan yang dibentangkan di Parlimen.

Hujah Tony Pua, dalam bajet ini ia berkait rapat bermacam- macam segmen. Kalau kita cuit di sana, di sini akan terkena. Kalau kita tutup lubang di sana, lubang di sini akan terbuka. Kalau dia bercerita mengenai kereta, dan hanya cerita kereta memang kereta satu keutamaan, tetapi benda-benda lain dia tidak cerita seperti bagaimana tangani isu subsidi minyak bertambah apabila ratusan ribu kereta dan membanjiri Lembah Klang dan seluruh Malaysia. Siapa yang akan bayar subsidi minyak tersebut? Sudah tentu dia diambil daripada subsidi kerajaan dan itu tidak termaktub di dalam bajet mereka.

Kita harus berpijak di bumi yang nyata. Kos memiliki kereta ini penting, harga kereta sebahagian daripada kos memiliki kereta, ada lagi cukai jalan, insurans, benda-benda lain seperti perbaiki dan servis kereta. Kita sudah buat kajian antara negara-negara jiran kita, kita adalah antara negara termurah kos memiliki kereta. Ya, mungkin kos memiliki kereta di negara ini mahal sedikit tetapi cukai jalan, kos servis dan tayar jauh lebih murah daripada negara lain.

Apabila kita mengurangkan cukai eksais, ia hanya satu komponen kos kereta. Promosi, ia tidak kena mengena dengan kerajaan kerana ia adalah komponen yang dibelanjakan oleh peniaga. Saya tidak berkeyakinan apabila cukai eksais kereta akan turun sebab harga kereta contohnya Honda, di Indonesia, Singapura dan Malaysia berdasarkan kemampuan penduduk setempat. Jika harga cukai eksais kereta jenis Honda dan Toyota turun, mungkin mereka naikkan kembali kepada harga asal kerana mendapati bahawa permintaan di negara Malaysia memang ada. Sekiranya mereka meletakkan dengan harga tinggi atau sama pun, permintaan masih ada. Berbanding di Indonesia, kereta sama dan harga lebih murah kerana beberapa faktor seperti kuasa membeli orang Indonesia tidak tinggi. Jadi letak tinggi, Honda dan Toyota tidak dapat jual kereta. Jadi mereka letakkan rendah oleh kerana pasaran Indonesia cukup besar.

Saya tidak yakin permit import kereta (AP) dibida, maknanya cukai eksais turun tapi AP dibida harga tinggi. Dalam Bajet PR mahu memberikan kereta murah dan mengubah Kuala Lumpur tidak ada kesesakan lalu lintas, tidak
pencemaran alam sekitar.

Monopoli Bernas, kalau kita beri kepada sesuatu syarikat dalam sektor yang kritikal untuk keselamatan negara kita seperti beras, Bernas untung tidak masalah. Realitinya, keputusan untuk kerajaan beri monopoli sesuatu syarikat apabila waktu krisis apabila bekalan beras tidak ada dalam pasaran dunia, bagaimana monopoli ini menguruskan.

Pada tahun 2008, apabila krisis beras, harga beras melonjak tinggi persidangan Parlimen diberhentikan untuk membawa satu usul tergempar pemimpin Pas, Salahuddin Ayub. Bernas perlu mencari jalan untuk selesaikan masalah ini. Bernas rugi pada tahun 2008 sebanyak RM60 juta. Bayangkan banyak syarikat kecil yang mampu untuk menerima kerugian sebegini?

Pada saya, masalah beras Bernas monopoli kita kena pastikan mempunyai jelapang padi negara kita, monopoli akan hilang. Kita kena pastikan monopoli hanya dalam negara kita. Tetapi parti Tony Pua (DAP) di kawasan Kota Belud yang disebut sebagai jelapang padi, mereka juga yang tidak mahu jelapang padi dibuat kerana tanpa empangan tersebut tidak ada jelapang padi. Dia menentang.

Bagaimana pula pendapat Tony?

