Saturday, January 28, 2012

islam di uighur

2 penduduk Islam Uighur dipenjara seumur hidup

BEIJING 27 Jan. - Mahkamah China hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap dua orang penduduk Islam Uighur yang diusir dari Kemboja, lapor Stesen Radio Free Asia.

Tindakan itu, sekali gus menunjukkan tiada tanda-tanda Beijing akan melonggarkan cengkaman terhadap wilayah autonomi Uighur di Xinjiang yang kaya dengan sumber minyak dan gas asli.

Hukuman itu dilaksanakan ketika China mahu memastikan kestabilan diutamakan dan dicapai menjelang peralihan kepimpinan hujung tahun ini.

Namun, tiada butiran lanjut mengenai kesalahan kedua-dua penduduk terbabit.

Dua penduduk Islam Uighur itu merupakan antara 20 pencari suaka politik di Kemboja selepas rusuhan etnik meletus antara penduduk Uighur dengan penduduk China Han di ibu negeri Xinjiang, Urumqi pada Julai 2009 yang menyebabkan hampir 200 orang terbunuh.

Radio Free Asia yang memetik kenyataan kumpulan aktivis melaporkan, kumpulan suaka politik itu melarikan diri selepas menyaksikan pihak keselamatan menggunakan senjata serta menahan penunjuk perasaan Uighur semasa rusuhan tersebut.

Beberapa ahli kumpulan suaka politik itu turut dipenjarakan selama 17 tahun dan bakinya tidak diketahui memandangkan perbicaraan mahkamah dikendalikan secara rahsia.

Presiden Persatuan Uighur Amerika Syarikat, Alim Seytoff berkata, tindakan China itu sepatutnya mendapat perhatian dunia terhadap layanan Beijing kepada pencari suaka politik Uighur.

"Etnik Uighur di Kemboja dihantar semula ke China dan ditindas atas tindakan mereka melarikan diri ketika keganasan tercetus.

"Kita tidak boleh membiarkan kerajaan China menekan pencari suaka politik Uighur yang berada di negara lain," katanya. - REUTERS

tak laku di indon

Video lucah Datuk T di Jakarta

SISWA MALAYSIA
Bandung

TULISAN Zulkefli Hamzah dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu bertajuk Mencari Pengaruh yang hilang di Indonesia yang merujuk kepada kehilangan populariti Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negara itu tetapi beliau tidak memberikan sebab yang kukuh tentang mengapa berlakunya keadaan ini.

Beliau cuma mengemukakan kegagalan ''Perhimpunan KB PII (Pelajar Islam Indonesia) mengenai Perkembangan Politik Malaysia Terkini" yang dijadualkan pada 20 Januari 2012 di rumah KB PII di Jalan Daksa V No.5 Jakarta Selatan sebagai bukti.

Sewajarnya ramai yang menghadiri perhimpunan itu memandangkan ahli PII berjuta orang tetapi hanya dihadiri oleh beberapa gelintir manusia yang akhirnya menjadi majlis sembang-sembang sahaja.

Sumber penyebaran maklumat mengenai perhimpunan itu ialah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bersumberkan daripada Shamsul Iskandar Akin (Ketua Pemuda PKR Malaysia) dan Syed Sharir Mohamud (bekas pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia).

Zulkefli juga menyatakan selain daripada perubahan politik di Indonesia, ramai bekas teman rapat Anwar di Malaysia yang juga mempunyai pengaruh di Indonesia menjadi halangan utama kepada kegagalan perhimpunan itu yang sepatutnya mendapat sambutan hebat kerana dianjurkan oleh sebuah persatuan mahasiswa yang mempunyai ahli berjuta. Tetapi Zulkefli tidak menyebutkan bagaimana mereka boleh menjadi penghalang.

Apa yang sebenarnya berlaku yang diketahui oleh saya sebagai mahasiswa Malaysia di Bandung yang mempunyai ramai kawan siswa di Jakarta adalah kerana penyebaran luas video seks yang melibatkan Anwar oleh Datuk T di kalangan mahasiswa Indonesia dan Malaysia. Kami di Bandung juga telah melihatnya.

Video ini juga dipercayai telah jatuh ke tangan para pemimpin politik Indonesia termasuk yang mempunyai kedudukan berpengaruh.

Saya tidak tahu apakah rakan-rakan rapat Anwar yang telah menyebarkan video itu di Indonesia terutamanya di kalangan mahasiswa di Jakarta.

