Wednesday, November 16, 2011

peniaga warga asing menguasai kl

Jangan biar warga asing kuasai perniagaan di KL

GENERASI MUDA
Kuala Lumpur

LAPORAN akhbar mengenai longgokan pendatang asing menjadi peniaga di Kuala Lumpur baru-baru ini menarik minat saya memberi sedikit ulasan.

Sebagai generasi muda, saya kecewa dengan senario ini, kerana tidak ada pihak yang memandang serius mengenainya. Saya sebagai bakal graduan, amat malu kerana pihak berwajib hanya membiarkan perkara itu berlarutan sehingga menjejaskan mata pencarian anak Malaysia.

Bukan sahaja Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR ), malahan kawasan Chow Kit Road juga menjadi tumpuan warga asing sehingga saya merasakan berada di luar negara.

Dikatakan peniaga dari Pakistan dan negara-negara lain mempunyai sejumlah modal besar. Jadi tidak hairanlah jika ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab meminta duit daripada warga asing ini sebagai perlindungan. Mungkin disebabkan terlalu asyik meminta 'duit kopi' sehingga pihak-pihak tertentu ini tidak sedar yang perniagaan di Jalan TAR sudah dimonopoli warga asing.

Jalan TAR hanya tinggal nama sahaja. Tetapi sayang, generasi kini telah 'menggadaikannya' dan membiarkan jalan ini dijajah.

Seperti yang kita sedia maklum, berniaga merupakan salah satu cara untuk menaikkan taraf ekonomi seseorang, juga merapatkan jurang ekonomi serta menaikkan taraf hidup sesebuah keluarga. Tetapi adakah masih ada peluang untuk bumiputera berniaga dalam kalangan warga asing?

Sekiranya anda pernah ke Plaza Low Yat untuk membeli komputer riba, pasti anda juga perasan kehadiran warga Pakistan yang memonopoli bisnes ini. Paling menyedihkan saya apabila rakyat Malaysia menjadi pekerja kepada warga Pakistan. Fakta ini bukan sahaja menyedihkan tapi amat memalukan.

Isu monopoli oleh warga asing ini bukan hanya tertumpu di Jalan TAR, tetapi di seluruh negara. Malaysia adalah untuk rakyat Malaysia, hak atas semua aktiviti ekonomi adalah untuk rakyat. Jangan menganaktirikan Bumiputera di tempat lahir mereka sendiri.

pas roboh betul bn roboh zalim

Selamatkan Madrasah Salihiah Kanchut!


Bangunan Madrasah Salihiah Kanchut di Jalan Tambang Badak, Alor Setar Kedah bakal dirobohkan untuk dibina Plaza Tunku Yaacob. – utusan/ Kamal Basir


