Muflis jika pembangkang memerintah
MANIFESTO yang dikemukakan pembangkang tidak mempunyai cadangan yang realistik malah boleh mengakibatkan kerajaan muflis.
SEBUAH portal pro-pembangkang telah mewujudkan
satu portal yang memberikan pengkhususan kepada isu perniagaan dan
bidang ekonomi. Sewaktu mendengar wawancara pemilik portal ekonomi
tersebut di sebuah rangkaian radio yang juga sangat 'kritis' terhadap
kerajaan - penulis dapat merasakan bahawa isu ekonomi akan terus
mendominasi isu di dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Portal khusus untuk isu 'perniagaan dan ekonomi' ini dikatakan
mencatat angka lawatan yang luar biasa oleh pengunjung Internet. 100,000
pelawat 'unik' dalam masa sebulan. 700,000 bacaan artikel. Dikatakan
juga, pembaca menghabiskan masa hampir 25,000 jam lawatan sepanjang
sebulan lebih beroperasi. Mana-mana pakar media alternatif pastinya
merasakan angka-angka ini adalah satu dapatan yang luar biasa. Pemilik
berkenaan juga memberi gambaran bahawa rakyat sememangnya dahagakan
suatu portal yang mengemukakan laporan ekonomi sebenar-benarnya bebas.
Penulis kurang percaya bahawa portal ekonomi tersebut benar-benar
bebas dan tidak membawa agenda politik. Setakat beberapa kali meninjau
laporan eksklusif yang dilakukan portal berkenaan, penulis semakin
percaya bahawa ia 'tidak bebas' malahan mempunyai niat politik yang
sangat jelas, dalam membentuk pemikiran rakyat bahawa ada sesuatu yang
tidak kena dengan suasana ekonomi negara ini.
Antara contoh yang boleh dikemukakan adalah laporan khas mengenai
Petronas yang diperincikan oleh portal berkenaan. Sebanyak empat artikel
khusus berkenaan Petronas dikemukakan baru-baru ini. Kesemuanya,
mempunyai 'nada politik' yang seakan-akan menjadi jurucakap kepada
serangan bersiri yang dilakukan terhadap Petronas di dalam manifesto
yang dikemukakan oleh kumpulan politik tertentu. Empat laporan mengenai
Petronas yang dikemukakan adalah seperti berikut :-
i)
Petronas at crossroads (5 Mac 2013);
ii)
Some serious questions for Petronas (6 Mac 2013);
iii)
Should Petronas venture overseas? (7 Mac 2013);
iv) The Petronas dilemma (8 Mac 2013);
Dalam pada itu, serangan dan pengkhususan bersiri turut diberikan
kepada dua entiti ekonomi lain - FGVH dan 1MDB. Kita boleh nampak dengan
jelas bahawa portal ekonomi yang kononnya 'bebas' ini pada hakikatnya
menjadi alat kepada serangan bersiri yang halus kepada fikrah dan
perspektif ekonomi yang dilihat oleh rakyat. Mana mungkin, sebuah portal
ekonomi yang 'bebas' - hanya memberikan satu laporan ringkas mengenai
manifesto yang digambarkan sebagai 'diterima baik oleh pakar ekonomi' (
Economists Welcome Pakatan Manifesto). Itu sahaja. Tidak ada perincian yang diberikan.
Inilah pendekatan yang digunapakai untuk mendapat perhatian dan
membentuk pemikiran pengundi urban. Mereka tidak membicarakan kelemahan
manifesto yang ada, sebaliknya mengambil pendekatan 'menyerang' beberapa
entiti perniagaan dan ekonomi yang dirasakan menjadi teras kepada suatu
pelan transformasi ekonomi jangka panjang. Manifesto mereka tidak
dibicarakan secara ikhlas dan jujur, sebaliknya mengambil pendekatan
untuk menyerang orang dan entiti lain.
