Monday, November 5, 2012

alumni boleh kumpul 50 juta

Najib: Alumni UiTM wajar jana dana RM50 juta setiap bulan
Wartawan Sinar Harian
4 November 2012
SHAH ALAM -  Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) bukan sahaja mampu menyumbang dana kepada universiti itu, malah dengan kepakaran dan pengaruh mereka mampu memperkasakan universiti itu sebagai pusat pengajian tinggi yang hebat dan unggul, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Perdana menteri berkata, jika alumni Universiti Harvard di Amerika Syarikat boleh mewujudkan RM32 bilion dana, UiTM yang mempunyai lebih kurang 500,000 orang alumni mampu mengumpul RM50 juta jika setiap bulan seorang alumninya menyumbang RM10 seorang untuk tabung membantu lebih ramai anak bangsa melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
  
Beliau berkata demikian pada Malam Simfoni Kasih 2012 UiTM di sini malam tadi yang dihadiri 1,200 anggota Alumni UiTM.
  
Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar.
  
Najib berkata, beliau bukan bekas penuntut UiTM tetapi sebagai anak kepada pengasas institusi itu beliau mahu melihat wawasan dan harapan ayahandanya bekas perdana menteri kedua negara Tun Abdul Razak Hussein, direalisasi sepenuhnya.

"Saya lihat UiTM memberi limpahan amat besar kepada masyarakat kerana ia membuka peluang kepada segenap peringkat masyarakat (untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi)," katanya.
  
Pada majlis itu Najib turut melancarkan Tabung Sumbangan Alumni UiTM dan 'Sedekah Jariah (Wakaf) UiTM'.
  
Perdana menteri turut menyampaikan anugerah Tokoh Alumni UiTM 2011 kepada Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Bhd Datuk Seri Zukri Samat.
  
Malam Simfoni Kasih 2012 (MSK'12) anjuran Yayasan Budiman UiTM dengan kerjasama Pejabat Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM diadakan bagi mengumpul dana untuk membiayai dan memberi sumbangan kepada penuntut UiTM yang
kurang berkemampuan dalam bentuk dermasiswa, termasuk menambah dana tabung projek khas 'Program Mengubah Destini Anak Bangsa'.
  
Malam ini sebanyak RM1.5 juta berjaya dikumpul hasil jualan meja, sumbangan korporat dan penjualan iklan di buku cenderamata. - Bernama

Sunday, November 4, 2012

semoga kita beriman dgn Ayat ini

[49:9] Basmeih
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
 
[49:10] Basmeih
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
 
 [49:11] Basmeih
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
 
[49:12] Basmeih
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
 
 
[49:13] Basmeih
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
 
 [49:14] Basmeih
Orang-orang " A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam '. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
 