BANYAK kali sudah saya menulis mengenai sikap hipokrasi dan munafik orang kita, iaitu orang Melayu beragama Islam di negara ini. Cakap tak serupa bikin. Matlamat menghalalkan cara. Akhirnya yang rugi ialah bangsa itu sendiri.
Apabila terkena di atas batang hidung sendiri semua senyap. Ya, semuanya yang salah menjadi betul. Sehinggakan Madrasah Salihiah Kanchut, Alor Setar berusia lebih 100 tahun, yang diumumkan oleh kerajaan Pas Kedah mahu dirobohkan, pun menjadi betul.
Semua orang senyap sunyi. Hanya 30 orang sahaja kariah yang berdemo. Tiada perbincangan dalam blog. Tiada kata-kata yang menuduh kerajaan Pas Kedah zalim, mahazalim, mahafiraun kerana mahu merobohkan sebuah madrasah – rumah suci umat Islam untuk dijadikan sebuah kompleks beli-belah.
Apa kata sekiranya kerajaan Kedah yang mahu merobohkan madrasah itu ialah Kerajaan Barisan Nasional (BN)? Saya rasa akan ada pak-pak lebai Pas yang sanggup tidur di atas jalan bagi mempertahankan madrasah itu.
Kini, tiada apa-apa berlaku. Malah kerajaan negeri pimpinan ustaz Azizan pula berkata siapa yang menentang ‘projek pembangunan’ itu dengan merobohkan madrasah itu sebagai orang bingai, atau tak reti bahasa atau dalam bahasa Inggeris yang bersopan ignorant atau jahil.
Wahai pembaca sekelian. Madrasah itu bukanlah madrasah biasa atau surau baru. Ia telah berusia lebih 100 tahun dan menjadi salah satu bangunan warisan Kedah di kota raya Alor Setar tua itu.
Perlu disebut, Alor Setar ialah salah sebuah bandar yang tertua di dunia, berusia sekitar lebih 200 tahun.
Bangunan-bangunan tua seperti Madrasah Salihiah Kanchut itu sepatutnya diperbaiki dan perindahkan seperti Masjid Zahir Alor Setar – bukannya dirobohkan.
Madrasah itu sepatutnya dijadikan bangunan warisan. Carilah tanah lain untuk didirikan kompleks beli-belah itu atau biarkanlah madrasah itu berdiri megah di keliling pusat beli-belah tersebut.
Yang mahu dirobohkan ini pula bukan bangunan tua yang bukan-bukan, ia adalah tempat ibadah yang maha suci umat Islam. Islam pula ialah parti yang kononnya didokong oleh parti Pas, parti yang memerintah Kedah sekarang?
Apa sudah jadi ini? Mana pergi hulubalang Pas yang sanggup tidur di atas jalan di Kuala Kangsar dulu dan sanggup menjadikan tubuh badan sebagai perisai di hadapan kereta FRU semasa demo Bersih dulu? Pergilah pertahankan madrasah berusia 100 tahun itu.
Azizan kata kita semua bingai. Menteri Besar itu kata dia pandai. Katanya kita roboh madrasah berusia 100 tahun itu, kita bina kompleks beli-belah dan kita buatlah surau di bawah bangunan itu. (Di atasnya ada apa?)
Tak apalah kita semua bingai. Apa yang Azizan itu cakap samalah seperti kita robohkan Masjid Zahir, kita bina kompleks beli-belah di atasnya dan kita buat surau yang indah-indah di dalamnya. Bolehkah kita perdengarkan azan di dalam kompleks beli-belah itu, sama seperti madrasah itu sekarang? Jika sebuah surau lain dibina di bawah bangunan atau di tapak lain, adakah sama dengan Madrasah Salihiah berusia 100 tahun itu?
Kita bukan nak beremosi di sini. Cuba kita bandingkan dengan senario ini: Pas pernah melancarkan kempen Kerajaan Selangor Zalim sekitar 2003 kerana kononnya Menteri Besar ketika itu, Dr. Khir Toyo mahu menamatkan tauliah solat Jumaat sebuah surau sementara dan merobohkannya di bawah sebuah pangsapuri lima tingkat di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi. Itu hanyalah surau berdindingkan plywood yang didirikan, sementara sebuah masjid iaitu Masjid Al-Hasanah siap dibina.