Di mana logiknya sebuah portal 'perniagaan dan ekonomi' yang kononnya
bebas, boleh terlepas pandang bahawa manifesto yang dikemukakan tidak
mempunyai cadangan yang realistik. Di mana bebasnya portal berkenaan
jika implikasi kewangan di dalam manifesto tidak diulas dengan jujur dan
ikhlas? Nyata, pihak editorial portal berkenaan sudahpun mengambil
jalan politik yang diinginkan. Portal berkenaan bukan sahaja tidak bebas
- malahan bersedia menjadi lidah rasmi kepada manifesto dan cadangan
ekonomi songsang dan sumbang.
Serangan Bersiri Terhadap Petronas
Serangan bersiri terhadap Petronas yang dilakukan portal berkenaan
mempunyai niat politik membantu manifesto pembangkang. Kita semua tahu,
antara isu yang dibangkitkan oleh mereka adalah soal royalti minyak.
Modal royalti minyak ini dirasakan sangat mampu menarik perhatian rakyat
di negeri-negeri tertentu. Janji manis menaikkan royalti daripada lima
peratus kepada 20 peratus - dijadikan modal utama. Soalnya, apakah lima
peratus ini angka yang tepat dan statik? Apakah minyak akan keluar
mengalir tanpa perlu modal permulaan untuk usaha cari gali? Apakah
industri minyak ini satu industri yang tidak memerlukan kajian geosains
dan kejuruteraan petroleum yang terkini?
Hakikatnya, jumlah pelaburan dan belanja pembangunan untuk
melaksanakan proses cari gali minyak di Sabah dan Sarawak (tahun 2011
sahaja) memerlukan sejumlah RM26.5 bilion. Ini bersamaan dengan 37
peratus kadar royalti - berbanding 20 peratus sempoa ekonomi mudah yang
dicadangkan dalam manifesto pembangkang. Sebab itu, apa yang dicadangkan
di dalam manifesto pada hakikatnya tidak mengambil kira soal
'pembangunan awal' - sebaliknya hanya merujuk kepada soal kemampuan
berbelanja.
Dengan perbelanjaan yang sedemikian 'besar' untuk membangun lapangan
minyak dan gas, idea menubuhkan syarikat minyak milik negeri memang
nampak menarik di atas kertas, tetapi bukan secara realiti.
Sukar untuk kita memahami 'niat sebenar' di sebalik serangan
berterusan tokoh pembangkang dan portal sekiblat mereka terhadap
Petronas selama ini. Lim Guan Eng sendiri mengakui bahawa DAP sudah mula
melakukan 'serangan politik' terhadap Petronas sejak tahun 1986. Pra
PRU-12, DAP adalah antara parti politik yang bersungguh untuk
membogelkan perbelanjaan Petronas secara total. Laporan tahunan
Petronas, kepada DAP, adalah satu laporan yang tidak lengkap dan perlu
ditolak. Apakah kita lupa bagaimana Tan Sri Hassan Merican perlu tampil
memberi penjelasan di dalam media perdana bagi menjawab serangan
berterusan kepada syarikat minyak nasional tersebut.
Ya, mungkin sahaja agaknya, serangan terhadap Petronas adalah
gabungan dua 'sempoa' - politik dan ekonomi sekali gus. Bukan sangat
soal ketelusan. Namun, Petronas perlu 'digambarkan' sebagai representasi
sistem yang korup. Niat sebegini nyata jahat dan tidak nasionalistik
sama sekali. Serangan berterusan terhadap Projek Rapid (diterajui oleh
Petronas) juga mungkin berdasarkan faham sempoa yang sama.
Demikian juga manifesto khas yang dikemukakan kumpulan politik sama
untuk mendapat undi di Sabah. Ia masih menggunakan pendekatan yang sama
dengan apa yang dikemukakan di peringkat nasional. Sementara manifesto
utama mereka kononnya menjual semangat 'Persaudaraan Rakyat' - manifesto
mereka untuk negeri tersebut nyata bersifat sangat kenegerian.