Friday, November 2, 2012

utk melayu singapore

ARKIB : 29/10/2012

Iktibar untuk orang Melayu

SAYA kesal dengan artikel saudara Sallim Hj. Ahmad (warga Singapura) di dalam ruangan Forum bertajuk 'Kesal Tun Mahathir kurang peka', Berita Harian Singapura bertarikh 24 Oktober 2012.
Beliau menyindir Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia dengan petikan ayat suci al-Quran surah Al-Hujurat ayat 6 seperti berikut: "Wahai orang yang beriman jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan".
Tun Dr. Mahathir memberikan pandangan dan teguran membina dan bukannya menghina kepada bangsa Melayu Singapura kerana saudara dan orang Melayu seperti saudara harus perlu peka dan menerima hakikat sebenarnya orang Melayu Singapura kini semakin pupus identiti kemelayuannya bukan sahaja dari segi adat istiadat dan budaya tetapi juga bahasa Melayu itu sendiri.
Ia telah pudar sedikit demi sedikit kerana bahasa rojak telah digunakan secara meluas dan akhirnya melebihkan bahasa Inggeris menjadi santapan percakapan harian orang Melayu Singapura itu sendiri.
Jangan kaitkan politik semasa dalam negara Malaysia untuk memburuk-burukkan pemimpin kami kerana itu bukan urusan anda dan tidak layak pun untuk mengkritik kami kerana anda semua yang sebenarnya terkunci mulut di tempat sendiri kerana di sana difahamkan segala dinding dan lantai mempunyai 'mata dan telinga' dan kebebasan bersuara tidak langsung dibenarkan walaupun untuk menegur kebenaran.
Orang Melayu Singapura bukan sahaja agak terpinggir tetapi seolah-olah hidup dalam sangkar emas mendapat jawatan yang tidak penting sahaja di sana walaupun gaji agak lumayan tetapi nampak tidak ceria kerana keadaan sekeliling yang tidak menyebelahi mereka.
Bayangkan majlis perkahwinan hanya mampu diadakan di bawah flat yang terhad dan pula kurangnya tempat letak kereta yang menyebabkan apabila adanya majlis seumpama itu selalu sahaja tuan punya kenderaan dihantui dengan surat notis saman.
Masyarakat Melayu di sana dipecah-pecahkan dan hanya mampu bertemu dan menerima khabar di masjid-masjid sahaja dan sudah tentu bukan semuanya ahli masjid.
Untuk berpolitik dan mempunyai parti untuk kaum Melayu jangan hendak mimpi kerana awal-awal lagi bangsa Melayu Singapura tidak dibenarkan menubuhkan apa juga parti politik atau juga pertubuhan lain yang boleh menguatkan masyarakat Melayu.
Masjid-masjid di sana pula tidak dibenarkan melaungkan azan melalui pembesar suara di luar dan semasa Hari Raya Haji untuk membuat ibadah korban pun tidak dibenarkan di sana. Di sana juga mana ada sekolah Melayu.
Untuk renungan rakyat Malaysia terutama sekali bangsa Melayu ambillah iktibar dari apa yang diluahkan ini kerana apabila kita sudah hilang kuasa, hilang identiti, hilang bangsa, hilang budaya maka kita juga akan mendapat nasib yang sama seperti saudara-saudara kita itu juga dan di masa itu meraunglah dan menangislah dengan air mata darah sekalipun tidak akan dapat untuk mengembalikan hak dan maruah kita lagi.
Berwaspadalah wahai bangsa-ku, cukuplah sudah derita datuk nenek kita selama 500 tahun dijajah dan dihinakan dilakukan seperti bola dari satu penjajah ke satu penjajah.
Nasib baiklah parti UMNO bertunjangkan Melayu cepat menyelamatkan kita, jika parti lain selain Melayu yang dapat memerdekakan negara di masa itu (1957) tidaklah tahu nasib kita sekarang ini mungkin majlis kahwin anak cucu kita juga di bawah flat jawabnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20121029/fo_02/Iktibar-untuk-orang-Melayu#ixzz2B0yTeRLm
© Utusan Melayu (M) Bhd