Oleh kerana surau itu sudah menjadi markas pengikut Pas, maka mereka melancarkan tentangan hebat dan blog-blog memainkan peranan dengan melancarkan kempen zalim terhadap kerajaan negeri.
Jika sebuah surau sementara di bawah sebuah flat Jubli Perak itu pun ditentang habis-habisan oleh puak Pas, bandingkan pula Madrasah Salihiah Kanchut berusia 100 tahun? Kenapa senyap sunyi?
Oleh itu wahai sahabatku di Kedah, cubalah lihat hipokrasi yang anda semua tunjukkan. Sesungguhnya kami sedih kerana anak-anak kami dan kaum kerabat kami telah dikelirukan oleh anda semua selama ini.
Kelmarin ustaz Azizan dengan megah menaiki jentera backhoe membuat upacara pecah tanah – tanpa mempedulikan tunjuk perasaan kariah. Kompleks membeli-belah itu berharga RM500 juta. Turut hadir ialah Pengarah Urusan syarikat pemaju, Belleview Group, Datuk Sonny Ho, sebuah syarikat berpangkalan di negeri pakatan, Pulau Pinang.
Sesungguhnya Allah amat murka dengan orang yang munafik. Antara ciri-ciri munafik yang berat ialah: Apabila berbicara selalu berbohong (Orang ini tidak boleh dipercayai dalam setiap perkataan yang diucapkan); Apabila berjanji tidak ditepati, dan; Apabila diberi kepercayaan mereka mengkhianatinya.
Semua ciri itu adalah bertentangan sama sekali semasa mereka berjanji ketika pilihan raya lalu.
Akhir sekali, wahai umat Islamku semua marilah kita mempertahankan dan menyelamatkan Madrasah Salihiah Kanchut di Jalan Tambang Badak di Alor Setar daripada dirobohkan.
Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita daripada sifat-sifat munafik dan kejahatan orang munafik.
FAKTA MADRASAH SALIHIAH KANCHUT
Jalan Tambang Badak, Alor Setar, KEDAH
DIBINA pada tahun 1327 Hijrah atau 1909. Kini berusia 102 tahun.
Bangunan yang asalnya diperbuat daripada kayu itu diasaskan antaranya oleh Hajah Aisyah.
Tapak asal Madrasah Salihiah adalah kira-kira 0.1 hektar namun mengecil kepada 0.08 hektar selepas sebahagian daripada tanahnya diambil untuk tujuan pembinaan jalan raya.
Tapaknya berstatus tanah wakaf khas yang dikhususkan untuk orang Islam bagi tujuan pembinaan masjid atau surau dan ia tidak pernah diganggu sejak sekian lama.
Madrasah itu kini mempunyai kira-kira 200 ahli kariah, bahkan kariah dari Jalan Titi Siam, Kampung Pisang, Jalan Menanti dan umat Islam lain juga menggunakan kemudahan yang ada di madrasah itu.
Setelah sekian lama digunakan, pada 23 Oktober 2011 pihak Madrasah Salihiah menerima notis daripada Kerajaan Negeri Kedah agar mengosongkan bangunan madrasah itu untuk dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.
Ahli kariah tidak berpuas hati kerana ia melanggar keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kedah pada 8 Rejab 1431 iaitu 21 Jun 2010 yang menyatakan. “Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan bahawa surau ini hendaklah dikekalkan di tempat asalnya tanpa diruntuhkan struktur asal bangunan tersebut demi kemaslahatan jemaah berdekatan untuk beribadat dan melakukan aktiviti keagamaan.”
Namun pada cabutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 4 Julai 2011, jawatankuasa itu membuat pindaan terhadap keputusan yang dibuat pada 21 Jun 2010.
Pindaan itu membenarkan madrasah itu digantikan dengan surau baru yang dibina oleh pemaju dengan beberapa syarat ditetapkan.
Notis mengosongkan bangunan itu diberikan lagi oleh kerajaan negeri yang berakhir 10 November 2011 bagi pembangunan semula Plaza Tunku Yaacob.
Kerajaan negeri berjanji akan menggantikan Madrasah Salihiah Kanchut dengan surau baru di pusat beli-belah tersebut.

