Saturday, October 24, 2015

peniaga dan penjaja melayu pulau pinang

Matkilau Penang Orang Melayu biasanya ceburi bidang menjaja atau berniaga kerana beberapa sebab. Antara sebabnya ialah bersara atau berhenti kerja dengan apa jua na­ma skim pemberhentian kerja. Satu lagi sebab terlalu lama menganggur. Jarang Melayu berniaga sebab betul-be­tul minat. Apatah lagi kalau nak kata niaga sudah menjadi darah dan daging dalam diri dan keluarga mereka. Kadang-kadang, malah jarang-jarang untuk orang Melayu saja-saja terjun ke bidang penuh ranjau dan duri ini.
Ini juga yang membezakan orang Melayu dengan orang Cina dan bangsa pendatang seperti rakyat Indonesia, Kem­boja, Pakistan, Thailand, dan Bangladesh. Malaysia tanah tumpah orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak, sebab itu semangat niaga kurang kuat.
Bagaimanapun, bagi Melayu yang punya modal men­cu­­kupi bolehlah mereka buka syarikat enterprise atau sen­dirian berhad. Golongan yang modal setakat ribuan ring­git biasanya memulakan perniagaan sebagai penjaja. Tak ki­ralah berniaga di tepi jalan, tepi kedai atau menjaja di pasar-pasar malam atau pasar tani.
Banyak lagi orang Melayu fikir menjaja buah-buahan, air minuman dan nasi lemak serta pelbagai masakan sudah memadai. Jika barang jualan tidak habis, tak banyak yang rugi. Namun mereka tidak hitung kos dari segi tenaga, masa dan bahan yang terbuang begitu sahaja kalau tak laku.
Sejak berpuluh tahun, khasnya selepas 58 tahun mer­de­ka – penjaja Melayu yang tidak berlesen masih dihambat oleh penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Status penjaja atau peniaga haram ini telah meletakkan mereka seperti pesalah yang sentiasa diburu oleh penguat kuasa. Ringkasnya para peniaga kecil ini bagaikan musuh pihak berkuasa.
Apa pun, bila difikirkan kenapa orang Melayu yang ma­hu berniaga kecil-kecilan disusahkan dengan peraturan lesen, kebenaran itu dan ini. Baharu seminggu buka per­nia­gaan, pihak berkuasa datang angkut semua barang nia­ga mereka.
Pihak penguat kuasa selalu guna alasan bertindak ke­ra­na mereka menerima adu­an, atau mereka menja­lan­kan tu­gas sahaja. Kita tak kisah jika penjaja kena sa­man jika mereka benar-be­nar buat kotor atau men­je­jaskan keselamatan dan ketenteraman awam. Ber­tindaklah biar kena pada tempatnya.
Perkara ini bukan isu ba­­haru. Pihak berkuasa kenalah me­rancang menaik taraf perniagaan menjaja ini menjadi satu kerjaya yang bo­leh dibanggakan. Binalah gerai kekal di tempat penjaja ber­niaga supaya dapat diha­lal­kan operasi perniagaan me­­reka. Yang tidak ada lesen, dimudahkan pendaftarannya supaya diberi lesen.
Bantu anak bangsa
Jangan diguna pendekatan puluhan tahun dahulu. Gu­na­lah budi bicara. Lagipun kata mahu bantu anak bangsa ceburi bidang perniagaan.
Usah padam api semangat niaga orang Melayu terutama anak muda. Biar mereka be­lajar menjual dan berniaga dengan saiz kecil-kecilan da­hulu. Janganlah terlaku tegas kerana bila berjaya mereka akan pindah ke kedai besar. Mereka juga yang berpotensi untuk membayar cukai untuk pembangunan negara. Apa yang kita boleh harapkan kepada peniaga warga asing walaupun barangan jua­lan­nya lebih murah. Wal­hal, bi­la mereka kaya, semua ke­un­tungan dibawa balik ke ne­gara asal.
Apabila melihat peralatan dan barang-barang peniaga dirampas oleh penguat kua­sa, timbul rasa kasihan dan simpati kepada mereka. Me­reka adalah peniaga kecil-kecilan bermodal kecil dan se­bahagian besar melakukan perniagaan secara sambilan. Mereka berniaga sendiri dan tidak guna pekerja tambahan. Peralatan mereka mungkin sekadar meja, payung, kereta sorong dan bekas-bekas makanan. Faktor mereka berniaga adalah untuk menampung pendapatan.
Tetapi ada juga penjaja yang dilihat bermaharajalela. Apabila tiada tindakan diambil, maka akan bertambahlah kerusi meja dan bertambah luas tapak perniagaan mereka. Mungkin ada yang iri hati bertanya, kenapa pula tindakan tidak diambil ke atas peniaga berkenaan?
Kenapa PBT tidak dapat mengawal gerai dan warung haram, rumah ibadat haram, kilang haram dan bangunan haram lain. Inilah punca masalah kedegilan golongan peniaga haram negara ini. Kalau begini, apa perlu peniaga dan pengilang mendapat lesen atau kebenaran PBT jika mereka boleh berfungsi? TNB dan syarikat bekalan air boleh membekalkan elektrik dan air kepada premis mereka walaupun tidak berlesen atau mendapat kelulusan PBT.
Pemimpin negara bercerita tentang kaedah untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Pada pandangan saya, selagi ada penjaja tanpa lesen, kita belum sampai tahap negara maju.
Jadi, semua PBT diharap dapat menjalankan program pemutihan penjaja dan peniaga yang tidak berlesen te­tapi sudah lama berniaga. Lancarkankan sekali program pembersihan peniaga warga asing. Mereka memang tidak perlu dilayan kerana tidak layak berniaga di negara ini.
Sebenarnya PBT tahu siapa mereka dan tempat per­nia­gaan mereka. Kalau tempat perniagaan Melayu tidak sesuai, carilah tempat lain yang lebih sesuai. Namun selepas pemutihan, dijangka ada aduan pusat perniagaan baharu dikatakan tidak strategik dan tiada pelanggan. Di samping, penjaja lain pula mengambil alih tapak lama yang dikosongkan. Jadi cerita ketidakadilan pihak berkuasa ti­dak akan selesai. Perkara ini boleh selesai jika PBT serius da­lam penguatkuasaan.