Sunday, September 5, 2010

Nawawe

TINDAKAN KERAS TERHADAP WEE MENG CHEE

WALAUPUN saya bukan warga Malaysia, saya turut berasa amat terhina menyaksikan kebiadapan Wee Meng Chee (Namewee) terhadap agama Islam, bangsa Melayu dan negara ini. Saya rasa kerajaan Malaysia terlalu toleran dan berlembut hati dalam menangani sikap rakyat yang kurang ajar terhadap negara dengan memaafkannya dahulu.

Kalaulah Meng Chee ini berada di bumi lain (termasuk negara yang terdekat), tentu tindakan undang-undang telah lama dikenakan ke atasnya.

Cubalah kalau dia menghina agama rasmi Buddha di Thailand atau maharaja yang menjadi lambang kedaulatan di negara itu. Tentu buruk padahnya.

Pada firasat saya, jika si biadab ini dihadapkan ke mahkamah kelak, yang akan lantang untuk membelanya pasti para peguam daripada pihak antikerajaan Malaysia. Tidak hairan juga jika yang hadir memberi sokongan moral kepadanya tentulah parti-parti pembangkang Melayu sendiri.

ARIEF-JOHAN

Singapura

Kenapa Melayu

Saturday, September 4, 2010

Sama Fikir

ARKIB : 03/09/2010

Tarawih dan imam import

HAIKAL FADZIL
haikal_fadzil@hotmail.com
RAMADAN di Malaysia tahun ini menampilkan kelainan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Mungkin menjadi fenomena seluruh negara atau mungkin di ibu negara sahaja, kakitangan masjid menjemput imam-imam dari luar negara untuk mengimami jemaah solat sunat tarawih pada setiap malam.

Dari satu sudut, ia merupakan pembaharuan yang menarik. Namun dari satu sudut yang lain, tampak seperti ada kekurangan yang kelihatan akibat fenomena terbaru ini.

Pertama; Apakah kurangnya tahfiz-tahfiz berjenama Malaysia yang saban tahun dihasilkan? Adakah mereka tidak mampu untuk mengimamkan solat sunat tarawih pada setiap malam?

Pada solat Jumaat minggu pertama Ramadan baru-baru ini, khatib mengkhabarkan bahawa mereka sudah menghabiskan wang untuk menjemput para imam luar negara untuk mengimarahkan solat tarawih dengan menghabiskan bacaan satu juzuk al-Quran pada setiap malam.

Menurut khatib, ini memberi peluang kepada jemaah untuk merasa bagaimana solat sunat tarawih dilaksanakan di luar negara seperti di Mekah dan memberi peluang kepada jemaah mendengar bacaan al-Quran yang dilontarkan oleh imam berbangsa Arab yang lebih memahami isi kandungan bacaannya.

Bagi saya, para tahfiz dalam negara juga mampu untuk berbuat demikian. Mereka bukan semata-mata diajar untuk menghafal al-Quran, malah proses memahami isi kandungannya turut dipelajari dengan mendalam kerana proses itu akan memudahkan penghafazan.

Maka, tahfiz-tahfiz yang cemerlang dari dalam negara juga mampu untuk bersaing dengan imam-imam dari luar negara.

Kedua; Jemaah di Malaysia (majoritinya berbangsa Melayu) mempunyai bentuk badan fizikal yang kecil dan tenaga yang terhad jika dibandingkan dengan golongan-golongan Arab.

Masih saya ingat lagi satu peristiwa pada malam saya melaksanakan ibadah solat sunat tarawih, seorang lelaki berumur yang berdiri di sebelah saya, terketar-ketar menahan lututnya untuk terus kekal dalam saf akibat daripada bacaan imam luar negara yang terlalu panjang (kerana ingin menghabiskan satu juzuk pada setiap malam).

Niat untuk mengkhatamkan bacaan solat tarawih cukup 30 juzuk dalam jangka masa sebulan berpuasa itu baik. Namun begitu, Islam itu fleksibel dan memudahkan.

Sebagai seorang imam, seseorang itu juga perlu peka akan keadaan makmum yang mengikutnya. Bukan semua ahli jemaah berusia muda dan cukup tenaga untuk mengikut bacaan imam luar negara yang panjang.