Saya percaya dengan penyebaran yang berlaku di kalangan mahasiswa Indonesia, bukan suatu pekara yang mustahil jika ia juga tersebar luas di kalangan masyarakat Indonesia lainnya kerana di negara itu atas nama wang segala-galanya boleh berlaku.

Jika ini semua berpunca daripada bekas rakan rapat Anwar, maka saya ucapkan tahniah kepada mereka.

pakar?

Benarkah Aziz Bari 'pakar undang-undang'?

SAKINAH
Kuala Lumpur

SAYA ingin mendapatkan penjelasan siapakah yang telah memberikan pengiktirafan kepada Prof. Dr. Aziz Bari sebagai pakar undang-undang dan perlembagaan?

Adakah pengiktirafan ini telah diberikan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), tempat beliau pernah berkhidmat atau oleh lain-lain universiti di dalam atau di luar negara atau pengiktirafan ini diberikan oleh hanya sebuah akhbar yang beliau pernah menulis.

Saya tidak mempersoalkan sekiranya pengiktirafan ini diberikan kepada Shad Saleem Faruqi, Profesor Emeritus Undang-Undang UiTM yang juga Profesor Pelawat USM yang setiap minggu saya membaca tulisannya dalam akhbar The Star.

Suatu masa dahulu seorang yang bukan doktor telah dianggap sebagai doktor Al-Arqam, sebuah pertubuhan agama yang diharamkan oleh kerajaan kerana media perdana telah menggunakan gelaran itu dengan sewenang-wenangnya tetapi kemudian terdedah bahawa beliau sebenarnya tidak menghabiskan pengajian perubatannya.

Tujuan Al-Arqam mempromosikan gelaran itu adalah untuk meyakinkan orang ramai bahawa seorang doktor telah menyertai Al-Arqam.

Bagaimanapun saya percaya bahawa Profesor Dr. Aziz Bari memang berkelulusan undang-undang tetapi saya tidak tahu bila beliau mendapat pengiktirafan sebagai pakar undang-undang dan perlembagaan dan siapakah yang memberikan kepadanya?

Saya pernah juga membaca tulisannya tetapi telah berhenti daripada membacanya kerana mendapati bahawa beliau seorang yang tidak bebas, cenderung kepada parti pembangkang dan tulisannya selalu berat sebelah berasaskan kepada kecenderungan dan persepsi politiknya. Maka itu timbul keraguan saya terhadap kedudukannya sebagai pakar undang-undang.

Maka itu saya ingin mendapat penjelasan rasmi UIAM dan juga pandangan Majlis Peguam ataupun pihak yang telah memberikan pengiktirafan itu.

jangan layan

MB Pahang tidak perlu layan

YOPE KEY-DARE,
Kuantan

KALAU diturutkan puak pembangkang, 'benang yang basah pun boleh ditegakkan', termasuklah dalam memperkatakan sehingga memberi gambaran buruk tentang projek pemprosesan logam tanah jarang, Lynas bernilai RM2,300 juta di Gebeng, dekat sini.

Di sebalik sekadar 'minoriti lantang' (vocal minority) yang bermatian-matian berusaha mewujudkan persepsi negatif terhadap projek oleh Lynas Malaysia Sdn. Bhd. itu, mereka berjaya juga mempengaruhi segelintir penduduk Kuantan khususnya masyarakat Cina.

(Minoriti lantang ialah segelintir individu yang sering meluahkan pendapat mereka kepada khalayak, bertentangan dengan majoriti senyap yang merupakan sebahagian besar masyarakat namun jarang meluahkan pendapat mereka).

Inilah kejayaan mereka yang hendak dipertahan dan dikekalkan, lalu mereka sentiasa merangkakan aktiviti baharu agar 'momentum' yang ada tidak terencat, sebaliknya disemarakkan dari satu tahap, ke satu tahap lain.

Yang terbaharu ialah dengan mencadangkan debat mengenai isu ini dianjurkan, kononnya supaya orang ramai dapat membuat penilaian tersendiri tentang projek yang ditohmahkan sebagai amat berbahaya kepada keselamatan dan kesihatan.

Maka, tidak adalah yang lebih menarik perhatian terhadap debat ini daripada Ahli Parlimen pembangkang dari Kuantan, Fuziah Salleh, menawarkan untuk beradu-debat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob.