jawa singa

ARKIB : 30/10/2012

Lagi pesanan kepada Sallim Hj. Ahmad dakwa Tun Mahathir kurang peka

KEPADA Sallim Hj. Ahmad (warga Singapura) yang mengatakan Tun Mahathir kurang peka pada 24 Oktober 2012 saya mahu berpesan untuk ingatan beliau.
Sesungguhnya saudara Sallim Hj. Ahmad patut melihat dan meneliti kad pengenalan beliau sendiri. Adakah tertulis perkataan Melayu di dalam kad pengenalan beliau itu?
Sudah pasti tiada tertera perkataan Melayu kerana di Singapura Melayu telah dipecahkan kepada suku kaum.
Jika Sallim keturunan Jawa maka di kad pengenalan beliau hanya tertera Jawa sebagai rujukan bangsa.
Saudara Sallim juga patut melihat sendiri di flat-flat HDB milik kerajaan di Singapura itu, adakah dalam satu lantai ada keluarga bangsa Melayu lebih daripada satu keluarga di lantai tersebut? Pernahkah saudara Sallim itu meninjau akan keadaan tersebut?
Saudara Sallim itu juga patut pergi ke Kementerian Pertahanan Singapura dan melihat senarai pangkat tertinggi bangsa Melayu di situ.
Saudara Sallim juga wajib pergi ke Yayasan Mendaki dan bertanya bagaimanakah wang derma bangsa Melayu di Singapura diagihkan untuk pendidikan dan sebagainya.
Saudara Sallim juga kena pergi bertanya kepada generasi muda Melayu Singapura itu sendiri akan sejarah Singapura, siapakah yang menemui Singapura. Saya pasti jawapan yang akan diberi sudah tentu bukan Parameswara, kenapa?
Sebab Parameswara adalah bangsa Melayu. Maka jawapan yang saudara Sallim akan dapat dari soalan tersebut adalah Sir Stamford Raffles yang menemui Singapura.
Saudara Sallim juga kena pergi ke Sentosa Island dan lihat nama siapakah yang tertera di sana yang mempertahankan Singapura daripada serangan Jepun di masa Perang Dunia Kedua dahulu, sudah pasti bukan Kapten Adnan, kerana apa? Kerana Kapten Adnan adalah Melayu.
Tetapi mengapakah Persatuan Melayu Kristian dibenarkan menggunakan perkataan Melayu, kerana itu saja jalan untuk melemahkan bangsa Melayu itu sendiri.
Saya amat pasti bahawa saudara yang bernama Sallim Hj. Ahmad ini bukannya seorang Melayu yang tulen, mungkin Saudara Sallim ini berdarah Malbari dan tidak mempunyai setitik pun darah Melayu, ini kerana jika saudara Sallim ini benar-benar Melayu maka sudah pasti dia tidak akan mempertikaikan apa yang Tun Dr. Mahathir Mohamad kata dan tulis kerana sejarah telah membuktikan bahawa di masa pemerintahan Tun Mahathir ramai Melayu Singapura yang berebut-rebut ingin menjadi warganegara Malaysia.
Maka dengan itu nasihat saya kepada Saudara Sallim agar melihat diri di dalam cermin apakah dia itu Melayu yang amat ditakuti akan perpaduannya oleh PAP, bapa kepada DAP di Malaysia ini. Janganlah menyibuk hal negara orang jika bangsa sendiri di bumi sendiri (suatu masa dahulu) melukut di tepi gantang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20121030/fo_02/Lagi-pesanan-kepada-Sallim-Hj-Ahmad-dakwa-Tun-Mahathir-kurang-peka#ixzz2B0y3utXl
© Utusan Melayu (M) Bhd

malaysia bukan sekular

ARKIB : 30/10/2012

Malaysia bukan negara sekular

JIKA diteliti kandungan Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa undang-undang tertinggi negara kita tidak berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular. 

Islam diiktiraf sebagai Agama Persekutuan, Raja-raja Melayu dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, wang negara boleh dibelanjakan untuk tujuan pendidikan Islam dan penyelenggaraan institusi-institusi Islam, malah wang pungutan zakat dikira sebagai hasil negara.

Selain itu, pendidikan Islam diajar sebagai mata pelajaran wajib untuk pelajar-pelajar beragama Islam di sekolah-sekolah kerajaan, latihan untuk guru-guru pendidikan Islam disediakan oleh kerajaan, undang-undang syariah dilaksanakan oleh mahkamah syariah yang merupakan sebahagian daripada institusi kehakiman negara, hakim-hakim mahkamah syariah adalah penjawat awam yang dibayar gaji oleh kerajaan, dan banyak lagi perkara lain yang mengaitkan agama Islam dengan dasar kerajaan dan institusi negara. Kesemua ini dilaksanakan di bawah lembayung Perlembagaan.

Dalam sebuah negara sekular, tidak mungkin dana negara digunakan secara langsung untuk kebajikan umat Islam. Tidak mungkin juga sistem kehakiman Islam dan pendidikan Islam menjadi sebahagian daripada sistem negara, dan undang-undang syariah dilaksanakan oleh penjawat-penjawat awam.

Di bawah Perlembagaan negara kita, kesemua ini dibenarkan. Pelaksanaannya tidak bercanggah dengan Perlembagaan, malah selari dengan hasrat Perlembagaan.

Di Malaysia, tidak berlaku pemisahan antara agama dan negara secara total. Ciri penting negara sekular ini tidak wujud di Malaysia. Maka sah Malaysia bukan negara sekular seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Parlimen baru-baru ini.