Tuesday, November 15, 2011

buang penjawat awam

KR1M: Publisiti murahan DAP

SURAT ini merujuk kepada laporan tuan, CUEPACS pertahan penjawat awam, (Mingguan Malaysia 13 November 2011 halaman 8). Selain terkilan dengan kenyataan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua, saya berpendapat, orang Melayu terutamanya penjawat awam tidak perlu gusar dan cepat melatah dengan isu-isu yang ditimbulkan oleh pemimpin pembangkang seperti Tony Pua, Mat Sabu, Manoharan dan lain-lain.
Ini kerana pembangkang akan sentiasa membangkang apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan. Tetapi mereka tidak pula pandai berbuat apa-apa untuk kebaikan rakyat.
Setakat ini pembangkang belum lagi membuat sebarang kenyataan rasmi, terhadap kenyataan tersebut dan Tony Pua sekali lagi membuat kenyataan bahawa barang-barang yang dijual di Kedai Rakyat (KR1M) lebih mahal daripada pasar raya lain.
Adakah kenyataan ini benar? Mengikut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), rakyat dapat berjimat sehingga 30 dan 50 peratus jika berbelanja di KR1M (Utusan Malaysia 14 November 2011). Ramai yang bersetuju dengan kenyataan itu termasuk saya sendiri yang turut membeli barangan keperluan dapur dan mendapati ia memang menjimatkan. Kualiti barang juga setanding dengan pasar raya lain.
Saya percaya bahawa Tony Pua, sebagai Ketua Publisiti DAP cuma mahu mendapat publisiti murah daripada semua media dan orang ramai termasuk penjawat awam.
Dia berjaya mengutarakan ideanya sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak terutamanya penjawat awam.
Selain mendapat publisiti, dia juga mendapat sorakan daripada penyokongnya yang sudah tentu menaikkan imejnya sebagai wakil rakyat yang dapat menjamin masa depannya.
Saya percaya kita semua telah terjebak ke dalam perangkap politik mereka, maka saya tidak hairanlah jika pihak pembangkang membuat satu lagi kenyataan yang akan menyebabkan para pesara melatah apabila mencadangkan mengurangkan pencen dan bonus pesara.
Ingat dan berhati-hatilah bahawa kuasa mutlak adalah di tangan setiap pengundi iaitu pihak yang berkuasa meletakkan sesiapa sahaja yang mereka suka di Putrajaya.
Saya yakin rakyat kini semakin mengenal yang mana intan dan yang mana kaca.

pakatan serang kedai rakyat

Mengapa Kedai Rakyat diserang?

SAYA menonton sidang akhbar dan kenyataan angkuh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam portal berita propembangkang berhubung dakwaan kononnya produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak berkualiti dan yang lebih ekstrem, mereka juga mendakwa bahawa barangan tersebut turut dicemari virus e-coli. Kononnya, kajian ke atas produk berkenaan juga telah dilakukan oleh pakar-pakar berkaitan di makmal yang masih dirahsiakan.
Saya bukanlah orang politik tetapi usahawan yang bergelumang dengan strategi pesaing.
Seperti mana kita sedia maklum, KR1M adalah antara inisiatif transformasi ekonomi bagi mengurangkan beban rakyat dalam menangani kenaikan harga barang keperluan harian. Lebih menarik, KR1M diterajui oleh usahawan berwibawa iaitu Datuk Ameer Ali Mydin.
Jika sebelum ini, kita hanya mengenali rangkaian pasar raya besar Barat, kini sebut sahaja pasar raya Mydin semua mengenalinya. Banyak rangkaiannya juga mengatasi jenama-jenama besar lain.
Lebih membanggakan apabila kita dapat melihat bagaimana produk tempatan khususnya keluaran bumiputera turut dipamerkan secara serius. Tidak seperti sesetengah pasar raya besar lain yang kadangkala jenama bumiputera jauh tersorok.
Lebih menyedihkan, para pengusaha bumiputera ini turut ditekan apabila kadangkala hanya menerima bayaran selepas 90 hari.
Dalam isu KR1M, saya bimbang wujudnya strategi terancang untuk melemahkan keupayaan ekonomi peruncitan bumiputera.
Kehadiran KR1M sebenarnya tidak disenangi oleh usahawan peruncitan lain yang menawarkan harga murah, kononnya jauh lebih murah daripada apa yang kedai lain tawarkan.
Jika benar Tony Pua yang bersekongkol dengan Nurul Izzah serta beberapa pemimpin Pas sedang giat menghasut rakyat membenci KR1M, kenapa banyak lagi pasar raya dan kedai runcit lain yang tidak menjadi sasaran?
Maaf cakap, sesetengah kedai runcit bukan sahaja diragui kualiti barangannya, malah kadangkala barangan halal dan haram yang tidak diasingkan pun berlambak.
Inilah masalahnya pemimpin Melayu dan Islam pada hari ini yang menghalalkan cara untuk berkuasa. Semua dilakukan semata-mata kerana dendam politik hingga lupa daratan dan agama.
Kelemahan umat Melayu dan Islam sudah diperkudakan. Ekonomi bakal dilumpuhkan dan pasti akan terus lenyap apabila mereka berkuasa.
Kepada umat Melayu Islam, janganlah kita juga tertipu dengan helah halus golongan yang antikemajuan ekonomi umat Islam ini.
Percayalah, jika kita juga terpengaruh untuk mempercayai dan bersama mereka, azab Allah akan tiba pada bila-bila masa dan padahnya akan terkena kepada kita semua kerana sikap tidak endah kita kepada kebenaran mengikut panduan Ilahi.
Dalam isu KR1M yang antara puncak hasutan melampau yang turut disertai bangsa kita sendiri ini, marilah kita bermunajat kepada Allah agar diberi keadilan di dunia dan akhirat kerana Allah Maha Mengetahui kebenaran dan kebatilan yang wujud antara kita.
Justeru, dalam politik Malaysia hari ini, orang Melayu harus sedar gerak strategi halus yang akan merugikan kita untuk beratus tahun akan datang jika kita tertipu sekarang!
NORDIN ABDUL MALEK
Pengerusi Gabungan Institusi Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera

Monday, November 14, 2011

jangan campur tangan

Campur tangan kelirukan waris
Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : November 12, 2011
Campur tangan kelirukan waris
KUALA LUMPUR - “Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (Mas) adalah tertakluk di bawah kerajaan Wilayah Persekutuan, campur tangan Kerajaan Negeri Selangor hanya akan mengelirukan keadaan yang menjurus kepada kegagalan usaha kerajaan membangunkan Kampung Baru”.

Demikian tegas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menganggap isu bidang kuasa terhadap Mas hanya berunsur politik.

Menurutnya, soal kuasa sudah tidak timbul kerana Mas tertakluk di bawah kerajaan Wilayah Persekutuan (Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar) yang dipengerusikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, sama seperti dalam perlembagaan Mas sendiri.

“Yang penting, kuasa perancangan adalah di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), manakala kuasa bagi urusan tanah adalah di bawah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

“Mas dan keanggotaannya juga bersama dengan kita, jadi saya tidak melihat mengapa Kerajaan Negeri Selangor perlu campur tangan,” katanya pada Sidang Media ketika menghadiri Majlis Korban Bomba dan Penyelamat, Peringkat Wilayah Persekutuan di Balai Bomba dan Penyelamatan Pantai, di sini, Selasa lalu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) yang menyatakan Menteri Besar Selangor mempunyai kuasa membuat rombakan ahli Jawatankuasa Mas di bawah enakmen sedia ada dan menolak kenyataan beliau sebelum ini berhubung Mas yang tertakluk di bawah kerajaan Wilayah Persekutuan.

Raja Nong Chik berkata, kenyataan yang dikeluarkan itu hanya akan mengelirukan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru dengan niat untuk mengurangkan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, usaha kerajaan membangunkan Kampung Baru tiada kaitan dengan politik, hanya semata-mata membantu pemilik dan pewaris tanah orang Melayu di kawasan itu memiliki nilai tanah yang sama dengan kawasan sekelilingnya.