Seperti sudah terhidu dengan strategi terbaharu inilah, Adnan yang diminta mengulas tentang gesaan berdebat itu semasa ditemui oleh wartawan pada satu majlis di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), 17 Januari lepas, telah menyahutnya secara positif namun menegaskan;

"Awak sendiri lihat betapa penentang-penentang projek Lynas ini, kita telah pun berikan kepada mereka segala fakta, segala penerangan yang dilakukan oleh pakar-pakar nuklear, pakar radiasi tetapi mereka masih tidak dapat terima.

"Apakah maknanya ini? Mereka ialah golongan yang bersikap tidak peduli apa. Kepada golongan sebegini, kita boleh berikan segala penjelasan tetapi jika mereka terus bersikap tidak peduli apa, agama saya sarankan agar kita tidak perlu bertikam lidah, kita tidak perlu untuk memberi sebab-musabab (reason-out) kepada mereka".

Tepat sekali kata-kata Adnan itu, dan beliau sudah tentu tahu apa yang dikatakannya kerana sebelum inipun - lama sebelum projek pemprosesan logam tanah jarang ini menjadi isu sebagaimana sekarang; beliau juga pernah bertemu dan berbalas-balas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan Ahli Parlimen wanita itu.

Hasil daripada itulah yang turut menyumbang kepada keputusan Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), membawa pakar-pakar bebas mahupun yang bernaung di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), untuk melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan ke atas projek itu pada Jun lepas.

Akhirnya, pakar-pakar ini memutuskan bahawa projek ini adalah selamat, dan dalam masa yang sama mengemukakan 11 cadangan antaranya mengenai keperluan kerajaan untuk meneruskan lagi kerja-kerja perhubungan atau perundingan (engagement) agar masyarakat dapat faham tentang selamatnya projek ini.

Jika debat yang dicadangkan pula kini ialah bagi memenuhi kehendak untuk perhubungan atau perundingan itu, bagaimanakah dengan begitu banyak sesi perhubungan atau perundingan yang telah dilaksanakan selama ini sejak 2008 lagi?

Antara sesi tersebut, termasuk pada Julai 2009 lagi, apabila taklimat dianjurkan kepada ahli-ahli Parlimen dan wakil-wakil rakyat termasuk Fuziah, tetapi beliau tidak hadir sebaliknya menghantar seseorang sebagai wakilnya.

(Dan projek ini hanya menjadi isu selepas akhbar asing - New York Times menyiarkan laporan negatif berunsur fitnah terhadapnya pada 8 Mac lepas (2011), dikutip dan disiarkan sepenuhnya dua hari kemudian pada 10 Mac oleh akhbar tempatan, The Star; dan diburukkan dengan kejadian kebocoran yang berlaku ke atas reaktor nuklear di Fukushima, Jepun hanya sehari selepas itu, pada 11 Mac).

Jika pembangkang asyik melalak tentang keperluan untuk semua pihak mematuhi cadangan IAEA tentang keperluan untuk terus menganjurkan perhubungan atau perundingan tersebut, kenapa pula puak pembangkang tidak mahu menerima dan patuh kepada dapatan IAEA yang sama tentang selamatnya projek ini?

Sebenarnya, debat yang dicadangkan kali ini ialah alternatif puak pembangkang sendiri kepada majlis perjumpaan ala town-hall yang pernah dianjurkan menerusi perantara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Kompleks Dagangan Mahkota dekat sini, pada April lepas lagi.

Hanya sempat bertahan selama tiga kali penganjuran, kerajaan negeri memutuskan untuk menangguh kemudian membatalkannya terus, berikutan kekecohan yang ditimbulkan oleh mereka yang hadir secara bebas, kebanyakannya pula dengan pre-judged mind lalu tidak mahu terima apa juga penjelasan yang diberikan.

Belajar daripada insiden pahit tersebutlah, bermula sebaik-baik selepas IAEA membuat pengumumannya pada 30 Jun lepas, sesi-sesi perhubungan atau perundingan kemudian diadakan secara kelompok ke kelompok khusus tertentu dengan yang pertama, melibatkan anggota komponen Barisan Nasional (BN).

Pada perjumpaan yang diadakan di Dewan, Kediaman Rasmi Menteri Besar dekat sini, puak-puak penentang ini tetap datang tanpa diundang, dengan matlamat tentunya untuk mengecohkan keadaan seperti mana di Kompleks Dagangan Mahkota.

Namun, sesudah menyedari betapa mereka sekadar membentuk sekumpulan kecil hadirin dalam kalangan anggota BN yang sudah tentunya lebih ramai, yang boleh puak penentang ini lakukan ialah sekadar diam menikus!