Tony Pua: Untuk isu kereta, nisbah kereta dengan penduduk di Lembah Klang sekarang, sudah lebih daripada satu kereta kepada satu orang. Kalau kita murahkan kereta lagi tidak akan ada peningkatan tinggi sehingga akan berlaku kesesakan kerana seorang hanya boleh pandu sebuah kereta sahaja. Pengurangan harga kereta menyebabkan pertambahan kereta di atas jalan raya. Apabila kita kurangkan harga kereta akan menyebabkan kesesakan lebih teruk. Untuk menyelesaikan kesesakan ialah meningkatkan sistem pengangkutan awam.

Betul, kita hendak buat My Rapid Transit (MRT) sekarang tapi dalam jangka masa pendek dan dua tiga tahun akan datang kenapa kita tidak peruntukkan beli bas beribu-ribu untuk Lembah Klang. Di Singapura walaupun kecil, mereka ada 3300 bas. Manakala di Lembah Klang walaupun penduduk lebih kurang sama dengan Singapura, hanya ada 1,000 bas. Kita perlukan satu sistem bas di samping MRT, bila ia siap menjadi sistem pengangkutan holistik baru kita boleh fikir bagaimana boleh kurangkan kereta.

Pada masa itu, kita boleh fikir turunkan subsidi minyak sebab kita sudah beri satu alternatif kepada sistem perkhidmatan awam kepada rakyat kita. Bila dah ada pilihan baru kita boleh fikir untuk turunkan subsidi minyak. Saya nak tumpukan kepada bajet BN yang pada permukaannya nampak ingin bantu rakyat miskin.

Satu program yang saya sokong dari segi prinsipnya iaitu kurangkan kos barangan asas kepada penduduk di Sabah Sarawak pada masa ini perlu menampung kos lebih tinggi daripada rakan kita di Semenanjung. Kerajaan BN memperuntukkan RM386 juta untuk membuka 57 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) untuk menjual barang-barang asas dengan harga lebih murah. Tapi kalau kita ambil kira perkara yang macam itu setiap kedai berdasarkan jawapan daripada menteri yang diberi kepada pihak media ialah setiap kedai kos pelaksanaan adalah RM1.5 juta. Jadi, saya kena fikir kenapa buka satu kedai runcit di Sarawak kena ambil kos RM1.5 juta selepas itu bagi barang dibawa dari semenanjung ke Sabah Sarawak diperuntukkan lagi RM299 juta untuk subsidi kos pengangkutan.

Kenapa Mydin sahaja yang diberikan kuasa untuk melaksanakan program kedai rakyat sedangkan ia akan menjejaskan kedai runcit sedia ada di Sabah dan Sarawak. Mereka akan rugi kerana mereka tidak dapat subsidi yang saksama bersama syarikat baru, Mydin. Kita sokong penuh kerajaan bantu orang miskin dalam dasar-dasar tersebut pun ada pihak yang akan mendapat keuntungan lebihan. Itu yang kita bantah dalam bajet yang dibentangkan oleh BN.

Pada masa sama kita lihat, walaupun mereka mahu berikan sedikit kebaikan kepada rakyat tetapi ucapan Perdana Menteri memberi gambaran bahawa cukai barang dan perkhidmatan (GST) cukai barangan-barangan akan dilaksanakan selepas pilihan raya. Orang ramai tidak kira dari miskin ataupun kaya akan dikenakan cukai pada semua barang kecuali beberapa barang asas yang tidak akan dikenakan cukai sahaja. Sekarang ramai tidak bayar cukai pendapatan sebab gaji tidak cukup. Selepas GST dilaksanakan mereka akan kena bayar cukai. Pada masa yang sama syarikat besar Projek 1MDB untuk menubuhkan Tun Razak Exchange 10 tahun tidak payah bayar cukai. Syarikat luar negeri masuk dalam Malaysia tubuh syarikat 10 tahun tidak perlu bayar cukai. Syarikat pemaju bina bangunan di Tun Razak Exchange 70 peratus tidak perlu bayar cukai. Jadi, dari segi konsepnya syarikat besar tidak perlu bayar cukai tetapi orang ramai akan kenakan cukai kerana kerajaan kata tidak cukup wang.