Tetapi mengapa masih ada pihak yang beria-ia ingin mengatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular?
Bagi saya ini bukan cerita baru, tetapi cerita lama. Jika kita singkap sejarah pembikinan perlembagaan negara di ambang kemerdekaan dahulu pun, cerita ini telah hangat diperdebatkan.

Suruhanjaya Reid yang dilantik untuk menyediakan deraf perlembagaan Malaysia misalnya tidak memperakukan Islam sebagai Agama Persekutuan. Maka dengan itu, menurut perakuan Suruhanjaya Reid, Malaysia tidak akan mempunyai Agama Negara seperti juga negara-negara sekular yang lain.

Perakuan ini ditentang oleh satu-satunya ahli Suruhanjaya Reid yang beragama Islam iaitu Hakim Abdul Hamid dari Pakistan. Beliau berhujah, pada masa itu terdapat sekurang-kurangnya 15 negara yang mempunyai agama negara. Jadi mengapa pula Malaysia harus terkecuali.

Tambahan pula, hujah Hakim Abdul Hamid, saranan Islam sebagai Agama Persekutuan merupakan hasil pemuafakatan politik yang dicapai oleh Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC, yang mewakili kaum-kaum utama di Tanah Melayu pada ketika itu.

Saranan ini terkandung dalam dokumen yang dinamakan 'Political Testament of the Alliance', iaitu memorandum mengenai Perlembagaan yang dikemukakan oleh Perikatan kepada Suruhanjaya Reid. Hakim Abdul Hamid berpandangan adalah tidak wajar bagi Suruhanjaya Reid menolak persetujuan yang telah dicapai oleh pemimpin-pemimpin politik pelbagai kaum setelah mereka melalui proses rundingan yang panjang.
Hampir semua saranan yang terkandung dalam 'Political Testament of the Alliance', yang pada peringkat awalnya ditolak oleh Suruhanjaya Reid, dimasukkan dalam Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen British pada Jun 1957, yang kemudiannya diterima sebagai Perlembagaan negara.

Ini termasuk saranan supaya Islam dijadikan Agama Persekutuan. Dalam konteks ini, dokumen perjanjian politik Parti Perikatan, yang juga disebut sebagai Kontrak Perlembagaan, adalah jauh lebih penting dan signifikan daripada Laporan Suruhanjaya Reid.

Maka dengan itu, termaktublah dalam Perlembagaan negara kita Islam sebagai Agama Persekutuan, dan agama-agama lain boleh diamalkan dalam suasana yang aman dan harmoni di mana-mana bahagian dalam Persekutuan. Secara tidak langsung, cubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular telah berjaya ditangkis.

Namun hari ini, cerita lama kedengaran lagi. DAP sebagai sebuah parti sosialis totok sekular, menyambung cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular. Cuma caranya agak berbeza.
Jika dahulu cubaan untuk menjadikan Malaysia negara sekular dibuat dengan menolak Islam sebagai Agama Persekutuan, hari ini ia dilakukan secara lebih halus.

DAP tahu bahawa sikap parti itu yang menolak hukum hudud tidak boleh diburukkan lagi dengan menolak Islam sebagai Agama Persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan. Ini akan menimbulkan kemarahan pengundi majoriti beragama Islam, dan memburukkan lagi hubungannya dengan Pas.

Maka, DAP tidak secara langsung menolak Islam sebagai Agama Persekutuan, malah bersetuju ia diterima sebagai sebahagian daripada Dasar Bersama pakatan pembangkang.

Tetapi di sebalik paparan wajah manis DAP, parti itu sama ada secara langsung atau menerusi proksi menolak pelaksanaan undang-undang Islam yang didakwa kononnya mencabuli kebebasan asasi manusia.
Ini termasuk undang-undang yang menghalang perlakuan murtad, mendedahkan aurat, meminum arak, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan muhrim, amalan ajaran sesat dan juga orientasi seks songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual. Kesemua perlakuan dan amalan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

DAP tidak menolak simbol Islam sebagai Agama Persekutuan, tetapi membantah setiap intipati ajaran Islam dalam sistem kerajaan dan undang-undang negara.