Pelaksanaan manifesto versi mereka akan menyebabkan Malaysia terbahagi
kepada kalangan 'negeri pengeluar minyak' dan tidak. Semangat
persekutuan dipinggirkan.
Sebagai rakyat, kita perlu melihat serangan serampang dua mata
terhadap Petronas ini dengan lebih adil dan jelas. Jangan terlalu
percaya dengan 'serangan bersiri sejak 1986', yang sebenarnya mempunyai
niat memperkembang agenda politik peribadi. Individu sama, pada hari ini
yang mahu tampil sebagai seorang serba kompeten, berakauntabiliti dan
telus - berhadapan dengan keraguan rakyat. Individu sama, yang pernah
menggila menyerang projek 'mega' berkepentingan nasional, hari ini
mencadangkan projek berbilion ringgit walau ditentang oleh rakyat dan
NGO setempat.
Portal ekonomi dan kalangan pembuat manifesto pembangkang perlu
maklum bahawa industri minyak dan gas tidak semudah industri yang lain.
Industri minyak dan gas, sedang bercakap tentang proses kejuruteraan
minyak yang luar biasa kompleks. Ia memerlukan bantuan modal dan
insentif berterusan oleh kerajaan. Teknologi seperti
enhanced-oil recovery (EOR), eksplorasi laut dalam (
deepwater exploration)
dan sebagainya, memerlukan modal yang besar. Menggunakan 'sempoa'
royalti 20 peratus, tanpa diimbangi dengan belanja pembangunan adalah
satu perbuatan tidak bertanggungjawab.
Daripada sudut ini, program transformasi ekonomi sedia ada
sememangnya faham bahawa industri minyak dan gas memerlukan lonjakan
yang berganda. Disebabkan itu jugalah permohonan Petronas untuk mendapat
potongan cukai yang lebih bersesuaian dengan suasana industri diterima
baik oleh kerajaan. Akta Pendapatan Cukai Petroleum (PITA) diberikan
pengupayaan dengan pelbagai insentif yang sesuai dengan keperluan
industri. Manifesto dan sempoa ekonomi pembangkang tidak sampai ke tahap
yang tinggi begini.
Mengecilkan keupayaan Petronas bukanlah jalan yang bijak. Laporan
Ernst & Young Global mengenai industri minyak dan gas untuk tahun
2012, menyatakan peningkatan transaksi perniagaan sebanyak 19 peratus
kepada AS$402 bilion. Petronas perlu bersaing dengan syarikat minyak
dunia yang bermodal jauh lebih besar. Langkah mewujudkan syarikat minyak
negeri, boleh sahaja membuka ruang
mergers and acqusitions syarikat asing dalam sekelip mata.
Sempoa ekonomi yang dipakai pembangkang di dalam manifesto
sememangnya rosak dan tidak bersifat semasa. Ini perlu difahami oleh
rakyat biasa seperti kita. Jangan mudah seronok dengan pemberian
sementara yang membawa luka ekonomi bangsa dalam jangka masa yang
panjang.
Nyata, menyediakan manifesto dengan memberatkan 'sempoa untung-rugi
politik semberono' yang dilakukan pembangkang tidak akan membawa
Malaysia ke tahap yang lebih baik. Mungkin juga kerana itu, portal pro
perjuangan politik mereka sendiri mengambil pendekatan diam dan membisu
dalam membicarakan manifesto mereka. Kelemahan yang ketara, menyebabkan
ia sebuah dokumen polisi yang gagal.
Sumber maklumat yang penulis perolehi, sempoa manifesto pembangkang
akan menyebabkan negara menanggung defisit berjumlah hampir RM115
bilion. Defisit meningkat kepada 11.5 peratus. Hutang kepada KDNK akan
meningkat kepada 62.1 peratus. Kesemua ini, akan pastinya menyebabkan
usaha dan inisiatif lain akan bermasalah. Inilah masanya rakyat
menggunakan 'sempoa politik' sendiri dan tidak terlalu terbuai dengan
angan politik dan ekonomi yang tidak bertanggungjawab.