Imam-imam ini pula mengekalkan cara ibadah yang sebegitu kerana menganggap keadaan di Malaysia adalah sama seperti di negara asalnya. Maka, kasihanlah jika dilihat keadaan golongan-golongan yang berusia ini untuk 'mengejar' tenaga muda yang jauh lebih hebat daripada mereka.

Ketiga; Antara penyeri solat sunat tarawih di Malaysia ini adalah sahutan selawat ke atas Rasulullah SAW setiap kali tamat 2 rakaat tarawih.

Sejak dari kecil, hingga dewasa, sahutan selawat tersebut menjadi daya tarikan kepada saya dan mungkin ramai lagi di luar sana untuk menunaikan solat tarawih di surau atau masjid.

Terdapat tempat-tempat yang sahutan selawat ke atas Nabi begitu meriah sekali dan tidak kurang juga ada yang seperti tidak bermaya. Namun begitu, ia telah menjadi satu lambang kemeriahan malam Ramadan dan simbol pengimarahan sunat tarawih saban malam pada bulan itu.

Agak malang pada tahun ini, bagi masjid-masjid yang menjemput imam luar negara yang pada amalan mereka di negara asal, tiada seruan selawat ke atas nabi setiap kali selesai dua rakaat tarawih, maka tiadalah kemeriahan solat sunat tarawih di situ.

Saya agak kecewa dengan keadaan ini dan mempertikaikan, kenapa kita perlu mengikut budaya negara luar sedangkan budaya kita di Malaysia ini sudah cukup manis untuk diamalkan?

Tidak ada salahnya kita berselawat ke atas Rasul Junjungan kita sesudah tamat dua rakaat tarawih.

Tanpa adanya seruan selawat ini, saya rasakan seperti sunat tarawih pada setiap malam, dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa dan meletihkan makmum sedangkan tarawih itu sendiri bermaksud solat sunat istirehat.

Saya merasakan hilang satu nikmat Ramadhan apabila kita meninggalkan seruan selawat dalam sunat tarawih yang lazim menjadi kebiasaan jemaah di malaysia untuk melakukannya.

Mungkin ilmu agama yang saya miliki ini masih cetek, namun satu saja yang saya pinta, jadikan diri anda seperti lelaki berumur yang terketar-ketar menahan lututnya tempoh hari. Mungkin anda akan faham apa yang saya cuba sampaikan.

Sama Renungkan

Warkah Ramadan buat umat Melayu

PELBAGAI cerita telah disajikan oleh pihak media sepanjang bulan Ramadan yang hampir ke penghujung ini. Masih berkisar tentang isu yang serupa, sama ada masalah gejala sosial, pertikaian hak yang termaktub dalam Perlembagaan untuk orang Melayu dan kisah pencemaran surau/masjid.

Inilah akibatnya apabila fahaman politik dibawa ke dalam masjid ataupun surau, kelihatan yang jelas golongan ini hilang pertimbangan dan membiarkan diri mereka dipergunakan bagi memenuhi nafsu besar pihak-pihak tertentu dalam perjuangan politik.

Isu kehadiran semula si biadap ini yang menggelarkan dirinya Namewee juga turut memanaskan keadaan.

Iktibar yang perlu diambil oleh bangsa Melayu atas segala yang berlaku ialah orang Melayu perlu bersatu demi maruah agama dan bangsa tercinta.

Jangan kita bawa fahaman politik masing-masing dalam penyatuan ini dan akhirnya matlamat sebenar tidak tercapai. Ini merupakan satu jihad demi kekuatan ummah. Penyatuan inilah amat dinantikan oleh orang Melayu yang cintakan agama dan bangsa mungkin juga ia tidak disukai oleh orang lain.

Saya menyeru kepada semua bangsa Melayu, marilah kita bersama-sama dalam perjuangan ini demi memartabatkan semula maruah agama dan bangsa yang kian tercalar.

Jangan sesekali kita mementingkan kepentingan peribadi hingga kita lupa diri kita yang sebenarnya.

Kita tamatkan segala kemelut perbalahan yang tidak berkesudahan sesama kita. Kita kuatkan tali ikatan yang kian longgar. Kita perlu fikirkan masa depan anak-anak kita dan generasi akan datang.