Apa komen Wan Saiful mengenai subsidi yang disebut oleh kedua-dua panel?

Wan Saiful: Secara umumnya sebelum kita pergi kepada subsidi banyak juga elemen bagus dalam dua-dua bajet dibentangkan. Kedua-duanya memberi penekanan dalam mengurangkan defisit negara. Walaupun subsidi diteruskan sekarang tapi perlu reformasi dalam cara subsidi diberikan. Dalam kita bercakap mengenai ekonomi dunia semakin agak meruncing sekarang ini kedua-duanya memberi fokus bahawa pada tahun 2013 kita mesti pertumbuhan dan peningkatan.

Jadi, banyak elemen yang bagus dalam bajet ini. Bajet yang dibentangkan ini oleh Perdana Menteri perkara yang saya amat suka ialah apabila beliau menyebut kali ini setelah banyak tahun peruntukan pada dana untuk menubuhkan taska OKU. Ada enam jenis penyakit di negara kita dimasukkan dalam kategori yang boleh bawa bantuan. Itu perkara yang bagus perlu diiktiraf dan perlu disokong. Saya juga suka apa yang dibentangkan oleh PR mengenai duti eksais kereta. Bila pakatan menimbulkan impak cukai eksais duti kepada kereta maka rakyat akan automatik jadi sedar impak bahawa sebenarnya cukai ini hampir berganda kos membeli sebuah kereta. Jadi itu juga satu sumbangan positif yang saya diberikan PR dalam pembentangan bajet dibuat. Tetapi malangnya, kedua-dua pihak masih lagi meneruskan budaya memberi subsidi dan ini sebenarnya satu perkara kita mendidik rakyat. Tetapi kita tak boleh salahkan orang politik sahaja, saya rasa apabila mana-mana individu menjadi ahli politik maka kita kena iktiraf mereka terpaksa mencerminkan apa yang dikehendaki oleh rakyat. Retorik ini akan wujudkan budaya meminta-minta dan boleh menjadi barah.

Berdasarkan perhatian dan perbandingan antara bajet BN dan PR, saya dapati bajet BN lebih mesra kepada pasaran modal Islam dengan penawaran untuk wakaf korporat, pembiayaan dana halal yang tidak nampak pada PR?

Tony Pua: Saya rasa dari segi pasaran kapital Islam, apa yang kita tidak bincangkan secara terperinci dalam bajet kita adalah cara kumpul dana. Kita tak tumpukan, kita boleh mungkin dapat daripada Perbankan Islam, daripada 'regular board'. Yang penting cara kita nak belanjakan. Kita hanya berikan dasar yang kita akan laksanakan apabila kita ambil alih kuasa di Putrajaya pada tahun depan. Isu Bernas, kalau Bernas merupakan agensi kerajaan dan diberi monopoli ia adalah isu lengkap di sana untuk menjaga keselamatan negara kita saya boleh terima. Tapi sekarang ia satu syarikat swasta mengapa, kita berikan satu kuasa monopoli kepada satu syarikat swasta untuk mendapat keuntungan daripada kuasa monopoli tersebut.

Apabila ditanya mengenai berapa rumah mampu milik di negara kita, saya ada rekod di sini. Rumah mampu yang dijual tidak melebihi RM100,000 per unit di Bandar baru Bangi Sungai Long, Shah Alam, Gombak dan lain-lain. 23, 637 unit telah dibina sejak 2008. Unit projek rumah terbengkalai dimula semula sebanyak 3,887. Pangsapuri yang di baik pulih bawah program ceria 139 unit. Unit projek rumah terbengkalai disiapkan 9,176 unit.