Tindakan DAP ini umpama pepatah Melayu - pepat di luar, rencong di dalam. Ini adalah dimensi baru cubaan menegakkan negara sekular di Malaysia. Tidak mengapa Islam dikekalkan sebagai Agama Persekutuan, yang ditafsirkan sebagai agama rasmi semata-mata, tetapi tidak boleh dibiarkan menjadi tonggak dalam sistem kerajaan dan undang-undang negara. Inilah perjuangan DAP.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121030/re_01/Malaysia-bukan-negara-sekular#ixzz2B0xJBndg
© Utusan Melayu (M) Bhd

pas permainkan hudud demi raih undi

ARKIB : 31/10/2012

Jangan 'pertaruhkan' hukum hudud demi kemaruk kuasa

KETAKSUBAN berpolitik dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pas ternyata tiada batasnya. Tidak kira khutbah Jumaat mahupun khutbah Aidilfitri, tazkirah atau khutbah Aidiladha semuanya akan diselit dengan unsur-unsur politik seolah-olah untuk menunjukkan merekalah yang paling Islam berbanding UMNO dan merekalah penegak hukum Allah di muka bumi bernama Malaysia ini.

Sebenarnya, bukan sekali malahan sudah banyak kali kita menyaksikan bagaimana umat Islam yang hadir ke masjid-masjid terpaksa mendengar khutbah dan tazkirah berbaur politik, terbaru berlaku di Kelantan apabila sebuah masjid membaca teks khutbah berbentuk sedemikian.

Mungkin juga dalam kehangatan orang bercakap mengenai hukum hudud, Pas sudah tidak senang duduk, mereka merasakan hukum hudud yang sebelum ini menjadi modal setiap kali pilihan raya mula menggugat kedudukan mereka. Tindakan Pas kembali bercakap soal hukum hudud sebenarnya menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan parti itu dalam melaksanakan hukum berkenaan. Oleh itu bagi menutupi kelemahan berkenaan maka seperti mana berlaku di Kelantan Dewan Ulama Pas negeri itu mengeluarkan teks khutbah Aidiladha yang secara jelas menuding jari kepada orang lain kerana kegagalan mereka melaksanakan hukum itu di Kelantan.

Berikut sebahagian intipati khutbah tersebut seperti mana didedahkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pada Jumaat lalu:

(a) Hendaklah kita perbetulkan dasar perjuangan kita dengan meletakkan al-Quran dan Hadis sebagai rujukan tertinggi (b) Kenapakah setelah sekian lama kita diperintah oleh mereka yang mengaku menjadikan Islam sebagai agama rasmi tetapi umat Islam masih gagal menjadikan Islam sebagai cara hidup yang terbaik? (c) Kita bukan disuruh sembelih anak tersayang seperti Nabi Ibrahim, sebaliknya kita disuruh mengerat tangan pencuri, menyebat dan merejam orang yang berzina, menyebat peminum arak dan membunuh orang murtad (d) Kenapa masih ragu-ragu terhadap hukum yang ditentukan oleh Allah untuk menghukum penjenayah? (e) Tidak ada kemungkaran yang lebih besar kecuali kemungkaran menolak hukum Allah yang penuh kebaikan dengan menerima pelbagai hukum ciptaan manusia yang ingkar terhadap Allah.

Jelaslah apa yang ingin perkatakan ialah mengenai hukum hudud - satu janji yang dilafazkan oleh Pas Kelantan dalam pilihan raya umum 1990. Bagaimanapun sampai sekarang hukum berkenaan tidak dilaksanakan dan dalam suasana untuk menghadapi pilihan raya umum, Pas cuba menutupi kegagalan mereka dengan menuding jari kepada kerajaan Pusat.

Di mana-mana saja kini, mereka 'menjaja' bahawa UMNO bertanggungjawab apabila hukum hudud tidak dapat dilaksanakan dan hukum itu diperlekehkan oleh bukan Islam. Tiada keinsafan di kalangan pemimpin Pas untuk mengkaji kelemahan sendiri sehingga memungkinkan hukum hudud seolah-olah dilihat sekadar mainan politik parti itu setiap kali menjelang pilihan raya.