Kita perlu ada satu suara dan isyarat yang jelas kepada pihak-pihak yang cuba mempertikaikan hak kita sebagai orang Melayu di tanah tumpah darah kita ini.

Jangan biarkan si kaduk naik junjung. Kita telah memberikan mereka segala-galanya, persoalannya adakah apa yang telah kita berikan akan dapat kembali dan adakah kita rela hak kita yang berbaki ini kita gadaikan juga demi untuk memuaskan nafsu besar mereka yang kita tidak ketahui niat mereka yang sebenarnya? Hak kita ini perlu kita pertahankan sehingga ke akhir hayat.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-53 tahun. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menceritakan kepada anak-anak dan generasi muda tentang perjuangan orang Melayu ketika Tanah Melayu dijajah dan seterusnya pengorbanan yang telah dilakukan mereka termasuk harta benda juga wang ringgit bagi mencapai kemerdekaan.

JAMAL LULKHIR JALUDIN

Pasir Salak

Friday, September 3, 2010

Ibu Tunggal

Ibu tunggal bersama tiga anak sering ikat perut


2010/09/03

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal yang mempunyai anak kurang upaya (OKU) merayu bantuan mana-mana pihak bagi membolehkan mereka menyambut lebaran bakal menjelang dengan lebih ceria berikutan tidak mempunyai pendapatan tetap malah hidup dalam kedaifan.

Siti Zawiyah Ali, 40, yang tidak bekerja berkata, dia menjadi ibu tunggal sejak tiga tahun lalu selepas diceraikan suaminya dan terpaksa menanggung tiga anaknya yang masih bersekolah termasuk seorang OKU.

Beliau berkata, dia dan anak-anaknya tidak mampu membeli pakaian raya kerana tiada wang malah kehidupannya kini hanya mengharapkan sumbangan orang ramai selain menerima bantuan beras daripada pihak masjid.


“Saya sebelum ini menolong kakak berniaga nasi lemak di Masjid India dengan pendapatan RM19 sehari tetapi terpaksa berhenti berniaga buat sementara berikutan kedatangan Ramadan. Ada kalanya saya anak beranak terpaksa mengikat perut kerana tiada wang untuk membeli makanan sebagai juadah berbuka puasa,” katanya ketika ditemui.


Zawiyah yang berasal dari Pahang terpaksa memberikan perhatian kepada anak OKUnya yang tidak dapat menguruskan diri sendiri menyebabkan masanya terbatas untuk mencari pekerjaan.


Dia yang tinggal di rumah setinggan di Gombak berharap ada pihak sudi membantunya untuk membelikan baju raya buat anak-anaknya.


Individu atau syarikat yang ingin membantu Zawiyah bolehlah menghubunginya di talian 019-2182516 atau ke alamat No 847, Batu 4 3/4, Jalan Gombak, 53100, Selayang.

'Adik jadi penoreh getah'
Oleh Rashidi Karim

2010/09/03

KANGAR: “Adik, Nuraslinda yang baru berusia 11 tahun, tidak bersekolah sebaliknya menjadi penoreh getah kerana kesempitan hidup di kampung di Bangkuan, Satun, selatan Thailand, manakala saya bertekad kembali ke Perlis untuk meneruskan persekolahan di sini selepas dibuang keluarga sebelah ayah,” keluh remaja berusia 13 tahun, Nurshakirah Abdul Wahab, ketika ditemui menumpang di rumah jirannya di Kampung Sungai Baru, dekat sini, semalam.


SUSAH... Nurshakirah menunjukkan buku nota dan beg sekolah adiknya yang kini bekerja sebagai penoreh getah di Satun, Thailand.
Menurutnya, selepas berada di Bangkuan iaitu kampung ibunya sejak beberapa bulan lalu, dia bertekad menyelinap bersama penumpang lain menaiki teksi seorang diri dari Satun untuk pulang ke Sungai Baru, empat hari lalu dan menumpang di rumah jiran dikenali sebagai Rosli Ya, 55, di kampung itu.

Bapa gadis itu, Abdul Wahab Ibrahim, 58, warga Malaysia dan ibunya, Wan Aishah Sufi, 43, warga Thailand, sedang meringkuk dalam penjara di Satun kerana terbabit dalam kesalahan dadah sejak setahun lalu.