“Tanpa penglibatan kerajaan, sukar untuk Kampung Baru dibangunkan,” katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan, kerajaan akan bantu pemilik dan pewaris membangun Kampung Baru dengan keizinan mereka dan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) akan bertindak sebagai pemudah cara.

“Kita tidak mahu Kampung Baru yang dilabel ikon Melayu masih pada tahap sedia ada apabila kawasan sekeliling bertambah maju menjelang 2020 nanti,” katanya.

biasalah bila pembangkang mula berniaga

Pelajar KUIS dakwa terseksa

SAYA merupakan salah seorang mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan kini berada di tahun akhir dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Teknologi Rangkaian).

Saya amat tertarik dan tersentuh dengan luahan hati seorang ibu kepada pelajar KUIS yang mengadu tentang masalah kewangan yang menimpa anaknya di KUIS dan beberapa kepincangan yang berlaku di KUIS yang telah disiarkan di sebuah portal berita baru-baru ini.

Saya selaku salah seorang mahasiswa di KUIS berasa terpanggil untuk turut meluahkan beberapa permasalahan yang telah menghantui mahasiswa di KUIS.

Antara masalah yang begitu merunsingkan mahasiswa di KUIS adalah mengenai ‘paksaan’ untuk mewajibkan semua pelajar supaya tinggal di asrama pada sesi kemasukan yang akan datang iaitu pada awal November ini.

Sebenarnya paksaan untuk mewajibkan semua pelajar tinggal di asrama ini telah bermula pada sesi yang lepas, namun ia semakin diketatkan pada sesi kemasukan yang akan datang.

Paksaan untuk mewajibkan pelajar untuk tinggal di asrama ini ditentang keras oleh kami kerana bebanan yuran asrama yang semakin tinggi dan ia tidak termasuk dengan yuran pengajian lagi. Sebagai contoh, asrama di KUIS mempunyai empat jenis iaitu A, B, C & D. Asrama jenis D adalah yang paling murah sekali di KUIS.

Jika sebelum ini yuran asrama jenis D ini berjumlah RM550 setiap seorang (4 orang untuk 1 bilik), kini yuran asrama jenis D tersebut telah meningkat kepada RM700 lebih setiap seorang (tanpa ada penambahbaikan pada asrama jenis tersebut). Kenaikan ini juga berlaku kepada asrama jenis A, B & C yang yurannya mencecah kepada lebih RM1,000.

Masalah kewangan yang dialami oleh pelajar KUIS ini telah menjadi semakin teruk apabila ada sebilangan pelajar yang gagal mendapat pinjaman kewangan dan ia ditambah pula dengan kos sara hidup yang tinggi dengan terpaksa menanggung kos pembelian buku-buku pengajian dan yuran pengajian di KUIS yang mahal serta sentiasa meningkat saban tahun (pernah meningkat sebanyak 100 peratus).

Selain itu, akibat daripada kekangan kewangan yang menimpa mahasiswa di KUIS, bukan sahaja terdapat sebilangan pelajar KUIS yang terpaksa bekerja separuh masa untuk menanggung kos sara hidup yang tinggi dan yuran yang mahal di KUIS, malah terdapat juga beberapa mahasiswa yang terpaksa menangguhkan pengajian dan berhenti pengajian di KUIS akibat daripada masalah kewangan yang telah menimpa mereka.

Oleh yang demikian, saya selaku antara ribuan mahasiswa KUIS yang terseksa dengan masalah yuran, kewangan dan kos sara hidup yang tinggi di KUIS ini mengharapkan supaya pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti pihak pengurusan tertinggi KUIS dan kerajaan Selangor dapat mengambil tindakan susulan dengan secepat mungkin untuk menangani masalah ini.

MAHASISWA TERSEKSA

KUIS

Thursday, November 10, 2011

kakitangan awam kena buang?

KAKITANGAN AWAM TERLALU RAMAI?