Penulis melihat cadangan puak pembangkang kepada penganjuran debat kali ini ialah kerana mereka ternampak wujud kelemahan di pihak kerajaan yang dilihat terlalu accomodative terhadap apa juga yang mereka kehendaki selama ini.

Sedangkan, apa yang telah dilakukan adalah lebih daripada memadai sungguhpun pada setiap kali juga, kerajaan tentunya sedar tentang taktik licik puak ini yang sering gemar 'mengubah tiang gol' (changing the goal post).

Maka, haruskah kerenah mereka perlu dilayani lagi termasuk dalam memenuhi gesaan mereka terhadap Adnan untuk mengadakan debat, yang pasti tidak akan mendatangkan apa-apa faedah itu?

pas kian pudar

Betulkah peranan, maruah parti berlambang 'bulan putih' dihargai?

SEORANG pembaca menghantar e-mel menyatakan: Di mata UMNO, Dr. Hasan Ali, warga Utusan Malaysia "peranan Pas makin kecil, maruah seperti dipijak" ... tetapi di mata hati Pas, pakatan pembangkang dan penyokong Pas "peranan Pas makin dihargai, maruah seperti dijulang tinggi".

Itu persepsi dan keyakinan penyokong 'fanatik' Pas berkenaan. Tetapi saya tertanya-tanya, aspek mana yang dikatakan 'peranan Pas makin dihargai'?

Prinsip perjuangan Pas terhadap Islam dilihat semakin luntur. Jika tidak, apa peranan Kerajaan Pas Kedah hingga tergamak hendak merobohkan Madrasah Salihiah di Alor Setar bagi memberi laluan pembinaan kompleks beli-belah Aman Central bernilai RM500 juta.

Bagai sukar diterima akal, pimpinan Pas Kedah boleh bersetuju untuk meroboh sebuah madrasah yang masih elok dan diimarahkan selalu oleh para jemaahnya.

Mana pula maruah Pas yang dikatakan "dijulang tinggi" kalau sampai hari ini belum keluar kenyataan pimpinan Pas mengenai hasrat DAP untuk meletak calon Melayunya di kawasan-kawasan yang majoriti pengundinya orang Melayu.

Hal-hal berkaitan peranan dan maruah parti berlambang 'bulan putih' itu belum mengambil kira isu pengambilalihan jawatan Exco Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor!

Apa perasaan ahli-ahli Pas baik di Selangor dan seluruh negara. Mereka tentu rasa terhina apabila portfolio agama yang selama ini disandang oleh parti itu tiba-tiba diambil alih oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bukan sinonim dengan aktiviti agama.

Nampak sangat Pas sudah tidak dipercayai rakan pakatannya. Sebagai parti yang memperjuangkan Islam, sepatutnya Pas yang diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk memegang jawatan itu.

Tindakan terbaru pakatan pembangkang ini sudah tentu diperhatikan oleh penyokong Hasan dan mereka melihat Pas sudah terlampau mengikut telunjuk PKR dan DAP.

Daripada hanya cakap-cakap politik, dan sekadar persepsi kini orang Pas telah pun mendapat gambaran sebenar.

Ahli-ahli Pas pun bukan semua setuju dengan perubahan hala tuju parti daripada perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan. Dan sejak akhir-akhirnya ini, Pas banyak tunduk setuju dengan ideologi DAP dan PKR.

Akibat kebergantungan Pas kepada DAP konon untuk memulihkan imej ekstrem parti itu daripada kaca mata bukan Melayu, akhirnya Pas yang terpaksa membayar harga amat tinggi apabila dasar perjuangan negara Islam parti itu sendiri dikorbankan.

Tidakkah contoh-contoh tersebut menunjukkan peranan dan maruah Pas bagaikan dipijak-pijak? Bukankah ia juga menampakkan pengaruh dan kuasa parti itu semakin lemah dalam pakatan pembangkang.

Mana pendirian Pas dalam proses tawar-menawar dengan pakatan. Nampak sangat beberapa keputusan penting dilihat bagaikan dibayangi oleh PKR dan DAP. Pas hanya 'mengikut' sahaja.

Jelas, imej Pas sudah dicacatkan, sekali gus mengikis rasa hormat masyarakat kepada parti itu.

Sesungguhnya peranan Pas yang kian pudar dalam pakatan pembangkang perlu disedari pemimpin parti itu agar tidak syok sendiri.