Mengulas perkara ini, penganalisis politik Ahmad Masrizal Muhammad berkata, sebenarnya rakyat negara ini dan Kelantan khususnya sudah lama menanti Pas menunaikan janji mereka untuk melaksanakan hukum kanun Jenayah Syariah II negeri Kelantan atau yang 'dijual' namanya sebagai hudud. Semenjak daripada mula memenangi memegang tampuk pemerintahan negeri Kelantan kira-kira 20 tahun yang lalu, maka itulah harapan rakyat.
''Semua rakyat pada awalnya bangga dengan janji-janji sebegini. Namun, ternyata itu semua tidak menjadi kenyataan. Saban pilihan raya rakyat didendangkan dengan lagu yang sama iaitu Pas akan melaksanakannya tetapi, selepas menang pilihan raya visi itu tidak pun cuba dilaksanakan apatah lagi mahu bersungguh-sungguh melaksanakannya,''katanya ketika dihubungi.

Dalam soal ini Ahmad Masrizal menegaskan, cuba tanya pimpinan Pas, berapa banyak konvensyen, bengkel, seminar atau ruang ilmiah yang dibuka kepada rakyat untuk membincangkan perkara itu secara mendalam. Jadi apa langkah persediaan untuk membuktikan kesungguhan mereka ?

''Jawapannya tiada! Lantas perjuangan undang-undang yang kononnya dipanggil hudud itu dilakukan atas paksi apa? Paksi agama, ilmu atau paksi politik semata-mata ? Jika mahu dikatakan paksi agama dan ilmu kenapa mereka menikus dengan herdikan ahli pakatan yang lain seperti DAP dan PKR akan hal ini? 'Mana keberanian dan istiqamah mereka sebagaimana garang dan kerasnya mereka menentang UMNO, parti yang juga dikuasai oleh orang sedarah sedaging dengan mereka?.

''Yang utama bagi mereka ialah tumpaskan UMNO dan menangkan Pakatan Pembangkang. Maka tidak hairanlah kepada kita jika kita melihat mereka mengamalkan politik multidualistik. Di kampung bercakap soal negara Islam , di bandar lain pula nadanya iaitu bercakap soal negara kebajikan dan dengan kariah pakatan bercakap soal demokrasi,'' katanya.

Sememangnya itulah sikap Pas tetapi malangnya pemimpin-pemimpin parti tersebut termasuklah khatib atau penceramah Pas yang bercakap soal hukum hudud tidak mahu mengakui kelemahan sendiri.

Sebab itulah, Ibrahim menyifatkan tindakan Dewan Ulama Pas Kelantan (DUPK) sebenarnya hanya memperlihatkan tembelang sebenar parti itu yang bertopengkan agama semata-mata.

''Bagi saya, teks khutbah DUPK ini tidak lebih daripada satu cubaan Pas untuk memindahkan kegagalannya melaksanakan hukum hudud di Kelantan kepada kerajaan Pusat sahaja,'' katanya ketika dihubungi.

Ibrahim berhujah sedemikian kerana menurut beliau Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Guaman Pas Pusat, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong, sendiri mengakui betapa kerajaan Kelantan sebenarnya berkuasa untuk melaksanakan hukum hudud, hanya ia tidak melaksanakannya sahaja.

Mungkin bagi Pas mereka tidak perlu melayan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas itu tetapi dalam masa yang sama kita ingin bertanya sampai bilakah Pas mahu menjadikan hukum hudud sebagai modal politik. Tahukah Pas tindakan mereka yang bercakap hukum hudud secara bermusim telah menyebabkan hukum Allah itu dipersoal dan perlekehkan?

Tambahan pula Pas sendiri tidak dapat memberi penjelasan terhadap pelbagai kekeliruan dan persoalan yang timbul berhubung enakmen undang-undang syariah yang mereka bentangkan di Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu.

Justeru hentikanlah sandiwara politik berhubung hukum hudud ini. Kalau pun Pas hendak pilihan raya atau kemaruk sangat mahu berkuasa bersama-sama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, janganlah 'mempertaruhkan' hukum hudud di pentas-pentas politik.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121031/re_02/Jangan-pertaruhkan-hukum-hudud-demi-kemaruk-kuasa#ixzz2B0wbMZTu
© Utusan Melayu (M) Bhd

sebab pas di tendang dari bn

ARKIB : 01/11/2012

Punca Pas ‘diceraikan’ 1977

DALAM apa-apa pertikaian pun, akhirnya kita akan merujuk kembali kepada sejarah. Tidak kiralah apa isu pun, yang penting faktanya.