AKHBAR Nanyang Siang Pau terbitan 8 November 2011 menyiarkan artikel mengenai hasrat DAP untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sekiranya pihak pembangkang dipilih mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Artikel yang ditulis wartawan akhbar itu, Koh Kok Wei bertajuk ‘Kakitangan Awam Ramai Atau Tidak?’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun, halaman A14.

Isu bilangan kakitangan awam di negara kita sama ada perlu dikurangkan ataupun ditambah memang mencetuskan kontroversi yang tersendiri.

Bilangan penduduk negara ini sekarang ialah seramai 26 juta orang dengan jumlah kakitangan awam sebanyak 1.3 juta orang.

Ini bermakna nisbahnya, seorang kakitangan awam bagi setiap 20 penduduk. Memang benar angka itu agak tinggi dan ini belum dicampur pertambahan kakitangan awam baru setiap tahun.

Apabila berlaku kenaikan gaji dan pemberian bonus kepada mereka, kos amat tinggi perlu ditanggung oleh kerajaan. Itu yang menyebabkan orang ramai merasa marah dan menuduh pihak kerajaan membela terlalu ramai kakitangan awam.

Adakah benar bilangan kakitangan awam negara kita sudah terlalu ramai? Ramai orang yang membandingkan penduduk Taiwan sebanyak 23 juta orang dengan kakitangan awam mereka yang hanya 70,000 orang sahaja.

Sebenarnya apa yang dimaksudkan kakitangan awam di Taiwan tidak termasuk anggota tentera, petugas awam, polis, guru-guru dan pelatih tentera.

Di negara kita, bilangan guru sahaja sudah menjangkau 400,000 orang, ditambah pula dengan polis seramai 100,000 orang dan tentera 100,000. Bilangan itu adalah separuh daripada jumlah keseluruhan kakitangan awam.

Dikatakan apabila pihak pembangkang membentuk kerajaan, mereka akan kurangkan bilangan kakitangan awam negara ini. Mereka mahu kurangkan antara 20 hingga 30 peratus. Adakah ini bermakna pengurangan itu akan melibatkan anggota tentera, polis dan guru?

Untuk pengetahuan semua, apa yang dimaksudkan gelombang besar pasukan kakitangan awam ini, bukan sahaja termasuk kakitangan Kerajaan Pusat, malah ia juga meliputi kakitangan awam yang berada di peringkat kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun, kita akui memang kakitangan awam kita ramai dan ia menjadi organisasi yang menggelembung besar. Salah satu faktor ini berlaku kerana pertindihan jawatan dan fungsi antara kakitangan awam Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan PBT.

Apa yang dikemukakan pihak pembangkang bagi mengurangkan ‘bala tentera’ kakitangan awam itu, memang dialu-alukan oleh rakyat biasa yang tidak tahu apa-apa.

Sebaliknya bagi kakitangan awam itu sendiri, mereka tentu merasa kurang senang. Sebab itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mudah membidas kembali pihak pembangkang.

Beliau berkata, jika mereka mahu kurangkan kakitangan awam selepas memerintah Kerajaan Pusat nanti, kenapa tidak kurangkan kakitangan awam di negeri-negeri yang mereka perintah sekarang ini terlebih dahulu.

Sebenarnya, menambah dan mengurangkan kakitangan awam tidak sepatutnya dijadikan bahan politik antara parti pembangkang dan parti pemerintah.

Daripada asyik bermain dengan angka, tumpuan utama yang sepatutnya diberi perhatian serius dengan segera adalah menyelesaikan pertindihan struktur serta fungsi kakitangan awam.

ANWAR JUMPA NGO CINA

AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 5 November 2011 menyiarkan laporan khas mengenai pertemuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina yang telah berlangsung pada Selasa (8 November) lalu.

Laporan khas yang ditulis Er Pik Yeh bertajuk Suasana PRU Semakin Menebal disiarkan dalam ruangan Pelbagai Berita Dalam Negeri, halaman 24.