Kedudukan Pas semakin kecil dan bagaikan melukut di tepi gantang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli akar umbi. Penyokong Pas juga akan mempersoalkan kenapa parti itu kini lemah dan terpaksa akur pada tekanan.

Pas sekarang tidak sama dengan Pas dahulu. Pas sudah jauh berbeza sejak berkawan dengan DAP dan PKR. Pemimpinnya leka berpolitik daripada merancang agenda rakyat sehingga banyak isu rakyat gagal diselesaikan.

Kepada pemimpin tertinggi dan ahli Pas, sedarlah bahawa sumbangan tenaga, masa dan buah fikiran yang mereka taburkan selama empat tahun bersama dengan pakatan kini tidak dihargai.

Kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang sekadar penumpang. Pas banyak tunduk dengan arahan DAP dan PKR tanpa tentangan.

Pas sepatutnya sedar parti itu hanya dipergunakan oleh PKR dan DAP bagi menjayakan impian mereka untuk menang dalam pilihan raya.

bila pr lulus tanah

Bila cakap tak serupa bikin...

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

DI Batu 12, Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor ada satu kisah yang boleh dijadikan pengajaran berguna. Tanah TOL atau tanah lesen menduduki sementara di situ telah lama diterokai dan diduduki penduduk sejak 70 tahun lalu dengan menjadikannya rumah kedai.

Semasa Selangor di bawah pentadbiran kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum 2008, kira-kira tiga atau empat pekedai di situ cuma membayar premium kira-kira RM5,000 untuk mendapatkan geran.

Tetapi beberapa lagi pekedai daripada keseluruhan sembilan kedai di situ enggan berbuat demikian. Senang cakap barangkali mereka ini penyokong pembangkang. Mereka enggan menemui wakil rakyat kerajaan waktu itu untuk urusan geran.

Masa berlalu. Sebaik-baik sahaja kerajaan negeri BN itu jatuh ke tangan pembangkang, dikatakan antara pekedai tadi yang merupakan penyokong Pas merasakan peralihan kepimpinan itu adalah masa yang tepat untuk memohon geran. Tetapi alangkah terperanjatnya mereka apabila kadar premium yang dituntut untuk tanah berkeluasan lebih kurang 83.128 meter persegi (894.782 kaki persegi) bukannya RM5,000 atau RM6,000.

Sebaliknya mencecah RM60,000. Terkedu dan 'terduduk' mereka. Terkena batang hidung sendiri apabila urusan permohonan geran itu mengikut harga pasaran.

Bukan sahaja kadar premium yang tinggi berlaku di Sungai Burong. Di satu kawasan di Sungai Kajang untuk keluasan tanah 3 ekar sahaja, kadar premiumnya melambung sehingga RM300,000.

Dahulu, dalam manifesto pakatan pembangkang, sibuk melaung-laungkan mahu tegakkan keadilan. Sama rasa dan sama rata kononnya. Tetapi tengoklah apa yang berlaku.

Peruntukan untuk sekolah-sekolah contohnya. Kerajaan PKR Selangor mengumumkan sejumlah RM6 juta disalurkan masing-masing untuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang berjumlah 108 buah dan sekolah rendah agama (414 buah). Untuk SJKT (Tamil) pula yang bilangannya 97 buah di negeri itu, cuma RM4 juta.

Mengapa nisbah peruntukannya 6:6:4 (SJKC, Sekolah Agama dan SJKT) dan bukannya 6:6:6. Hanya kerana dibezakan dengan 11 buah sekolah sahaja berbanding SJKC (108-97), sekolah Tamil rugi RM2 juta. Perbuatan 'pilih kasih' ini bukti cakap tidak serupa bikin pembangkang. Tidak ada elemen sama rata dan sama rasa rupanya.

Berpegang kepada banyak isu yang dicetuskan pakatan pembangkang di Selangor inilah maka Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu, Datuk Seri Noh Omar mengajak rakyat Selangor supaya berfikir lebih panjang. Bahawa apakah wajar PKR, Pas dan DAP perlu dipertimbangkan lagi untuk mewakili mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Rakyat Selangor tentu lebih bijaksana. Lebih lama pembangkang perintah negeri itu, lagi lama rakyatnya 'memendam rasa'.

"Kerajaan PKR Selangor ini buat sesuatu untuk rakyat negerinya hanya bermotifkan keuntungan politik mereka. Mereka sanggup tolak pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah yang sepatutnya direncanakan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan satu lagi kerjanya (PKR Selangor) hanya jual harta yang ada.