Menyelusuri fakta-fakta sejarah itulah, satu rumusan perlu difikirkan apakah benar kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ‘menganaktirikan’ Pas suatu ketika dulu. Atau adakah Pas sebenarnya yang ‘angkat kaki’ dari kerajaan BN pada 1977 ekoran ‘sifat tikam belakang’nya terhadap BN.

Di sini saya utarakan dahulu sedutan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada 9 Disember 1977 sempena Perjumpaan Ketua-ketua UMNO Bahagian di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

“Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada Pas. UMNO terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat kerjasama UMNO dengan Pas demi kepentingan dan faedah rakyat.

Pucuk pimpinan Pas juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau Pinang.

Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya Pas meninggalkan atau dikeluarkan daripada BN. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang merbahaya. UMNO mempunyai maruahnya sendiri. Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan Pas mengkaji semula kedudukan Pas dalam BN.

Perkara ini dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung Pas selama tiga tahun berturut-turut setelah Pas menyertai gabungan besar ini.

Penubuhan ranting-ranting Pas dalam kawasan-kawasan UMNO juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan rakyat. Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan Pas yang meragukan.

Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan BN. Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai. Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah.

Ada dalam kalangan rakyat yang menginsafi fakta sebenar Pas dikeluarkan dari BN. Fakta ini merupakan kebenaran yang tidak seharusnya disenyapkan demi merungkai rasa benci dan menyampah pengikut dan penyokong Pas yang melulu terhadap BN khususnya UMNO.

Antara punca sebenar krisis Kelantan pada 1977 adalah daripada Pas sendiri. Malah di dalam portal Pas Pusat itu menyatakan ia bermula apabila timbulnya rasa tidak puas hati Pas terhadap Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Muhammad Nasir. Rakyat waktu itu tertanya-tanya mengapa pada tahun itu, pimpinan Pas melucutkan jawatan Muhammad sebagai Menteri Besar tanpa merujuk kepada Kerajaan Pusat terlebih dahulu.

Yang diselindungkan Pas ketika itu ialah:

* Ada di antara pemimpin Pas Kelantan memfitnah dan menuduh Muhammad Nasir terlalu mengikut telunjuk UMNO-BN. Hakikatnya pada ketika itu UMNO-BN tidak pernah campurtangan dalam mencorak pemerintahan Pas (ketika itu). Malah, sedangkan ketika itu keputusan pemerintahan Pas Kelantan masih di tangan kuasa majoriti Dewan Undangan Negeri.

* Malah pada ketika itu juga terdapat usaha dalam Pas untuk menjatuhkan Presiden Pas (ketika itu), Datuk Dr. Mohd Asri Muda. Ia dilakukan hanya kerana beliau adalah tokoh Pas yang bertanggungjawab membawa Pas menyertai BN pada 1973.

* Asas yang digunakan oleh sebahagian pemimpin Pas Kelantan (ketika itu) untuk menolak Mohd Asri dan Muhammad hanya kerana selepas PRU 1973, Pas mempunyai kuasa majoriti dengan 22 kerusi dan UMNO hanya 13 kerusi, dan tidak memerlukan sebarang usaha bergabung antara Pas dan UMNO.

* Dalam tempoh 1973-1978, Mohd. Asri selaku Presiden Pas dan Muhammad dikaitkan dengan pelbagai spekulasi dan masalah khususnya melibatkan Pas di Kelantan. Hakikatnya spekulasi dan tuduhan tersebut adalah hasil putar belit fakta sebahagian pemimpin dan ahli-ahli Pas yang tidak berpuashati dengan perpaduan Pas-UMNO.

* Krisis Kepimpinan Pas Kelantan 1977 dikatakan timbul hasil ketidakpuasan hati terhadap Menteri Besar negeri itu, Muhammad Nasir. Beliau dipecat sebagai MB Kelantan oleh pucuk pemimpin Pas Kelantan itu sendiri.