Bahang PRU Ke-13 sudah semakin hampir. Sehubungan itu, parti pembangkang dan pemerintah sedang bersaing untuk mengeratkan hubungan dengan NGO Cina dan meraih sokongan kaum itu.

Contohnya, Ketua Pembangkang yang juga Penasihat PKR telah menjemput 50 NGO Cina dan badan agama untuk menghadiri perjumpaan dengan beliau.

Ini supaya masyarakat Cina lebih memahami perjuangan PKR dan pendirian beliau terhadap isu-isu hangat yang telah tercetus termasuk berkaitan keagamaan dan undang-undang Islam.

Selain Anwar; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden parti itu, Azmin Ali dan ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kaum Cina daripada PKR akan turut menghadiri pertemuan itu. Ini adalah pertemuan kali pertama Anwar dengan NGO Cina sejak menjadi Ketua Pembangkang.

Menurut Ahli Jawatankuasa Politik PKR yang juga bekas Timbalan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew, tujuan perjumpaan itu adalah supaya masyarakat Cina lebih faham tentang dasar perjuangan PKR.

Antaranya mengenai hakikat PKR bukan parti Melayu dan ia mempunyai pandangan tersendiri berkaitan pelbagai isu negara termasuk berhubung pelaksanaan undang-undang Islam.

Beliau berkata, pada masa ini ramai orang tersalah anggap bahawa PKR adalah sebuah parti Melayu. Sebenarnya ia adalah sebuah parti untuk semua kaum dan ini terbukti apabila satu pertiga ahli Parlimen dan ADUN PKR adalah kaum Cina.

‘‘Pertemuan ini adalah rentetan daripada kunjungan Anwar ke Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Britian baru-baru ini untuk memahami cara negara-negara terbabit berpolitik dan mentadbir negara.

‘‘Anwar berharap melalui perjumpaan ini, NGO Cina akan dapat memahami pandangan beliau, contohnya hala tuju PKR pada masa akan datang dan perkembangan ekonomi negara. Beliau juga bersikap terbuka untuk membincangkan isu keagamaan supaya rakyat dapat hidup bersama dengan tenang dan aman,’’ katanya.

Yee Kew berkata, Anwar akan mengemukakan pandangan PKR bahawa yang menjadi teras Perlembagaan adalah undang-undang biasa dan bukannya undang-undang Islam.

Sebab itu, hukum hudud tidak akan dilaksanakan. Jaminan itu akan dapat menghilangkan kerisauan masyarakat Cina berhubung cadangan pelaksanaan undang-undang Islam terbabit.

‘‘Kami berharap setiap pertubuhan menghantar tiga wakil. Golongan muda seperti daripada kalangan pertubuhan Kristian digalakkan menghantar empat atau lima orang wakil. PKR sendiri akan menghantar lebih 30 wakil. Jemputan keseluruhan adalah seramai 150 orang,’’ kata Yee Kew.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Persekutuan Pertubuhan-Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Yew Sin berkata, pihaknya akan menghantar beberapa pimpinan atasan untuk menghadiri perjumpaan itu.

Beliau berkata, Hua Zong akan mengemukakan beberapa soalan terutama sekali tentang kepentingan masyarakat Cina serta isu keagamaan seperti pelaksanaan hukum hudud.

‘‘Kami mahu tahu daripada mulut Anwar sendiri mengenai pendirian beliau terhadap pelaksanaan hukum hudud dan hasrat Pas untuk mewujudkan negara Islam.

‘‘Isu lain membabitkan pengharaman penjualan arak di Selangor dan larangan pembukaan kelab-kelab hiburan di Kedah sepanjang Ramadan,’’ kata Yew Sin.

Apabila ditanya adakah Presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah diundang sama dalam perjumpaan itu, Yew Sin berkata, setakat ini beliau masih belum mendapat sebarang maklumat.

Bagaimanapun, katanya, pada waktu itu mungkin Yin Huah sedang menjalankan tugas di luar negara.