"Apa pembangunan yang boleh dibanggakan di Selangor dalam tempoh empat tahun pembangkang perintah? Daripada kita (rakyat) ada aset PKNS dan Yayasan Selangor, hari ini semuanya nak dijual mereka (pembangkang). Kita (BN) dahulu sediakan tapak-tapak pasar tani dan pasar malam, hari ini kita lihat sewa premis-premis ini semuanya dinaikkan. Jelas ini bercanggah dengan manifesto mereka.

"Dahulu kata nak sediakan kemudahan premis untuk usahawan, tapi hari ini bukan sahaja tak ada tetapi nak naik pula sewa dan tekan usahawan.

"Kemudian, rakyat Selangorlah yang rugi kerana tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, tentu sukarlah nanti Kerajaan Pusat hendak bangunkan projek pertanian kalau ada kelam-kelibut begini," kata Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika ditemui penulis di Tanjong Karang kelmarin.

Noh sekali lagi menarik perhatian bagaimana sentimen peribadi tidak dicampur-adukkan oleh kerajaan BN sebelum ini namun pada era Selangor diterajui pembangkang, ia dipraktikkan pula.

"Contohnya permohonan kebenaran merancang bagi pembinaan sebuah kilang di Kuala Selangor yang belum pernah dalam sejarah pentadbiran BN di Selangor, pemohon perlu mengemukakan atau mendapatkan ulasan/sokongan daripada Exco terbabit untuk kelulusan. Mengapa unsur peribadi dibabitkan untuk meluluskan permohonan berkenaan," katanya.

Cakap tak serupa bikin dan hipokrasi kini mewarnai pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor.

Cuba rakyat negeri Selangor nilaikan hipokritnya kerajaan PKR Selangor ini pula. Pada Mesyuarat Exco pada 25 Mac 2011, mereka bersetuju untuk menaikkan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya. Kenaikan elaun tersebut adalah dari RM4,112.79 kepada RM6,000. Bayaran dikira bermula 1 Januari 2011 (tertunggak).

Dalam hal ini, Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) mengakui dalam kenyataan pada Sidang DUN bahawa kenaikan itu sesuai kerana keadaan ekonomi yang baik dan tugas-tugas yang diberikan.

Tetapi dalam sidang Parlimen hujung 2011, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan elaun Ahli Parlimen atas alasan yang sama diberikan, dengan 'bermuka-muka' dan hipokrit pula pembangkang termasuk Azmin Ali yang juga Ketua Whip di Selangor menentang 'sehabis-habis alam' kenaikan itu.

"Nak jadi jaguh konon, elaun negeri kebas, untuk Ahli Parlimen ditentang pula, maknanya dia turut menganiaya ahli-ahli Parlimen pembangkang juga. Tidakkah itu hipokrit namanya... cakap tak serupa bikin," kata Noh lagi.

Banyak lagi cacat-celanya pemerintahan kerajaan PKR Selangor yang memerlukan tindak balas rakyat negeri itu untuk memberi pengajaran berharga kepada mereka pada PRU13 nanti.

Ketika mula-mula menyandang jawatan Menteri Besar pada 2009, Abdul Khalid dalam ucapan sulungnya menyasarkan perlombongan pasir di negeri itu boleh mencecah sekitar RM150 juta setahun. Tetapi akhirnya tak sampai pun RM15 juta.

Semasa berucap sempena hari jadi Sultan Selangor tempoh hari, beliau mengumumkan pula kenaikan elaun guru KAFA menjadi RM1,300 sebulan. Tetapi langsung tak sebut pun daripada RM1,300 itu, cuma RM500 sahaja peruntukan datang daripada kerajaan negeri manakala baki RM800 lagi adalah daripada Kerajaan Persekutuan.

Noh percaya peluang BN untuk kembali menerajui Selangor semakin terbuka. Apatah lagi jentera pilihan raya sudah pun disusun rapi daripada peringkat cawangan, DUN dan Parlimen. Malah, seramai 894 ketua-ketua pusat mengundi pun sudah dilantik. Dan baru-baru ini pula setiap seorang dengan penuh bersemangat bersalam dan berbaiah dengan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor untuk menebus kembali maruah BN di negeri itu.

Untuk mengembalikan semula kuasa di Selangor, BN memerlukan kemenangan di sekurang-kurangnya 30 daripada 56 kerusi DUN.