* Mohd. Asri pula mula ditendang keluar oleh Pucuk Pemimpin Pas Kelantan selepas PRU 1978, dengan desakan-desakan supaya beliau meletakkan jawatan selaku Yang Dipertua Agung Pas, desakan yang datang dari beberapa pimpinan PAS antaranya Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau akhirnya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung Pas pada 23 Oktober 1982.

* Krisis Kepimpinan Pas Kelantan pada 1977 itu membawa kepada undi tidak percaya kepada MB Kelantan pada 15 Oktober 1978.

Apapun Kerajaan Pusat ketika itu menghormati keputusan yang dibuat oleh Pas Kelantan, atas dasar persefahaman dan tidak masuk campur dengan alasan yang diberi oleh Pas Kelantan itu dengan mendakwa perkara itu merupakan soal rumah-tangga Pas.

* Tumbangnya Muhammad Nasir akibat perebutan kuasa dalam Pas menyebabkan berlakunya rusuhan yang dimulakan oleh penyokong Nasir di Kota Bharu. Rusuhan itu mengakibatkan kerosakkan harta benda, mengancam nyawa dan keselamatan rakyat dan juga mengancam keselamatan negeri Kelantan.

* Seperti yang dinyatakan oleh Tun Hussein dalam ucapan beliau pada 9 Disember 1977, selaku Perdana Menteri ketika itu, belau harus bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, yang dikhuatiri rusuhan di Kelantan mungkin akan merebak ke negeri-negeri lain dan mengekang rusuhan seperti peristiwa 13 Mei berulang.

* Pada November 1977, Parlimen Persekutuan meluluskan rang undang-undang darurat Kelantan yang meletakkan Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat.

* Rang undang-undang Darurat Kelantan dirangka bersama menteri-menteri Pas yang ketika itu masih lagi bersama-sama UMNO dalam jemaah Menteri. Dan ia diluluskan oleh Parlimen setelah mendapat persetujuan majoriti termasuk dari kalangan menteri Pas sendiri.

* Setelah Kelantan di bawah Darurat, Mohd. Asri menerima tekanan dari beberapa pimpinan Pas terutamanya Nik Aziz selaku Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat yang dari awal begitu lantang menentang gabungan Pas-BN.

* Hasil dari desakan itu, Hassan Adli Arshad selaku Timbalan Yang DiPertua Agung Pas dijadikan ‘kambing hitam Pas’ apabila beliau dipecat oleh Mohd Asri yang kononnya beliau menjadi ketua menteri-menteri Pas yang menyokong rang undang-undang Darurat.

* Malah beberapa pimpinan Pas yang menentang gabungan Pas-UMNO ketika itu terutamanya Nik Aziz mula menunjukkan sikap memberontak dalam perikatan gabungan Pas-UMNO, menentang setiap arahan dan pelaksanaan kemajuan yang dilakukan BN di Kelantan.

* Pemberontakan dalaman ini memungkin barah berlaku dalam BN, hasil ketiadaan disiplin pemimpin Pas ini, menyebabkan UMNO terpaksa membuka tali yang mengabungkan Pas-UMNO.

* Rentetan dari itu juga menyebabkan ‘Krisis dalaman Pas’ kepada perpecahan Pas pada beberapa parti serpihan seperti Berjasa dan Hamim.

* Keluarnya Pas dari gabungan BN-UMNO, menyaksikan satu Pilihan Raya Kecil diadakan di Kelantan diadakan pada Mac 1978.

* Pada PRK Mac 1978, rakyat menjadi gempar setelah pekung yang selama ini disimpan oleh beberapa pimpinan Pas di antaranya Nik Aziz ketika itu terbongkar, apabila isu pemberian kontrak balak diberikan sewenang-wenangnya membuktikan Pas cuba menggadaikan Kelantan.

Itulah antara puncanya Tun Hussein pada 1977 mengungkapkan luahan hatinya yang berkait secara langsung dengan tindakan biadab Pas tersebut. Pas ‘diceraikan’ selepas tidak lagi memegang aspirasi kerjasama apabila berada dalam kerajaan BN.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121101/re_01/Punca-Pas-diceraikan-1977#ixzz2B0uNb5oN
© Utusan Melayu (M) Bhd