Apa yang penting, jika kata belanjawan BN tidak baik, memang tidak benar. Ada ucapan Perdana Menteri yang saya setuju. Apa yang kita bimbang, apa yang berlaku selalunya tidak seimbang dengan apa diperuntukkan dalam bajet. Kita lihat selalunya, kita buka tender, minta semua syarikat antarabangsa datang untuk jemput masuk tender. Tapi yang dapat dan menang adalah bukan syarikat yang paling rendah harganya dan bukan syarikat berpengalaman tapi yang tidak pernah bina LRT pun. Buat masa ini syarikat itu hanya tahu buat meter air, syarikat United Kingdom (UK) yang merupakan syarikat terkenal untuk bina LRT dengan harga lebih rendah RM967 juta tidak dapat kontrak itu. Semua dokumen kita perolehi, kita bentangkan tidak dijawab. Ini kebimbangan kita, wang kita masih tidak digunakan secara beramanah.

Di antara kedua-dua bajet, yang mana lebih mapan, berdaya saing dan mampu membawa ekonomi Malaysia lebih ke hadapan?

Wan Saiful: Itu sukar dijawab. Itu melambangkan undi yang akan datang. Bahaya kalau jawab. Soalan itu sebenarnya walaupun ditanya kepada saya, saya tidak boleh jawab sebab bersifat terlalu umum. Soalan itu sepatutnya ditanya setiap kita yang mendengar perbahasan, mendengar pembentangan, perbahasan, perbincangan mengenai
belanjawan. Sebab kita kena berpindah daripada budaya politik yang menyokong sesuatu parti tanpa bertanya apa dasar parti itu. Tetapi ada dua perkara saya nak timbulkan, pertama sekali mengenai isu GST. Tadi Tony Pua ada menyebut. GST adalah satu perkara yang negatif, bagi saya GST secara umumnya cukai perlu rendah. Tapi dalam konteks GST ada perbezaan paling biasanya saya pegang saya agak suka sebab ia berbentuk consumption text.

Jadi ia akan mencukai menyebabkan kita terpaksa bayar apabila kita berbelanja, dan ia tidak menghukum kita apabila kita berjaya dalam kerjaya. Gaji lebih tinggi, cukai lebih banyak. Seolah-olah hukuman kerana berjaya. Cukai pendapatan bagi saya adalah satu perkara perlu direndahkan dan kita patut lebih banyak consumption tax. Di waktu sama, walaupun kita biasa dengar bahawa hujahnya sekarang kurang daripada 10 peratus daripada rakyat Malaysia yang bayar cukai. Sebenarnya ayat tersebut tidak habis. Sebenarnya peratus yang bayar cukai pendapatan yang amat kecil. Tetapi yang bayar cukai adalah 100 peratus. Ada dua perkara yang kita tidak boleh lari di muka bumi ini iaitu mati dan cukai. Kedua-duanya memang tidak boleh lari. Saya lebih suka kalau semua orang bayar cukai. Sebab dengan membayar cukai, kita akan memastikan kerajaan lebih prihatin terhadap duit
yang kita beri untuk dibelanjakan.

Tetapi sejauh manakah rakyat sedar perkara itu?

Wan Saiful: Itulah, perkara begini saya rasa masih lagi di peringkat awal. Kita di peringkat awal proses mematangkan demokrasi kita. Jadi perlu ada suara-suara di luar yang mendidik, membentuk pandangan umum. Mungkin di peringkat awal pandangan itu kadang-kadang dirasakan agak lari daripada the pendapat umum. Tetapi Insya-ALLAH, suatu hari nanti ia pasti akan diterima umum. Sedikit lagi kalau boleh iaitu mengenai isu gaji minima. Saya setuju apa yang Datuk Rahman sebut tadi bahawa sekiranya diperkenalkan gaji minima RM1,100, maka impaknya kepada ekonomi akan menjadi negatif. Tetapi kita kena ingat, sekarang ini yang perkenalkan gaji minima ialah kerajaan yang memerintah iaitu Barisan Nasional. Jadi isu gaji minima kita tidak boleh kata kalau naik bahaya. Isunya ialah kenapa perkenalkan benda ini dari peringkat awal? Once you have the legislation seperti gaji minima, ia pasti akan naik.