Malangnya nasib peniaga Melayu
Khabar Dari Pulau Pinang
SEBAHAGIAN peniaga dan pekerja kedai
makan berkumpul membantah tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai
(MPSP) mengeluarkan notis untuk merobohkan gerai mereka di Jalan Bukit
Mertajam-Kulim, Pulau Pinang pada 10 Januari lalu.
PAGI Jumaat lalu hampir mencatatkan sejarah hitam dalam hidup lapan
peniaga kecil-kecilan di Jalan Bukit Mertajam-Kulim, Pulau Pinang.
Jika tidak kerana campur tangan UMNO Bahagian Bukit Mertajam, gerai
perniagaan mereka yang sudah diusahakan sejak lebih 20 tahun lalu bakal
menyembah bumi dirobohkan kerajaan negeri.
Kisah menyedihkan kumpulan peniaga kecil yang dihalau dari tapak
perniagaan mereka yang diusahakan sejak sekian lama bukan isu baru di
negeri ini.
Sejak kerajaan negeri diambil alih DAP pada 2008, nasib peniaga
kecil-kecilan yang majoritinya orang Melayu ini seolah-olah tidak
mendapat pembelaan sewajarnya.
Sebelum ini, peniaga-peniaga Melayu yang sudah berniaga di Persiaran
Gurney juga lebih 20 tahun lalu turut menerima nasib serupa.
Difahamkan, peniaga-peniaga Melayu di beberapa lokasi lain antaranya
di Pantai Jerejak ketika ini juga hanya menunggu masa untuk dihalau dari
tapak perniagaan mereka.
Begitulah murahnya harga peniaga-peniaga kecil yang majoritinya Melayu di Pulau Mutiara ini.
Dari satu sudut, kerajaan negeri mungkin mempunyai alasan kukuh untuk
menghalau peniaga kecil-kecilan ini. Antaranya kerana berniaga di atas
tanah kerajaan negeri.
Namun, alasan itu tidak seharusnya menjadi lesen besar kepada
kerajaan negeri untuk sewenang-wenangnya menunjukkan kekuasaan dengan
menafikan hak golongan tersebut mencari sumber rezeki.
Apatah lagi, kebanyakan peniaga yang dihalau itu sudah mengusahakan
perniagaan mereka sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. Tidakkah ada pihak
dalam kerajaan negeri yang memikirkan bagaimana peniaga ini mahu
meneruskan kehidupan selepas satu-satunya punca pendapatan mereka
dinafikan?
Dalam tindakan menghalau peniaga-peniaga ini juga, kerajaan negeri langsung tidak menunjukkan pendekatan yang prihatin.
Ambil sahaja contoh peniaga di Jalan Bukit Mertajam-Kulim yang
dihalau minggu lalu. Sudahlah hanya diberi notis mengosongkan premis
dalam tempoh cukup singkat iaitu dua hari, mereka juga tidak ditawarkan
pilihan untuk meneruskan perniagaan di kawasan lain.
Dalam situasi ini, mereka dibiarkan terkontang-kanting tanpa sebarang bantuan.
Lebih menyedihkan, kira-kira 30 anggota penguat kuasa bersama
jentolak sudah bersiap sedia merobohkan gerai tanpa sempat mereka
mengadu nasib dan berbincang mengenai masa depan perniagaan mereka.
Apakah ini contoh kerajaan negeri yang bertanggungjawab?
Namun, apa yang lebih menjadi persoalan adalah tindakan kerajaan
negeri yang dilihat lebih berminat memberi tekanan di kawasan-kawasan
yang majoritinya adalah peniaga Melayu.
Kerajaan negeri sudah semestinya setegas mungkin menafikan persepsi
sebegini. Tetapi melihat kepada kejadian-kejadian peniaga dihalau
sebelum ini, itulah realiti yang tidak boleh disembunyikan.
Jika sebelum ini kerajaan negeri kerap menggunakan alasan terpaksa
menutup kawasan perniagaan yang majoritinya diusahakan orang Melayu
kerana mengganggu persekitaran. Bagaimana pula dengan tapak perniagaan
di New Lane, Weld Quay dan Lebuh Chulia yang majoriti peniaganya bukan
Melayu?
Mengapa lokasi-lokasi perniagaan itu bebas daripada perhatian
kerajaan negeri sedangkan turut mengganggu persekitaran seperti
menyebabkan kesesakan teruk?
Sikap pilih kasih sebeginilah yang sebenarnya mengundang kemarahan
peniaga Melayu kerana jelas menunjukkan dasar tidak adil kerajaan
negeri.
Malah, tindakan kerajaan negeri yang hanya memberi kompaun kepada
peniaga bukan Melayu atas kesalahan tertentu tetapi mengambil tindakan
drastik merobohkan gerai peniaga Melayu seperti yang dipertikai banyak
pihak sebelum ini juga masih menjadi tanda-tanya.
Apa yang pasti, episod malang peniaga kecil-kecilan Melayu dihalau
dari lokasi perniagaan mereka meskipun sudah berniaga berpuluh-puluh
tahun lamanya di negeri ini diyakini tidak akan berakhir setakat ini.
Lebih ramai lagi peniaga Melayu dikhuatiri bakal menerima nasib serupa
atas pelbagai lagi alasan pada masa depan.
Sudah semestinya dalam situasi ini, tiada apa yang mampu mereka
lakukan melainkan menyerahkan nasib mereka kepada kerajaan negeri.
Persoalannya, adakah kerajaan negeri masih lagi bersimpati?