Dengan 'cakap tidak serupa bikin' pakatan pembangkang yang memerintah Selangor sekarang, peluang untuk BN kembali menerajui negeri itu dilihat boleh melepasi 'reading' 50-50.

Itupun terserah kepada kebijaksanaan pengundi untuk menilai dengan 'mata hati' akan isu-isu terbaru yang menyelubungi Pas, PKR dan DAP di Selangor.

sains di sekolah cina

Contohi penekanan sains sekolah Cina


Murid tahun satu daripada pelbagai kaum belajar bersama-sama di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). - Gambar hiasan


PERATUSAN pelajar mengambil jurusan Sains dikatakan turun mendadak sejak 2007 dan kini dianggap amat kritikal di samping memperlahankan sasaran untuk Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020.
Pelan hala tuju tersebut menyasarkan 60 peratus pelajar mengambil aliran sains sementara selebihnya aliran sastera.
Namun, di setiap peringkat pilihan sama ada peperiksaan utama di sekolah, matrikulasi mahupun di universiti, rata-rata pelajar lebih cenderung memilih subjek yang 'lebih mudah' berbanding aliran sains.
Ditambah pula dengan klasifikasi pelajar aliran sains yang 'sama rata' dengan pelajar bidang lain, tidak menggambarkan mereka mengikuti subjek kritikal sedangkan mata pelajarannya jauh lebih sukar dan hanya boleh diikuti pelajar tertentu.
Akhirnya, pelajar yang mengambil 'subjek mudah' mencatatkan Nilai Purata Gred Kumulatif (CGPA) tertinggi, menerima pelbagai anugerah dan juga biasiswa pendidikan.
Tidak cukup di situ, persimpangan selepas meninggalkan universiti juga kehilangan sebilangan graduan sains kepada kerjaya bidang lain akibat beberapa faktor termasuk kerja yang bahaya, waktu kerja, gaji dan birokrasi.
Hakikatnya, aliran sains bukan sahaja kelihatan lebih sukar, tidak menarik dan sudah hilang keistimewaan berbanding aliran lain, malahan kebanyakan kerjaya sains sedia ada tidak menawarkan kelebihan yang sepadan, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
Bermula dari dalam rumah, di sekolah, universiti dan akhirnya kerjaya sains, masyarakat negara ini secara umumnya tidak meletakkan aliran sains sebagai satu bidang menarik, mungkin kerana gambaran serong bahawa kerjaya lain seperti kewangan, perniagaan mahupun sebagai artis hiburan lebih berbaloi untuk anak-anak mereka.
Tanpa penerapan jiwa sains, motivasi serta galakan terhadap minat anak-anak kecil terhadap kepelbagaian ilmu sains, mereka juga akan membesar dengan perspektif bahawa kerjaya sains tidak berbaloi dengan kesukaran bertahun-tahun mempelajarinya.
Pihak berwajib kini bukan sahaja berhadapan dengan masalah minat murid untuk belajar dalam bidang sains malahan pilihan untuk menceburi kerjaya sains yang kritikal untuk negara.
Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom tidak dapat menjelaskan kenapa kemerosotan itu berlaku tetapi berharap satu kajian mendalam dapat dijalankan segera bagi mengenal pasti puncanya.
Namun, beliau menekankan langkah mengatasinya perlu digerakkan segera bagi memastikan aliran sains menjadi pilihan utama murid dalam jangka panjang.
"Penyelesaian masalah ini banyak bergantung kepada guru dan ibu bapa yang perlu memberi penekanan subjek sains menawarkan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak.
"Kaunselor sekolah juga perlu menunjukkan jalan ke arah peluang yang terbuka di universiti dalam pelbagai bidang sains di samping biasiswa dan bantuan yang khusus untuk subjek kritikal," katanya.
Jelas beliau, pihak universiti hanya mengambil pelajar yang memenuhi syarat untuk kursus yang ditawarkan, maka semuanya bermula di sekolah dalam menekankan aliran sains jika murid mahukan masa depan dalam kursus berkaitan.
"Ada juga yang kata pelajar aliran lain juga boleh ambil kursus sains di universiti tetapi bilangannya kecil. Adalah lebih mudah jika murid aliran sains yang ditawarkan peluang itu.
"Oleh itu, sekolah dan ibu bapa perlu mainkan peranan dalam mendorong anak-anak memilih aliran sains seterusnya ke arah kerjaya kritikal dan profesional yang lebih diperlukan pasaran kelak," ujarnya.
Tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah pula berpendapat punca masalah tersebut perlu dilihat dari pelbagai sudut dan daripada peringkat permulaan lagi.
Menurut beliau, menjadi sifat manusia untuk memilih yang lebih mudah dan itu juga sering dilakukan murid serta pelajar dalam memilih aliran pelajaran di sekolah mahupun kursus di universiti.
"Murid Melayu terutamanya takut untuk mengambil aliran sains yang dilihat lebih susah menjelang peperiksaan utama di sekolah.
"Di peringkat matrikulasi juga begitu, mereka takut untuk meneruskan ke bidang sains sebaliknya bertukar ke bidang lain walaupun telah mengambil subjek sains ketika matrikulasi," katanya.
Tambahnya, keputusan peperiksaan ketika matrikulasi juga menjadi halangan kerana CGPA yang diperolehi menghalang atau menyukarkan pelajar meneruskan pendidikan sains kritikal dan terpaksa memilih bidang kurang kompetitif.
Menurutnya, rasa takut dan keputusan peperiksaan menjadi antara punca utama kurangnya pelajar Melayu di universiti-universiti yang menawarkan subjek kritikal dan profesional.
Namun, beliau merasakan guru yang menjadi faktor paling penting dalam menentukan arah tuju murid-murid mengambil aliran sains ke arah subjek kritikal di universiti kelak.
"Para guru menjadi tiang utama dalam membimbing, menggalakkan dan memberi motivasi kepada pelajar untuk mengambil aliran sains.
"Peranan guru cukup penting sebagai satu ibadah, tugas suci dalam melatih murid-murid mereka menjadi manusia yang berjaya dan berguna," tegasnya.
Tambahnya, walaupun ibu bapa mempunyai peranan tersendiri dalam menggalakkan anak-anak ke arah sains, tetapi hakikatnya murid lebih mendengar kata-kata guru di sekolah.
"Tambahan pula, ibu bapa yang rata-rata sibuk dengan kerja kini telah melepaskan sepenuhnya anak kepada sekolah terutamanya jika sekolah berasrama penuh.
"Maka murid lebih banyak menghabiskan masa di sekolah dan dengan itu lebih mendengar cakap guru mereka," jelasnya.
Malangnya, mengikut pengamatan beliau sejak bersara dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), guru-guru di sekolah kebangsaan dilihat tidak begitu komited dalam membangunkan modal insan murid terutamanya anak-anak Melayu.
"Sedih saya katakan, kita tidak begitu komited berbanding guru di sekolah Cina yang pentingkan kualiti, disiplin dan kekitaan di kalangan murid mereka.
"Kebanyakan sekolah Cina tidak membuang masa hujung minggu sebaliknya mengadakan aktiviti sukan, tuisyen dan macam-macam lagi bersama murid-murid," ujarnya.
Jelasnya, guru besar dan guru-guru sekolah Cina begitu komited dan ikhlas kerana sayangkan bangsa mereka sehingga sanggup meluangkan masa hujung minggu bersama murid sekolah tanpa meminta apa-apa pampasan.
Ibrahim juga sedih membandingkan cara pendidikan bangsa lain dengan orang Melayu dalam menanam semangat rajin belajar dan bekerja keras untuk berjaya kelak.
"Lihat saja murid Melayu di hujung minggu, bebas nak buat apa pun. Masa di sekolah pula banyak dibazirkan guru dengan perkara lain seperti bercakap isu politik di dalam kelas.
"Sedih, kenapa tak sayang kepada bangsa dan agama kita seperti mana guru Cina dalam mendidik anak-anak bangsa mereka sedangkan guru kita telah diberikan gaji besar," soal beliau.
Oleh itu, beliau mencadangkan orang Melayu belajar daripada orang Cina, sama ada guru mahupun ibu bapa dalam aspek pendidikan anak-anak bangsa.
"Saya berharap dalam menangani isu ini, para guru jangan berkira sangat dan betul-betul ikhlas dalam membentuk anak bangsa yang berjaya.
"Kita bantu murid-murid dengan mengubah sikap, bantuan peruntukan dan sebagainya. Biarkan otak anak-anak ini bersih daripada perkara tidak berkaitan agar mereka boleh fokus kepada pelajaran," katanya.
Tegasnya, langkah ini menjadi satu revolusi pemikiran dan kognitif yang perlu disegerakan kerana jika terus gagal muhasabah diri dan memperbaiki apa yang perlu, semakin lama orang Melayu semakin ketinggalan.