“Kehidupan kami terumbang-ambing selepas ibu bapa kami dipenjara ketika empat hari umat Islam menyambut Aidilfitri tahun lalu.

“Abang sulung (berlainan ibu) pula menghantar kami dua beradik ke kampung sebelah ibu di Bangkuan walaupun kami enggan dengan alasan dia tidak sanggup menjaga kami kerana kesempitan hidup.

“Nuraslinda, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Sungai Baru, terpaksa berhenti sekolah selepas dipaksa menetap di Thailand yang asing bagi kami manakala saya pulang ke Sungai Baru untuk mencuba nasib di sini.

“Saya amat berharap ada pihak di sini menolong membawa pulang Nuraslinda ke Perlis bagi membolehkan dia meneruskan persekolahan. Lagi pula usianya masih muda untuk menjadi penoreh getah,” katanya yang amat sedih sambil mengesat air mata.

Hadir sama Penyelaras Umno kawasan Simpang Empat, Abu Bakar Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Baru, Ramli Sabu.


Nurshakirah berkata, dia terpaksa melupakan hasrat menyambut Aidilfitri seperti kanak-kanak sebayanya kerana memikirkan nasib Nurshakirah dan mahu dia pulang ke Sungai Baru untuk meneruskan persekolahan.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Safi, dekat sini, berkata sehingga kini, dia belum mempunyai Mykad kerana tiada sesiapa mahu menguruskannya selepas ibu bapanya di penjara tahun lalu.

Entahlah

Nasihat ikhlas buat Nik Aziz, Mursyidul Am Pas

APA yang ingin saya nyatakan di sini ialah isu berhubung orang bukan Islam masuk ke masjid atau surau.

Baru-baru ini seorang mufti dalam negara telah menjawab isu ini, beliau tidak bersetuju bagi orang bukan Islam memasuki masjid atau surau dengan memberi 'tazkirah' atau peringatan di dalam masijd atau surau.

Tetapi berbeza pula apa yang dikatakan oleh Nik Aziz, beliau mengatakan boleh orang bukan Islam memberi tazkirah di dalam masjid dan orang Islam yang menjadi pendengarnya.

Dia mengatakan orang lain jahil dan tidak mengetahui. Beliau menyifatkan lagi bahawa bahawa inilah cara yang paling baik untuk mendekatkan orang bukan Islam kepada Islam.

Cuma yang perlu diluruskan ialah sekiranya bukan Islam itu masuk ke masjid untuk mendengar para guru agama mengajarkan ajaran Islam disebabkan dia ingin mengetahui tentang Islam tidaklah menjadi kesalahan.

Tapi yang terjadi sebaliknya, mereka yang memberi tazkirah (peringatan) manakala kita orang Islam yang mendengarnya.

Kita yang perlu berdakwah kepada mereka bukannya mereka yang mengingatkan kita. Ini bercanggah dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam".

Bila seseorang menjadi muslim maka kedudukannya lebih tinggi dan mulia dari penganut agama lain.

Perlembagaan juga menjelaskan hakikat ini dengan mengatakan Islam agama persekutuan yang memberi maksud orang Islam yang berhak berdakwah kepada orang lain.

Barangkali yang benarnya beliaulah yang tersasar dalam meluruskan hal ini dan tersalah dalam menegakkan hujah disebabkan kekurangan pengetahuan dalam hal ini.

Apa yang hendak disoalkan kepada beliau di sini, pernahkan Nik Aziz dalam menegakkan hujah agamanya merujuk dahulu kepada fatwa-fatwa ulama-ulama muktabar yang disegani dalam dunia Islam?

Apakah beliau telah meletakkan diri beliau sebaris dengan kibar ulama dunia?

Dan, apakah apabila kita mengetahui sedikit hal agama maka dengan sebebasnya boleh mengeluarkan sesuatu fatwa?

Oleh itu nasihat saya untuk beliau supaya jangan tergopoh-gapah dalam mengeluarkan sesuatu hukum, hendaklah juga merujuk kepada fatwa-fatwa kibar ulama dalam hal ini dan janganlah sentiasa memberi pandangan yang boleh menyebabkan masyarakat Islam keliru.

AHMAD TAJUDDIN IDRIS AL-MANHAJI

Ketua Biro, Sekretariat

Ulama Muda UMNO (iLMU)